Setiap kali kegiatan rasuah berlaku di Malaysia secara langsung atau tidak nama baik Islam akan tercemar. Ini kerana Islam dinobatkan sebagai agama rasmi persekutuan.
Justeru Islam sewajarnya dipertanggungjawab dengan proses pendidikan warga Malaysia supaya beramanah, jujur, dan ikhlas dalam menguruskan harta dan nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
Malangnya, kini nama Malaysia dibariskan dengan negara-negara yang mempunyai rekod paling buruk dalam kes kejadian dan amalan rasuahnya di dunia. Sewajarnya nama Islam terpalit sama.
Awam mungkin menganggap kenyataan itu satu tuduhan melulu. Tidak adil Islam dipersalahkan setiap kali ada umatnya mengamalkan rasuah. Apatah lagi menurut kepercayaan, Islam agama yang sempurna.
Memang Islam itu sempurna. Namun nampaknya di Malaysia ramai penganutnya tidak sedemikian. Maknanya yang cacat ialah penganutnya. Maka hukumlah mereka yang culas dan tidak beramanah.
Islam telah memperlembagakan soal halal haram dan menyediakan katalog lengkap hukuman ke atas umat yang ingkar – sesiapa yang melanggar hukum adalah berdosa dan boleh meletakkan dirinya menjadi kafir atau fasiq dan mungkin juga munafik.
Bagaimanapun persepsi bahawa Islam yang menjadi punca amalan rasuah agak sukar ditepis dalam konteks Malaysia. Ini kerana soal Islam sudah menjadi piagam program pembentukan karakter luhur muslimin bawah pelbagai konsep yang dilakar oleh pemimpin Melayu-Islam.
Kira-kira 40 tahun lalu kerajaan yang dipimpin Umno melancarkan program “Penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan”. Diterajui oleh Badan Perunding Islam, semua aspek kehidupan diperkenalkan pada nilai-nilai Islam.
Yang menjadi sasaran ialah menyuntik nilai Islam dalam aspek pentadbiran awam, pengurusan ekonomi, dan pendidikan.
Seluruh institusi dan golongan cendekiawan Islam disapa untuk menyertai program ini. Hasilnya menakjubkan juga. Dari situ nampak pembangunan fizikal bercirikan Islam seperti Halal Hub, Institut Kefahaman Islam (IKIM), dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Bank Islam, Takaful Islam, dan Universiti Islam Antarabangsa dibangunkan. Namun paling ketara ialah perubahan pada penampilan wanita Islam. Tudung kepala, jubah, dan juga institusi sokongan seperti berpuluh maahad tahfiz tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Begitu juga politik Islam. Apabila kerajaan pimpinan Umno meramahi program Islamisasi ini, Parti Islam seMalaysia (PAS) yang menjadi pesaing rapat Umno tiada banyak pilihan kecuali memperkemaskini penampilan politik Islamnya.
Presiden PAS hari ini, Abdul Hadi Awang mewasiatkan “Amanat Hadi” untuk membezakan pendekatan dan pemahaman politik Islam PAS dengan pendekatan Umno hingga mencetuskan isu takfir dalam kalangan orang Melayu-Islam.
Program penerapan nilai Islam ini terhenti agak mendadak apabila berlaku konflik politik dalaman Umno pada penghujung abad kedua puluh. Abdullah Ahmad Badawi kemudian menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Abdullah juga cuba menggilap Islam mewarnai pembangunan negara melalui konsep Islam Hadhari bertujuan memacu nilai Islam dalam segenap aspek kehidupan. Usaha ini juga mengendur apabila beliau bersara dan jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh Najib Razak.
Tidak mahu ketinggalan dalam usaha menyulam sokongan total daripada orang Melayu-Islam, pentadbiran Najib juga mempunyai konsep pentadbiran Islamnya sendiri. Maka pemikir-pemikir kem Najib memilih pendekatan Islam secara wasatiyyah (jalan tengah) pula.
