`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 23, 2022

4 pusat kecantikan tak berdaftar buat rawatan estetik dikesan

 

Siasatan awal KKM mendapati premis terbabit menyediakan rawatan estetik yang hanya boleh disediakan di fasiliti kesihatan berdaftar atau berlesen dengan kementerian itu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PETALING JAYA: Empat pusat kecantikan yang menggunakan peralatan perubatan serta ubat-ubatan disyaki untuk rawatan estetik yang hanya boleh digunakan oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dikesan di tiga negeri.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, operasi penguatkuasaan bersepadu bersama Jabatan Imigresen dilakukan ke atas dua premis di Kuala Lumpur dan masing-masing sebuah di Selangor dan Pulau Pinang, kelmarin.

“KKM melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan bertindak berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh pihak imigresen berkenaan perkara tersebut setelah mendapati perkhidmatan rawatan estetik yang disediakan melibatkan penggunaan peralatan perubatan dan ubat-ubatan berjadual,” katanya, lapor Bernama.

Hisham berkata, siasatan awal Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati premis terbabit menyediakan rawatan estetik yang hanya boleh disediakan di fasiliti kesihatan berdaftar atau berlesen dengan kementerian itu.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang tidak berdaftar atau berlesen selaras dengan ketetapan Seksyen 3 dan/atau Seksyen 4, Akta 586 dan boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 5, akta sama.

“Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen ini, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya. Sementara bagi suatu kesalahan dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.