`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, September 23, 2022

Bersara dengan tenang

 

Ramai yang kurang cakna atau tidak tahu akan kepentingan Surat Penyelesaian Cukai (SPC) sekiranya mereka akan berhenti kerja atau bersara kelak.

Sebagai pekerja yang bertanggungjawab, kita harus tahu tindakan yang perlu diambil supaya amaun ganjaran dan manfaat yang akan dinikmati selepas bersara atau berhenti kerja diperoleh dengan segera dan amaun tersebut tidak dipotong untuk menjelaskan apa-apa cukai tertunggak akibat kegagalan melaporkan pendapatan terdahulu sebelum berhenti kerja.

Mungkin ramai tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan khususnya berkaitan percukaian sekiranya ingin menamatkan perkhidmatan bersama majikan sekarang. Justeru, artikel kali ini akan menjawab persoalan yang sering ditanya ini.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Ads by Kiosked

Apa yang dimaksudkan dengan Surat Penyelesaian Cukai?

SPC merupakan perakuan yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) kepada majikan berkaitan hal ehwal cukai pendapatan pekerja yang akan berhenti kerja, bersara, yang hendak meninggalkan Malaysia, ataupun meninggal dunia.

Menjadi tanggungjawab majikan tidak kira sama ada di sektor awam mahupun di sektor swasta di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi memaklumkan kepada HASiL dalam tempoh yang ditetapkan sekiranya berlaku penamatan perkhidmatan.

Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh majikan sekiranya berlaku penamatan pekerjaan?

Sebagai majikan yang bertanggungjawab, mereka perlu memaklumkan kepada HASiL tidak kurang daripada 30 hari sebelum tarikh pemberhentian pekerja yang akan berhenti kerja, bersara, atau yang akan meninggalkan Malaysia melebihi tiga bulan.

Bagi kes pekerja yang meninggal dunia, pemakluman perlu dibuat tidak lebih 30 hari selepas dimaklumkan kematian pekerja berkenaan.

Ads by Kiosked

Ada tiga jenis borang perlu dihantar kepada HASiL mengikut situasi pekerja iaitu:

  • CP21 iaitu borang pemberitahuan oleh majikan bagi pekerja yang hendak meninggalkan Malaysia;
  • CP22A iaitu borang pemberitahuan pemberhentian kerja (swasta); atau
  • CP22B iaitu borang pemberitahuan pemberhentian kerja (agensi kerajaan).

Bagi memberi kemudahan kepada majikan, HASiL menyediakan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan majikan mengemukakan borang CP21, CP22A, dan CP22B yang boleh diakses di https://mytax.hasil.gov.my/. Pilih “Perkhidmatan ezHasil” seterusnya ke “e-SPC”.

Permohonan SPC akan diproses selepas semua dokumen dan maklumat lengkap diterima.

Selain itu, majikan perlu menahan apa-apa bahagian wang yang akan atau boleh dibayar kepada pekerja dan tidak membayar apa-apa bahagian wang tersebut tanpa kebenaran HASiL sehingga tempoh 90 hari dari tarikh borang diterima oleh HASiL.

Majikan juga perlu membayar semua atau sebahagian amaun wang yang ditahan kepada HASiL apabila diarahkan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut. Bagaimanapun, majikan diberi pengecualian untuk tidak mengemukakan Borang Pemberitahuan Pemberhentian Kerja kepada HASiL sekiranya pendapatan seseorang pekerja tertakluk kepada Potongan Cukai Bulanan (PCB) atau jika saraan bulanan pekerja di bawah amaun minimum yang layak dikenakan PCB, dengan syarat pekerja berkenaan akan terus bekerja atau tidak bersara daripada mana-mana penggajian di Malaysia.

Borang pemberitahuan oleh majikan bagi pekerja yang hendak meninggalkan Malaysia pula tidak perlu dikemukakan sekiranya HASiL berpuas hati bahawa seseorang pekerja tersebut dikehendaki meninggalkan Malaysia secara kerap berhubung dengan penggajian yang dilakukannya.

