`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, September 27, 2022

Integrasi nasional dah ke laut?

 

Apa seterusnya? Sudah lebih dua minggu berlalu. Setelah semua habuk mendap, bak kata orang putih, “What’s there after the dust settled?” Apakah langkah ke hadapan setelah sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia 2022 berlalu? Jangan sambutan tinggal sambutan, slogan tinggal slogan. Bukan sedikit wang telah dilaburkan untuk kedua-dua sambutan tersebut.

Harapnya tidak seperti menyiram air ke daun keladi. Jadilah ibarat air bah, pantai turut berubah. Tidak seperti melepaskan batuk di tangga. Lautan manusia yang memenuhi segenap ruang di kawasan perarakan bukanlah ukuran. Sememangnya rakyat sudah lama terkurung. Dah lama pulak tidak turun ke Dataran Merdeka menyambut Hari Kebangsaan.

Persoalannya, apa sudah jadi dengan integrasi nasional dan pembinaan Bangsa Malaysia yang berdaulat? Kalau diteliti, integrasi nasional sudah lama ke laut. Dilautkan oleh kebanyakan pemimpin politik. Tidak terdengar lagi laungan dan slogan integrasi nasional. Biarpun menteri perpaduan silih berganti, sehingga tidak jelas apakah matlamat kementerian tersebut.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Malah, yang mendominasi sekarang hanyalah pelbagai ‘ugutan’ seperti Bangsa Johor untuk membawa Johor keluar dari Malaysia. Begitu juga laungan Sabah untuk Sabahan yang semakin lantang. Paling membimbangkan ialah semacam terdapat gagasan untuk membawa Sarawak keluar dari Malaysia. ‘Demonstrasi atau perbarisan jalanan’ beberapa tahun dahulu di Sarawak tidak mendapat tentangan dan tiada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa. Belum lagi ura-ura untuk menggunakan mata wang sendiri. Sentimen itu dapat dirasakan ketika bersama sahabat-sahabat Sarawak.

Teringat ketika Pakatan Harapan memerintah, pembangkang yang didominasi Umno dan PAS menggunakan ras dan agama secara melampau. RUU355 dijadikan senjata seolah-olah hudud mahu dilaksanakan esok. Tapi, bila PAS memerintah bersama Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, batang hidung hudud pun tidak kelihatan sampai sekarang. Ternyata itu sekadar retorik politik untuk mengapi-apikan orang Melayu dan Islam untuk menumbangkan kerajaan ketika itu melalui cara tidak sah.

Itulah mainan politik tidak rasional yang memangsakan rakyat dan negara. Natijahnya, hampir “fatal” sampai sekarang. Rakyat seolah-olah telah hilang jati diri. Identiti bangsa Malaysia tidak jelas untuk dipertahankan, jauh sekali untuk dibanggakan.

Malaysia dampaknya bukan sebuah negara bangsa atau “nation state”. Pembinaan sebuah negara bangsa ternyata telah gagal. Ianya bukan lagi agenda utama kerajaan. Yang diutamakan hanya nafsu serakah hendak memerintah tanpa menghiraukan kerosakan dan kos yang ditanggung. Bukan generasi ini saja, malah beberapa generasi akan datang terkesan. Tidak seperti gagasan Rukun Negara dan Wawasan 2020 suatu ketika dulu.

Mujur parti pembangkang ketika ini sedikit rasional. Atau mereka tidak pandai menggunakan peluang? PKR, DAP, Amanah dan Muda tidak memainkan isu perkauman dan keagamaan, biarpun peluang terbuka luas. Baguslah kalau begitu. Kita mahukan pembangkang yang matang, rasional, dan progresif.

Apakah slogan “Keluarga Malaysia” dapat menghidupkan gagasan baharu membina integrasi nasional dan Bangsa Malaysia yang bersatu padu? Apakah slogan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” dapat menjadi magnet untuk menyambung segala keretakan yang dilakukan oleh parti-parti politik?

Semua bergantung kepada wawasan dan keikhlasan kerajaan dalam mengatur program susulan selepas dua sambutan nasional negara. Tapi malang, ahli dan parti politik sekarang sibuk pula mengatur langkah untuk menang pilihan raya. Malang sungguh Malaysia!

Nasi sebenarnya belum jadi bubur. Tetapi, pembetulan tidak boleh dibuat ala kadar seperti melepaskan batuk di tangga. Pembinaan negara bangsa memerlukan perubahan struktural dan sistemik yang meliputi perubahan atau transformasi di bidang polisi dan dasar, amalan, norma sosial, dan pemikiran yang mendasari isu masyarakat serta integrasi nasional.

Paling penting kemahuan politik untuk melakukan perubahan di semua peringkat mestilah bermula pada diri pemimpin. Siapa lagi kalau tidak ahli politik itu sendiri?

Inilah masa terbaik sebelum pembentangan Belanjawan 2023. Ia mungkin melibatkan penggubalan dasar yang perlu disosialisasikan seluas mungkin di semua peringkat, termasuk kanak-kanak sekolah, orang kampung dan pedalaman seperti kejayaan yang dicapai semasa gagasan Rukun Negara dulu. Ini bukan perkara baharu. Malah, dengan teknologi dan media sosial serta didukung peruntukan bajet, tidak mustahil impaknya akan lebih baik dan cepat.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Lebih parah jika masalah ini tidak diakui malah dinafikan oleh pemimpin sendiri. Langkah pertama kemungkinan menghadkan penggunaan perkataan dan slogan komunal yang merosak dan memburukkan. Bangsa mungkin hanya boleh digunakan untuk Malaysia. Selain itu mungkin diselaraskan kepada kaum, etnik, rakyat negeri dan seumpamanya.

Di samping itu kurangkan penggunaan perkataan yang boleh meminggirkan sesuatu kaum dari pelaksanaan gerak kerja arus perdana yang penting, terutamanya yang memerlukan garapan seluruh Bangsa Malaysia. Penggunaan perkataan jihad dalam menangani inflasi sudah cukup untuk meminggirkan 40% daripada keseluruhan rakyat. Lebih-lebih lagi bila konotasi tersebut lebih menjurus kepada sesuatu agama, apatah lagi slogan itu sinonim dengan parti politik nuansa agama yang jumud.

Gagasan integrasi nasional ke arah satu bangsa Malaysia bukan milik satu kaum dan bukan juga milik parti politik. Walaupun ianya akan dipelopori kerajaan dengan peruntukan persekutuan, tetapi ianya hendaklah bersifat inklusif, tidak kira kaum, agama, mahupun fahaman politik.

Kerajaan menunjukkan kemahuan politik dalam menggubal akta lompat parti. Rakyat yakin kemahuan politik ini perlu terus diperkukuhkan untuk membina negara bangsa Malaysia yang berdaulat. Rakyat yakin masih ada sinar dihujung terowong itu.

Belum terlambat untuk kerajaan mencipta naratif baharu, tapi mestilah yang komprehensif menggarap seluruh kepentingan rakyat berbilang kaum. Dengan itu, ia akan berkesan dan dapat memenangi hati serta fikiran rakyat. Gerakkan semua jentera di semua peringkat sehingga naratif itu menjadi satu gagasan yang hidup dalam masyarakat. Jangan terlalu fokus untuk mengoreksi, karena seharusnya kita sentiasa introspeksi.

Sayanglah kalau kerajaan yang ada ini tidak memikirkannya dan membetulkan kelemahan yang menonjol di depan mata! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.