`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 16, 2022

Sabah mampu pacu tenaga boleh baharu Malaysia, kata pakar

 

Beberapa halangan ke arah masa depan lebih hijau mesti diberi perhatian sebelum Sabah dapat dijadikan penjana tenaga boleh baharu.

PETALING JAYA: Kisah gangguan bekalan elektrik yang masih menghiasi dada akhbar pada 2022 memang merupakan sesuatu yang memalukan bagi rakyat Malaysia, malah ia sekali lagi menjadi peringatan mengenai kelemahan grid nasional kita.

Bagi rakyat Sabah, kesan buruknya terhadap industri dan hospital memang menjejaskan pekerjaan mereka, malah boleh juga membahayakan nyawa.

Tanpa dasar serta penyelesaian yang proaktif dan boleh dilaksanakan, Sabah akan berdepan cabaran untuk menarik pelaburan, seterusnya menyebabkan kualiti kehidupan penduduknya terus merudum.

Hampir 25 tahun selepas penswastaan Sabah Energy Sdn Bhd (SESB), infrastruktur lapuk yang diwarisinya semakin mereput, maka tidak hairanlah ini membawa kepada masalah penghantaran serta pengagihan tenaga yang terus berulang, malah tiada kesudahannya di seluruh negeri itu.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Dengan campuran sumber tenaga semasa yang masih merangkumi 11% daripada diesel (berbanding hanya 10% tenaga hidro), semakin jelas bahawa penyedia tenaga boleh baharu amat diperlukan.

Jika negara jiran Indonesia pun bersedia mengorak langkah baharu, menarik pelaburan dan memindahkan ibu negara ke Borneo, maka Malaysia juga sekurang-kurangnya patut “bermula semula” dengan grid tenaga Sabah.

Namun sebelum limpahan sumber yang ada untuk menjadikan Sabah penjana tenaga boleh baharu dapat dimanfaatkan, beberapa halangan ke arah masa depan hijau perlu diberi perhatian terlebih dahulu.

Dengan imejnya sebagai hab ekopelancongan, selain kebajikan rakyatnya kini dipertaruhkan, amalan sedia ada, iaitu kitaran pengekalan status quo dan kurang tindakan perlu dihapuskan.

Kesan subsidi

Dalam usaha untuk memacu lebih banyak penjana kuasa bebas (IPP) supaya menyumbang kepada grid tenaga, banyak subsidi telah ditawarkan, namun membawa kepada akibat yang tidak dijangka.

Memandangkan subsidi diberikan secara tidak sekata dengan keutamaan kepada penghasil bahan api fosil, tidak banyak insentif yang tersedia bagi menggalakkan penyertaan dalam tenaga boleh baharu.

Memetik cadangan penyokong tenaga boleh baharu, Adrian Lasimbang, “medan permainan sekata perlu diwujudkan dengan melihat semula dasar yang mengakibatkan persekitaran lembap dengan penghasil berasa selesa untuk menggunakan subsidi demi keuntungan, bukannya memperkenalkan inovasi atau membangunkan penyelesaian mampan.”

Ketika simpanan tenaga Sabah berdepan kemungkinan luput, Lasimbang berkata, subsidi berkenaan mewujudkan rasa selamat yang palsu, seterusnya mengekang landskap kompetitif yang sepatutnya boleh menyuburkan penghasil tenaga boleh baharu.

Kekurangan insentif untuk beralih daripada bahan bakar fosil bersubsidi, digabungkan dengan pelaburan lebih tinggi dan pulangan pelaburan (ROI) lebih lama yang dijangka melibatkan pelaburan tenaga boleh baharu, menjadi cabaran yang memerlukan kepimpinan teguh daripada kerajaan bagi mengenal pasti, mengutamakan dan menjamin keselamatan tenaga.

Kos yang meningkat bagi menyelenggara grid sedia ada kini sudah mula menunjukkan masalah.

Dengan monopoli ke atas kawalan penghantaran dan pengagihan, mungkin apa diperlukan kini adalah pembangunan grid tenaga hijau baharu yang memfokus serta dikuasakan oleh sumber tenaga boleh baharu.

Leong Yuen Yoong dari Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development and UN Sustainable Development Solutions Network Asia (SDSN-Asia) di Sunway University, berkongsi pandangan yang menarik.

“Negara Asia Tenggara secara umumnya bergantung kepada pembiayaan awam untuk pelaburan tenaga,” katanya.

“Infrastruktur tenaga baharu memerlukan pelaburan dan sokongan yang banyak. Kerajaan boleh menggunakan mekanisme pembiayaan perkongsian awam-swasta (PPP) untuk mempercepatkan peralihan hijau selain memenuhi permintaan untuk tenaga yang semakin meningkat, tanpa risiko berdepan beban hutang berlebihan serta masalah fiskal lebih teruk pada masa depan.

“Jadi apa yang juga diperlukan sebagai tambahan untuk PPP di Malaysia adalah menjalin perkongsian antarabangsa dalam pembiayaan projek tenaga hijau bagi menangani perubahan iklim, seterusnya memanfaatkan seluruh dunia.”

Dengan puluhan kilang minyak sawit yang berupaya memerangkap gas metana menggunakan biojisim sawit dan laluan air yang berkemampuan menggerakkan loji hidroelektrik “Run of River”, banyak penyelesaian yang berdaya maju dan mampu memberi impak tinggi sudahpun tersedia dalam landskap negeri itu.

Memandangkan sasaran untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, pelaburan entiti tempatan dan asing yang berminat menggunakan kredit karbon dan mengurangkan cukai karbon pada masa depan, boleh digalakkan menerusi satu pelan kukuh supaya Sabah dikuasakan oleh sektor tenaga boleh baharu.

Menarik pelaburan swasta dan asing pasti jauh lebih mudah sekiranya ada penyelesaian inovatif dan mampan berskala besar yang disokong oleh dasar kerajaan yang proaktif dan terikat secara seimbang antara komitmen belanjawan dengan insentif yang diberikan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.