Ads by Kiosked

Apa kaitan SPC ini kepada pekerja dan majikan di luar sana?

Tujuan SPC untuk memastikan rekod percukaian pekerja dalam keadaan teratur.

Apabila permohonan SPC diterima, cawangan yang menguruskan fail akan menyemak rekod percukaian pekerja bagi tahun-tahun sebelumnya sama ada audit perlu dilakukan atau tidak. Sekiranya perlu, cawangan akan meminta dokumen tersebut daripada pihak pekerja.

Sekiranya terdapat amaun cukai yang perlu diselesaikan hasil daripada semakan, amaun tersebut perlu dibayar oleh pihak majikan kepada HASiL daripada amaun wang yang ditahan.

Adakah HASiL akan mengenakan apa-apa tindakan undang-undang terhadap majikan yang gagal mendapatkan SPC bagi pekerja terlibat?

Jika majikan gagal menjalankan tanggungjawab, majikan boleh disabitkan kesalahan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Ads by Kiosked

Kelewatan atau kegagalan mengemukakan borang tersebut tanpa alasan yang munasabah merupakan kesalahan dan sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 atau tidak lebih daripada RM20,000; atau penjara tidak melebihi enam bulan; atau kedua-duanya, di bawah subseksyen 120(1) ACP 1967.

Majikan juga bertanggungjawab untuk membayar amaun penuh cukai yang kena dibayar oleh pekerjanya. Amaun kena dibayar oleh majikan merupakan suatu hutang kepada kerajaan dan boleh dituntut melalui tindakan sivil.

Bagaimana pula dengan tanggungjawab pekerja dalam isu SPC ini?

Rekod pematuhan cukai seseorang pekerja ialah komponen penting yang akan disemak oleh HASiL sebelum SPC dikeluarkan. Justeru, terdapat beberapa perkara perlu dilakukan oleh pekerja sebagai tanggungjawab mereka, iaitu:

Memastikan pendapatan yang diterima berhubung dengan suatu penggajian dilaporkan dengan mengemukakan Borang Nyata Cukai sekiranya pekerja tersebut tidak memilih PCB sebagai cukai muktamad.

Pekerja juga disaran menyemak rekod pematuhan cukai mereka terlebih dahulu dengan HASiL sebelum majikan mengemukakan Borang CP21, CP22A, dan CP22B.

Ads by Kiosked

Setelah permohonan SPC dihantar oleh majikan, apakah tindakan yang perlu diambil oleh HASiL?

Permohonan SPC individu yang lengkap diterima oleh HASiL akan diproses mengikut Piagam Pelanggan kami, iaitu 14 hari bekerja daripada tarikh dokumen lengkap diterima.

SPC individu yang selesai diproses akan dihantar kepada majikan dan disalinkan kepada pekerja untuk makluman serta rekod.

Pegawai perhubungan awam (CCO) cawangan boleh dihubungi sekiranya menghadapi masalah dalam pengeluaran SPC individu. Senarai nama CCO boleh diperolehi menerusi portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my dengan klik pada tab “Hubungi Kami” dan seterusnya klik “Panggilan”. Anda perlu memilih “Pegawai Perhubungan Awam” untuk melihat senarai pegawai mengikut cawangan yang dikehendaki.

Kami amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh majikan dan pekerja dalam permohonan SPC ini bagi membolehkan HASiL dapat memproses permohonan tersebut dengan lancar.

Di harap perkongsian artikel ini dapat menjadi panduan dan dimanfaatkan sewajarnya oleh para majikan dan pekerja di luar sana yang masih ragu-ragu mengenai perkara ini.

Ads by Kiosked

Sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh dimajukan kepada HASiL melalui:

 - FMT

Artikel disediakan oleh Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.