`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, March 16, 2022

Khairuddin dakwa kerjasama PN tak ikut perlembagaan PAS

 

Mohd Khairuddin Aman Razali berkata PAS tidak mengikut perlembagaan parti berhubung kerjasama Perikatan Nasional.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa PAS melanggar perlembagaan parti berhubung kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang keluar daripada PAS kelmarin berkata, kerjasama berkenaan tidak melalui kertas kerja dan dirunding bersama kepimpinan tertinggi parti itu.

“Dalam PN tak ikut lunas perlembagaan parti, dia (presiden hanya) tandatangan surat…dengan mesyuarat dua, tiga orang saja.

“Tandatangan tanpa bawa ke Jawatankuasa PAS Pusat, tanpa kertas kerja Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, tanpa dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk dibahaskan, untuk dilihat dari segi siasah syariah, maqasid syariah belum setuju dah lulus, ini kesilapan,” katanya dalam temu bual disiarkan Bernama TV malam tadi.

Khairuddin berkata, PAS cuba mengekalkan Muafakat Nasional (MN) “hanya di mulut” namun kecenderungan sebenar cuma mahu bersama PN.

Dakwanya, ketika menjawat jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin turut meminta beliau membuat kertas kerja berkaitan hala tuju parti dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dalam kertas kerja itu, beliau menggariskan cara menyekat kemaraan Pakatan Harapan (PH) dengan PAS mengikat hubungan bersama Umno dan Bersatu.

“Bahkan bila sebut dalam kertas kerja, kena betulkan bab PN yang tidak dibuat ikut lunas parti, maka presiden letak kesalahan kertas kerja kepada saya.

“Itu kertas kerja Majlis Syura Ulama dan dikritik Majlis Syura Ulama dalam AJK PAS Pusat. Bagaimana presiden menyalahkan Majlis Syura Ulama dalam satu medan yang bukan medannya. Yang patut kritik dalam Majlis Syura Ulama lah, bukan dalam AJK PAS Pusat. Ini yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu berbeza dengan rundingan MN yang dimeterai bersama Umno sebelum ini mengikut saluran sewajarnya.

“Dasar parti sangat hebat, bermula kertas kerja peringkat Jawatankuasa PAS Pusat, dibawa ke Syura Ulama berkaitan kerjasama dengan parti lain, setelah dipersetujui Majlis Syura Ulama, dibawa ke dua kali Muktamar PAS pada 2018 dan 2019.

“Akhirnya setuju untuk tubuhkan MN. Draf bawa Jawatankuasa PAS Pusat, dibawa ke Majlis Syura Ulama, turunkan ke Pusat untuk dibetulkan, dibawa (semula) ke Majlis Syura, barulah ditandatangani di depan pimpinan PAS dan Umno di PWTC pada 14 Sept 2019.

“Ini contoh proses dalam parti, tapi apa berlaku dalam PN?” soalnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.