`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 11, 2022

Mahkamah arahkan kerajaan beri status pegangan bebas kepada 24 pemilik rumah di Kepong

 

Mahkamah memutuskan syarat pajakan 99 tahun oleh Jabatan Tanah dan Galian itu sebagai tidak sah. (Gambar Pretam Singh)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Kuala Lumpur menukar status 24 rumah di Taman Bukit Maluri di Kepong kepada hartanah pegangan bebas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Evrol Mariette Peters, berkata pemohon tidak boleh dinafikan “hak terhadap hartanah” di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ketika membuat keputusan secara dalam itu, beliau juga membenarkan pengisytiharan bahawa syarat pajakan 99 tahun yang dikenakan oleh jabatan itu ke atas tanah berkenaan sebagai tidak sah dan ultra vires dengan Perlembagaan.

Beliau juga membenarkan permohonan supaya jabatan itu mengeluarkan hak milik tanah pegangan bebas baharu kepada pemohon.

Peters turut mengarahkan jabatan itu membayar kos RM14,500 kepada pemilik rumah yang diwakili oleh Pretam Singh, Farizah Mahmud dan Amritpreet Kaur Randhahawa.

Peguam Persekutuan Norazlin Mohd Yusoff mewakili jabatan itu.

Dalam saman pemula yang difailkan Ogos lalu, semua pemohon yang melibatkan pemilik rumah satu atau dua tingkat, berkata hak milik dari tahun 1903 itu adalah milik ladang getah milik Edinburgh Rubber Estates, dengan status pegangan bebas.

Seterusnya, pada 1973, pemilik ladang telah memindahkan tanah tersebut kepada Sharikat Permodalan Kebangsan Berhad untuk projek perumahan yang dibangunkan oleh Syarikat Maluri Sdn Bhd.

Namun, status tanah tersebut ditukar kepada pajakan.

Pretam berkata, penduduk telah cuba menyelesaikan masalah itu termasuk dengan menulis kepada Jabatan Perdana Menteri tetapi tidak berjaya.

“Akhirnya, mereka tiada pilihan selain menggunakan proses undang-undang,” katanya kepada FMT.

Peguam itu berkata, hak pemilik terhadap harta mengikut Perlembagaan telah dikembalikan kerana harga rumah akan naik jika statusnya adalah pegangan bebas. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.