`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 23, 2022

Sindiket seludup, 13 individu dicekup bersama barang rampasan RM7.5 juta

 

Antara barang rampasan dan ada antaranya bagi tujuan penyeludupan dirampas polis dalam lima serbuan sejak 20 Jan hingga Selasa lepas, menurut polis. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Polis menahan 13 individu sekitar Terengganu, Johor dan Selangor dipercayai terbabit sindiket penyeludupan selain turut merampas barang seludup mencecah RM7.5 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali berkata, tangkapan menerusi lima serbuan sejak 20 Jan hingga Selasa lepas itu membabitkan operasi bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Johor dan Selangor.

“Kes pertama pada 20 Januari lalu, seramai tiga lelaki ditahan dan 6,630 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM1.9 juta serta empat kenderaan dirampas.

“Menerusi tangkapan itu, satu sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Terengganu berjaya ditumpaskan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Hazani berkata, empat lelaki ditahan dan 150 liter diesel bersama sebuah lori bernilai RM100,500 dirampas di Selangor dalam serbuan kes kedua pada 9 Feb lepas dan semua suspek bersama barang rampasan itu ditahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tambahnya, susulan itu empat lelaki ditahan dan 13kg daging hidupan liar bernilai RM1,200 yang dijual di premis menjual makanan di Selangor dirampas menerusi serbuan kes ketiga pada hari sama.

“Operasi Bersepadu Khazanah dengan kerjasama bersama Jabatan Perhilitan ini dilaksanakan bagi memastikan khazanah negara sentiasa dilindungi,” katanya.

Beliau berkata, kes keempat di bawah Op Kontraban, pihaknya menumpaskan sindiket memproses dan membekalkan minuman keras tiruan yang beroperasi di Johor pada Selasa.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki ditahan dan polis merampas 2,096l cecair yang dipercayai arak tiruan bernilai lebih RM580,000 selain peralatan memproses arak tiruan seperti mesin pengedap penutup botol dan mesin penyedut air,” katanya.

Katanya, bagi kes terbaru yang dilaksanakan pada Selasa, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan dalam serbuan di Sri Petaling.

“Sebanyak 24 juta batang rokok pelbagai jenama dirampas bersama sebuah kenderaan. Kes ini adalah rampasan terbesar bagi awal tahun ini dengan nilai rampasan lebih RM5.06 juta,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.