`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, March 1, 2022

AIM bukan untuk politik, Noh sangkal dakwaan Ahli Parlimen Sungai Siput

 

Noh Omar meminta S Kesavan mengemukakan nama pegawai AIM yang didakwanya menggunakan keahlian parti politik sebagai syarat pinjaman.

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar menyangkal dakwaan bahawa agensi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) hanya meluluskan pinjaman kepada ahli Umno atau mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN).

Menjawab soalan tambahan S Kesavan (Sungai Siput-PH), Noh berkata, dakwaan wakil rakyat PKR itu bahawa AIM digunakan untuk tujuan politik sebagai tidak wajar.

“Kalau ada dakwaan yang mengatakan ia digunakan untuk parti politik (ia) tidak betul dan tidak benar sama sekali, kita tidak pernah gunakan.

“Kalau tak (takkan) masa Umno jadi pembangkang, AIM berjalan seperti biasa, bila Pakatan Harapan memerintah AIM berjalan biasa.. malah hari ini Pengerusi AIM daripada Bersatu, saya daripada Umno, tidak timbul soal politik.

“Jadi jika ada dakwaan mengatakan AIM digunakan untuk politik saya menafikan sekeras-kerasnya,” katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Kesavan mendakwa terdapat kes di kawasannya yang menyaksikan pinjaman AIM hanya diberikan kepada ahli Umno dan MIC sahaja.

Sehubungan itu, Noh meminta wakil rakyat pembangkang itu mengemukakan nama pegawai AIM yang didakwanya menggunakan keahlian parti politik sebagai syarat pinjaman.

“YB boleh beritahu kepada saya mana pegawai AIM yang gunakan AIM untuk kepentingan politik, saya nak tahu nama ini, bagi nama dan jangan buat tuduhan mcm tu, tak baik,” tegas menteri berkenaan.

Kemudian Kesavan berkata: “Ini berlaku di kawasan Sungai Siput.”

“Kalau macam itu bagi nama pegawai itu kepada saya dan saya akan panggil pegawai ini untuk dapatkan kepastian, betul atau tidak.. adakah semua orang Umno sahaja jadi ahli (AIM), adakah orang MIC sahaja jadi ahli. Kalau saya dapat buktikan kalau ada orang PKR, adakah YB boleh terimanya?

“Saya akan buat kajian adakah penerima AIM daripada Umno dan MIC sahaja,” balas Noh.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 membuka tirainya semalam dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dewan Rakyat yang kembali bersidang selepas melabuhkan tirai pada 20 Dis lepas merupakan sidang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.