`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 2, 2022

Segera bentuk khemah besar pembangkang, gesa pemimpin Amanah selepas kalah PRN

 

Ketua Amanah Bahagian Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib berkata, khemah besar pembangkang perlu dibentuk segera tahun ini, jika pembangkang ingin melihat kerajaan baharu ditubuhkan selepas PRU15.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah menggesa semua parti pembangkang mempercepatkan pembentukan khemah besar, selepas kekalahan Pakatan Harapan (PH) di dua pilihan raya negeri (PRN) dan beberapa langkah sumbang Pengerusinya, Anwar Ibrahim sebelum ini.

Ketua Amanah Bahagian Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib berkata keputusan “mengerikan” dalam PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini memberi petunjuk jelas rakyat menolak PH.

“Adakah penolakan ini disebabkan parti yang ada dalam PH atau pucuk kepimpinan PH?

“Khemah besar pembangkang mesti diwujudkan segera, ia bukan retorik, tetapi kenyataan yang mesti dilakukan pada tahun ini, jika pembangkang ingin melihat kerajaan baharu wujud selepas pilihan raya umum ke-15 yang menjelang tiba.

“Khemah besar di bawah PH mungkin mustahil terbina, apabila di kalangan ketua parti pembangkang selain PH, iaitu Pejuang, Warisan dan MUDA seperti tidak yakin kepada figura yang menjadi ketua kepada PH sekarang,” katanya dalam kenyataan merujuk kepimpinan Anwar.

PRN Melaka pada 20 Nov lalu menyaksikan PH hanya memenangi lima daripada 28 kerusi yang ditandingi berbanding 15 kerusi yang dimenangi pada PRU14, sementara di Sarawak, gabungan itu hanya memenangi dua kerusi menerusi DAP, manakala PKR dan Amanah tewas di semua kerusi ditandingi mereka.

Ketika PRN Sarawak pada 2016, DAP memenangi tujuh kerusi dan PKR tiga kerusi.

Dalam pada itu, Asri menggesa semua pemimpin pembangkang mengambil iktibar daripada konflik perebutan kuasa dan jawatan Perdana Menteri antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar, yang menjadi faktor utama tumbangnya kerajaan PH berusia 22 bulan pada Februari 2020.

“Jangan diulang perkara yang telah lepas, bina negara dengan membelakangkan sifat pentingkan diri sendiri. Siapa ketua di bawah ‘khemah besar pembangkang’ biarlah ditentukan Majlis Presiden dalam gabungan besar itu nanti.”

Beliau berkata, pengaruh pengundi muda dijangka berpaut di bawah panji MUDA yang diasaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta parti dari Sabah, Warisan yang melebarkan sayap ke Semenanjung.

Pejuang pula katanya, masih relevan kerana Mahathir masih disegani dan berpengaruh di dunia luar.

Sebelum ini, Asri antara individu yang lantang mengkritik Anwar kerana gagal mengemudi PH dalam memenangi hati pengundi, selain meminta Presiden PKR itu berundur dan digantikan calon ketua pembangkang yang mempunyai kepercayaan penuh semua wakil rakyatnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.