KUALA LUMPUR: Kadar kematian akibat Covid-19 dalam kalangan warga emas, terutamanya yang belum menerima vaksinasi lengkap dan dos penggalak, adalah jauh lebih tinggi berbanding kumpulan umur yang lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Berdasarkan data bagi Minggu Epidemiologi (ME) 1/2022 hingga ME 10/2022, kadar kematian bagi warga emas berusia 80 tahun ke atas adalah lebih tinggi, iaitu 2,000 kes bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding warga emas berusia 60 hingga 79 tahun, iaitu 300 hingga 600 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
“Ini disebabkan daya tahan tubuh yang rendah, menghidapi pelbagai penyakit kronik, dan faktor ‘frailty’ menyebabkan proses penyembuhan dan pemulihan dari jangkitan Covid-19, juga lebih perlahan dan rumit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, warga emas yang tidak menerima vaksin paling berisiko mendapat jangkitan teruk, seterusnya mengakibatkan kematian, sebaliknya yang telah menerima vaksinasi lengkap dan dos penggalak adalah paling terlindung, di mana kes jangkitan Kategori Satu dan Dua melebihi kes Kategori Tiga hingga Lima.
Beliau berkata, sebanyak 86,804 kes Covid-19 melibatkan warga emas dilaporkan dari ME 1/2022 hingga ME 10/2022 dengan 83,709 kes atau 96.44% Kategori Satu dan Dua, manakala 3,095 kes atau 3.56% melibatkan Kategori Tiga hingga Lima.
“Ternyata peratus liputan vaksinasi yang agak tinggi dalam kalangan warga emas, membantu mengurangkan kes Covid-19 yang serius bagi kumpulan ini, namun liputan dos penggalak perlu dan boleh dipertingkatkan lagi daripada 74.2%, agar golongan ini lebih terlindung daripada bahaya komplikasi dan kematian akibat jangkitan Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, kadar kemasukan ke hospital untuk warga emas meningkat daripada satu kes bagi setiap 100,000 populasi, kepada sembilan kes dari ME 3/2022 hingga ME 10/2022.
Kemasukan bagi kes Kategori Tiga hingga Lima adalah paling tinggi dalam kalangan warga emas, tambahnya.
Sehingga 16 Mac, sebanyak 3,356,253 atau 92% warga emas telah menerima dos primer vaksin Covid-19 yang lengkap, manakala 2,489,718 atau 74.2% daripada kumpulan itu telah mengambil dos penggalak.
Dr Noor Hisham menyeru warga emas yang belum menerima vaksin, termasuk dos penggalak, untuk segera mendapatkannya di pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat secara jumpa terus, terutamanya sebagai persediaan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bulan depan.
Anak-anak dan ahli keluarga, katanya, memainkan peranan penting untuk memastikan warga emas dalam keluarga mereka dapat menyertai dan melakukan aktiviti-aktiviti yang dibenarkan mulai 1 April dengan selamat. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.