Ada geng dalam Umno lantang mahu Ismail Sabri Yaakob jadi “poster boy” Umno (dan tentunya BN sekali) untuk PRU15. Ada pula geng dalam Umno yang mahu Ahmad Zahid Hamidi tetapi tidak atau belum menyatakan hasrat secara terbuka.
“Poster boy” ialah satu watak yang menggambarkan atau mewakili sesuatu kelayakan dan matlamat. Lantas ada “poster boy” yang dikaitkan dengan sesuatu negatif yakni lambang rasuah, kejahatan, dan kemalasan umpamanya. Tetapi ini dilakukan oleh pihak lain, bukan si “poster boy” sendiri mahu pun kawan-kawannya.
Oleh itu, lazimnya apabila bercakap mengenai “poster boy” ia mengenai orang yang boleh menjadi daya penarik untuk sesuatu perjuangan, objektif, dan sebagainya.
Dalam konteks Umno, “poster boy” ialah pemimpin mewakili parti secara mutlak tanpa dipertikai, yang melambangkan kepimpinan serta perjuangan parti, ada daya penarik kuat lalu diterima rakyat. Bahasa mudah “boleh jual”. Tujuannya untuk meraih sokongan dan menang pilihan raya. Kesimpulannya orang tengok “poster boy”, orang percaya, suka, dan sokong parti.
Bagi Annuar Musa, orang Umno yang duduk sebagai menteri dalam kerajaan Ismail yang juga orang Umno, poster boy Umno untuk PRU15 kelak ialah perdana menteri, yakni bosnya. Bagi Ahli Parlimen Ketereh itu, Ismail memiliki semua ciri-ciri “poster boy”.
Malah Annuar mendakwa mesyuarat Majlis Tertinggi Umno tempoh hari “menunjukkan isyarat bahawa Ismail adalah ‘poster boy’ PRU15 sekali gus merupakan calon Perdana Menteri daripada Umno selepas PRU15 nanti”. Nampaknya Annuar begitu yakin Umno akan menang pilihan raya dan bentuk kerajaan.
Apa pun, Mohd Puad Zarkashi, yang juga anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, menyanggah dengan berkata “ada orang sudah mendahului keputusan parti dengan menamakan watak yang akan diangkat sebagai ‘poster boy’ Umno.”
Terus beliau menegaskan “poster boy” mesti boleh menjamin kemenangan parti dalam PRU. Dia dipilih kerana ketokohannya dan polisinya. Bukan lembik ikut cakap orang dan lambat buat keputusan.
Puad bagaimanapun tidak menamakan siapa yang beliau maksudkan? Siapakah yang lembik, ikut cakap orang, dan lambat buat keputusan? Oleh kerana Puad tidak menamakan orang itu itu, kita bebas untuk teka.
Mengikut tradisi, Presiden Umno ialah “poster boy” Umno dan BN. Ini pada masa Umno mengemudi pemerintahan BN. Oleh kerana Umno tunggak BN, Presiden Umno ialah juga Perdana Menteri. Begitulah zaman Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, Hussein Onn, Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, dan Najib Razak. Mereka menjadi presiden Umno dan juga Perdana Menteri. Lantas, apabila pilihan raya diadakan mereka diangkat sebagai “poster boy” untuk Umno, Perikatan, dan Barisan Nasional.
Itu cerita lama. Cerita baharu atau lebih tepat lagi cerita sekarang Presiden Umno bukan Perdana Menteri. Malah tidak duduk pun dalam Kabinet. Perdana Menteri sekarang pula walaupun datang daripada Umno, sekadar menyandang satu daripada tiga jawatan Naib Presiden.
Maka timbullah masalah atau polemik siapa jadi “poster boy” Umno pada PRU akan datang. Seperti dikatakan awal tadi ada geng mahu ikut tradisi. Berdasarkan itu mereka mahu Zahid selaku Presiden Umno dijadikan “poster boy”. Jika Umno menang Presiden Umno jadi PM. Senang cerita.
Tetapi Zahid, seperti kita tahu sedang menghadapi pelbagai tuduhan berkait rasuah dan pecah amanah di mahkamah. Sehingga artikel ini ditulis beliau belum disabit apa-apa kesalahan. Pun begitu imejnya sudah tercalar. Untuk menjadikan Zahid, “poster boy” Umno ketika kes mahkamah masih berjalan mengundang bahaya untuk parti. Saya rasa penyokong malah Zahid sendiri tahu akan hakikat ini.
