`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, January 5, 2022

Sepeak the Inggeris betul betul peleese

 

Semasa Najib Razak memegang jawatan Perdana Menteri kerap juga beliau menyelitkan elemen lawak dalam ucapannya untuk menyampaikan mesej. Bagus taktik ini. Ada satu “joke” yang beliau kerap sampaikan khusus ketika berucap pada khalayak Melayu. Umpamanya berucap sebagai Presiden parti pada Perhimpunan Agung Umno.

Begini jenaka yang dimaksudkan. Kata Najib, semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan, kementeriannya kerap menghantar pegawai tentera ke United Kingdom untuk menjalani kursus. Di UK, pegawai kita diwajibkan menulis laporan mengenai aktiviti mereka untuk diserahkan kepada pengendali kursus. Orang putih. Oleh itu tentunya laporan mesti ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Maka menurut Najib, ada suatu ketika, pegawai tentera negara dikerah melakukan peninjauan merentas negeri. “Cross country reconnaissance” gamaknya. Apabila selesai dan pulang ke pangkalan, pegawai kita menyerahkan buku log mereka kepada Mat Salleh, pegawai pemerintah pangkalan.

Laporan ditulis begini: “I walk walk walk walk, I find river. I swim swim swim I reach other side. I saw a hill I climb climb climb climb.”

Kata Najib, pegawai tentera kita orang Melayu. Lantas berfikir dalam Bahasa Melayu dan berkata dalam minda – “Aku jalan jalan jalan, aku jumpa sungai. Aku berenang berenang berenang sampai sebelah sana. Jumpa bukit aku panjat panjat panjat panjat.”

Lalu mereka terus terjemah apa yang ada dalam fikiran – daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris secara “direct”. Hadirin yang mengikuti ucapannya berderai gelak ketawa kerana lucunya jenaka yang disampaikan Najib. Cuma saya antara beberapa orang yang tidak ketawa. Mengapa? Akan saya huraikan sebentar lagi.

Apa pun “moral of the story” atau intipati ceritanya, menurut Najib, ialah orang Melayu mesti belajar Bahasa Inggeris untuk menguasai bahasa itu dengan baik. Nasihat yang bagus dan wajar dituruti.

Teringat saya satu lagi ucapan yang juga disampaikan di Perhimpunan Agung Umno. Pada 2013. Seorang perwakilan yang graduan universiti di United Kingdom juga membangkitkan masalah orang Melayu tidak fasih berbahasa Inggeris.

Beliau juga menyelitkan jenaka dalam ucapannya. Menurut cerita si perwakilan itu, seorang pelajar Melayu berada di Lapangan Terbang Heathrow dan dalam kesesakan di situ terlanggar badan seorang Mat Salleh.

Dengan pantas pelajar Melayu itu meminta maaf. “I am sorry,” kata si pelajar Melayu. “I am sorry too,” kata Mat Salleh. Maksudnya dia juga minta maaf kerana jalan tak pandang-pandang. Apabila dengar perkataan “too”, si pelajar Melayu sangka “too” ialah “two” atau dua. Cepat-cepat dia berkata kepada si Mat Salleh – “I am sorry three”. Keliru Mat Salleh dibuatnya. Mat Salleh itu pelik lalu bertanya “what for?” maksudnya mengapa harus minta maaf lagi.

Bagi si pelajar Melayu “for” ialah “four” atau empat. Dia pun berkata “I am sorry five”. Si orang putih kebosanan terus berkata – “I am sick of this”. “Sick” sangka si pelajar Melayu ialah angka “six” atau enam. Sebagai orang Melayu yang berbudi bahasa si pelajar memberitahu si orang putih – “I am sorry seven”. Lepas “six” kan “seven”?

Para perwakilan ketawa terbahak bahak apabila mendengar jenaka yang sampaikan rakan mereka. Sekali lagi saya tidak ketawa.

Sekali lagi mesej ucapan ialah orang Melayu mesti rajin belajar Bahasa Inggeris supaya boleh bertutur dengan baik bahasa yang diiktiraf sebagai bahasa dunia.

Mengapa saya tidak ketawa? Pada hal saya setuju nasihat yang diberi memang baik kerana memang penting orang Melayu menguasai Bahasa Inggeris. Jadi mengapa tak ketawa dengan jenaka sedemikian? Sebaliknya saya berasa sedih dan marah. Saya ingin tanya bagaimana keadaan jadi begini rupa.

Imbas kembali zaman persekolah saya. Lama dahulu. Saya mula bersekolah darjah satu pada 1962. Sebagai budak Melayu ketika itu anda pergi ke Sekolah Melayu atau Sekolah Inggeris. Ibu bapa saya pilih Sekolah Inggeris untuk saya. Saya berterima kasih kepada mereka kerana membuat keputusan itu.

Terima kasih juga buat kerajaan ketika itu yang membolehkan keadaan seperti itu. Terima kasih kerana wujudnya sistem persekolahan yang menawarkan Sekolah Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil. Semuanya setaraf dan sama penting.

Berdasarkan sistem itu saya belajar di Sekolah Inggeris walaupun saya budak Melayu. Saya boleh menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris. Saya tidak mengaku tahap penguasaan Bahasa Inggeris saya begitu hebat kerana belajar di Sekolah Inggeris sejak Darjah I. Saya tetap mengaku standard Inggeris saya bukanlah “perfect”. Namun tidaklah tahap yang boleh ditertawa dan dijadikan bahan lawak seperti saya nyatakan tadi.

Anak-anak Melayu yang Inggerisnya ditertawa lahir daripada sistem persekolahan yang Bahasa Inggeris diajar sebagai satu mata pelajaran. Keseluruhannya mereka bercakap, menulis, belajar menggunakan Bahasa Melayu. Itu arahan kerajaan. Mereka sekadar turuti arahan kerajaan.

Untuk itu mereka diketawakan kerana menggunakan Bahasa Inggeris lintang pukang walaupun tujuan jenaka bukan menghina tetapi memberi perangsang.

Kerajaan dahulu dan sekarang menyedari masalah ini. Bukan tidak ada pelbagai tindakan diambil. Ada – cuma tidak (atau belum?) berhasil.

Sekarang timbul lagi nasihat anak Melayu (juga anak semua bangsa) mesti menguasai Bahasa Inggeris jika mahu “pergi jauh” dalam kerjaya. Ada laporan baru-baru ini menyatakan penguasaan Bahasa Inggeris adalah antara lima kemahiran utama diperlukan untuk diambil bekerja dan maju dalam kerjaya.

Ini memang benar. Ini kenyataan. Persoalannya apa kerajaan lakukan untuk menyelesaikan masalah ini? Bahasa Inggeris, kata kerajaan “bahasa teknologi”.

Lantas saya tidak terperanjat jika ada anak Melayu yang menulis surat untuk “complain” kepada kerajaan (dalam Bahasa Inggeris untuk membuktikan ‘kemampuannya’) seperti ini:

“Ya lah I know lah all this. But last time why never says this? My school time you says all must speaking Malay, must using Malay. Bahasa Malaysia. All learning in BM. They says if not using Malay we not setia to country. We forget we the Malays one.

“Even writes letter to gomen must in Malay. If not letter won’t reply. Now oni say Inggeris important. Last time not important aahh?

“Ok already make mistake must make korek. I mean correct. That’s means we makes right again. How?

“Ministers can lah. You got money. Can send your childrens to private school, good school, England school. I how? My anak how?”

Anda tak ketawa kerana tak kelakarkan? Betul. Ini serius. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.