Konsep ini diperkukuhkan dengan pemikiran kontemporari seperti konsep maqasid syariah yang meletakkan prioriti dalam kerja-kerja dakwah.
Namun pembangunan Islam wasatiyyah ini juga nampaknya terkubur secara mendadak apabila Umno kecundang dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.
Imej Islam lebih tercalar apabila istilah kleptokrasi dikalungkan pada leher Najib. Skandal 1MDB masih dalam perbicaraan. Namun imej Umno hingga kini menderita teruk.
Umno pun melahirkan parti serpihan Bersatu yang juga mengumumkan bahawa ia pembela Islam. Dengan tiada kemenangan yang kukuh, baik Umno, PAS, dan Bersatu tidak mampu menubuhkan kerajaan persekutuan sendirian.
Maka lahir Muafakat Nasional (MN) gabungan di antara PAS dan Umno. Ini dituruti dengan penubuhan Perikatan Nasional yang menggabungkan kerjasama politik PAS dan Bersatu pula.
Melalui strategi Langkah Sheraton, Umno, PAS, Bersatu, dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhasil menumbangkan Pakatan Harapan yang menggantikan Barisan Nasional (BN) 22 bulan sebelum itu.
Kestabilan kerajaan PN tidak kekal apabila Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Yassin. Umno pula ambil alih kerajaan PN.
Setakat ini, masih belum jelas program Islamisasi apa yang hendak ditawarkan kepada pengundi Melayu-Islam yang menyokong kerajaan hari ini. Yang nyata, rasuah menjadi virus dalam pandemik politik Malaysia hari ini dan parti-parti Melayu-Islam yang paling terpalit.
Yang pasti, PAS walaupun sudah bergabung dengan musuh tradisinya Umno dan Bersatu demi mewujudkan kerajaan Melayu-Islam, nampaknya agak sukar memperkenalkan jenama pembangunan Islam baru yang mahu diperjuangkan. Cinta tiga segi parti itu masih rapuh, agaknya.
Yang jelas juga ialah, statistik politik Melayu-Islam Malaysia kini berserpihan dalam kalangan Umno, PAS, Bersatu, dan Pejuang, menonjolkan perpaduan yang terlalu banyak retaknya. Tanpa ideologi pembangunan Islam tuntas, dakwah Islam yang mahu dipikul oleh parti-parti ini semakin suram.
Seiring itu kompromi dan tipu helah politik dalam kalangan ahli-ahli politik Melayu-Islam akan terus menjunam menjadi hipokrasi. Perkara ini diperhatikan dengan teliti oleh pemikir Islam tersohor, Prof Emeritus Kamal Hassan.
Dalam buku terbaharunya “Corruption and hypocrisy in Malay Muslim Politics”, beliau menegaskan mengenai betapa perlunya transformasi moral dan etika dalam politik Melayu-Islam dilakukan.
Hiruk pikuk kes pemilikan jutaan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang sedang membingitkan Malaysia hari ini seolah melaungkan bahawa program pembangunan negara berpaksikan Islam selama ini, gagal.
Mufti Perlis, Mohamad Asri berpandangan metodologi dakwah yang digunakan sejak 40 tahun lalu gagal kerana para asatizah lebih menumpukan kepada soal dosa pahala maksiat peribadi tetapi penekanan terhadap jenayah membabitkan hak ummah kurang diberi perhatian.
Katanya, dosa peribadi seperti zina, meninggalkan solat, dan zakat boleh ditebus melalui taubat tetapi jenayah rasuah yang membabitkan hak dan kepentingan rakyat tiada ampun.
Sebab itu Prof Kamal mahu ahli politik mengutamakan soal pembinaan insan politik Malaysia yang mentauhidkan kepemimpinan mereka yang akan menjadikan mereka lebih beramanah, tidak rasuah, dan bukan hipokrit. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.