Lalu siapa kalau bukan Zahid? Ada yang berpendapat Najib Razak calon terbaik “poster boy” Umno. Beliau masih bergerak bagai Perdana Menteri. Lihat sahaja lawatannya ke Batu Caves untuk perayaan Thaipusam beberapa hari lalu. Najib masih dihormati parti dan parti komponen BN. MIC contoh terbaik. Beliau dikatakan popular. Ada orang masih cium tangannya. Oleh itu, penyokong dan tentunya Najib sendiri merasa beliau watak utama untuk menarik sokongan rakyat kepada Umno dan BN. Walaupun sudah sabit kesalahan satu daripada kes yang dihadapi dan dijatuhi hukuman penjara.
Namun seperti lazim, dalam apa juga perkara, apabila ada yang suka, ada yang tidak. Begitu juga membabitkan Najib. Persoalannya jumlah mana lebih besar? Jumlah orang suka atau jumlah orang yang tak suka? Tidak suka akibat skandal SRC International yang mahkamah dapati Najib bersalah. Realitinya Najib sebagai “poster boy” boleh bawa padah kepada Umno-BN.
Khairy Jamaluddin bagaimana? Beliau dilihat satu-satunya menteri dalam Kabinet Ismail yang “perform”. Masih muda dan bergaya. Ciri-ciri menarik paparan poster. Mungkin satu tarikan buat golongan muda. Tetapi sejak kebelakangan pelbagai tuduhan dilempar bersabit vaksin. Tuduhan yang tidak disertai bukti, namun sedikit sebanyak imej tercalar juga.
Lagi pun dalam Umno ada puak yang tidak senang dengan Khairy dan anggapnya “pro-Bersatu pro-Perikatan Nasional”. Ada orang Umno yang tidak berkenan sejak masa “father-in-law” beliau Presiden Umno dahulu manakala tim Zahid tidak lupa Khairy bertanding jawatan Presiden pada pemilihan Umno 2018 walaupun berkata itu proses demokrasi.
Satu lagi nama yang dilontar ialah Hishamuddin Hussein. Ayahnya Perdana Menteri ketiga. Datuknya Onn Jaafar pengasas Umno. Hishamuddin banyak pengalaman dalam Umno dan arena politik. PR amat baik. Contoh terbaharu video beliau berlari untuk menemui orang dari kawasannya, siap beri topi yang beliau pakai kepada anak penyokongnya. Satu lagi video beliau mengikat tali kasut seorang pelajar sekolah. Kedua-dua video tular tempoh hari.
Akan tetapi, tidak pasti penerimaan masyarakat umum terhadap beliau. Dalam Umno dikatakan lebih ramai yang anti daripada yang pro-Hishamuddin terutamanya cara beliau “undur diri” apabila Umno kalah PRU14. Hubungan mesra dengan Azmin Ali dan pimpinan Bersatu juga sering diungkit oleh golongan anti-Hishamuddin.
Umno juga boleh meneliti Mohamad Hasan atau panggilan mesra Tok Mat. Beliau Timbalan Presiden yang popular dalam dan luar parti. Bagaimanapun ada dalam kalangan Umno melihat beliau sebagai arif dalam isu-isu nasional tetapi tidak cukup tegas atau lantang apabila diperlukan. Waullahualam.
Ingin saya bertanya adakah Umno bersedia ambil langkah “radikal” dengan menamakan Azalina Othman Said sebagai “poster girl”. Beliau dilihat sebagai pemimpin tegas. Ini akan lari daripada konvensional dan membuka lembaran baharu untuk wanita.
Siapa lagi yang boleh Umno pilih untuk dijadikan “poster boy”? Pasti ada pemimpin yang berkebolehan, berpelajaran, dan berwibawa. Cuma mereka tidak punya imej nasional. Tidak berprofil tinggi. Mereka dikenali hanya di kawasan masing-masing dan di kalangan Umno sahaja.
Masalah “poster boy” bukan remeh. Ia mesti diatasi segera demi menunjukkan Umno sudah cukup sedia, sudah bersatu, sudah satu hati, untuk menghadapi cabaran mendatang.
Ia memerlukan kesepakatan. Tanpa itu mungkinkah Umno terpaksa mengadakan pemilihan parti terlebih dahulu untuk memudahkan pencarian si “poster boy”?
Atau mungkin kah Umno akan hanya gunakan lambang BN tanpa “poster boy” untuk PRU kali ini? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.