`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, September 29, 2022

7.5 Juta Atau 50% Isi Rumah Masih Bergaji Bawah RM2,000

 

(Ismaweb) – Walaupun kemajuan negara di tahap membanggakan, nasib kumpulan berpendapatan rendah tidak banyak berubah, bahkan kadar kemiskinan relatif juga sebenarnya meningkat.

Pakar ekonomi, Prof Emiritus Dr Barjoyai Bardai berkata, tatkala ekonomi tumbuh dengan cemerlang dalam tempoh 75 tahun ini, malangnya hampir 50 peratus kumpulan pekerja di Malaysia masih mendapat gaji kurang daripada RM2,000.

Beliau berkata, terdapat 7.5 juta isi rumah daripada 15 juta kumpulan – atau 50% – di Malaysia yang menerima gaji kurang daripada RM2,000, bahkan ada juga yang mendapat hanya RM1,200.

“Persoalannya, apakah makna pembangunan kalau gaji kumpulan pekerja dan isi rumah masih di tahap kemiskinan kerana tahap kemiskinan di Malaysia hari ini ialah RM2,208.

“Kalau pendapatan seorang itu kurang daripada RM2,208 mereka dianggap miskin sebenarnya,” katanya dalam program bual bicara Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Barjoyai berkata, terdapat keluarga yang sekurang-kurangnya mempunyai dua orang yang bekerja, menjadikan pendapatan purata isi rumah di Malaysia sebenarnya kira-kira RM4,500.

“Kalau jumlah itu, ia sudah di atas tahap kemiskinan, tetapi itu andaian kerana sangat ramai kumpulan pekerja di Malaysia hanya bergantung kepada seorang yang mendapat pendapatan.

“Baru ini menteri Jabatan Perdana Menteri mengumumkan ada 130,000 orang sahaja yang miskin mutlak. Pada saya ada lebih 5.6 peratus orang miskin mutlak di Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan kemelesetan ekonomi dunia menjelang 2023, beliau mengakui Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias sekiranya berlaku kegawatan itu.

Ini kerana, Malaysia sebuah negara terbuka yang mengeksport lebih 80 peratus keluaran negara dan mengimport keperluan khususnya bahan makanan dalam jumlah yang sama, katanya.

“Jadi kita akan mengalami apa yang dipanggil kesan import kegawatan khususnya dalam harga. Kenaikan harga akan dijangkakan kerana kita mengimport lebih 60 bilion bahan makanan.

“Saya rasa kita boleh cuba kurangkan membeli dan menggunakan barang import, selain kurangkan mengunjungi restoran makanan segera kerana itu melibatkan banyak barang import.

“Dan kalau kita dapat melakukannya, kita boleh kurangkan tekanan mata wang yang hari ini merudum sedikit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.