Orang Melayu mempunyai pendapat yang secara amnya baik bila disebut merpati. Merpati sejenis ‘burung dara’. Dek kedaraannya itu, merpati misalnya disebut melambangkan pengasihan dan cinta.
Peribahasa “merpati dua sejoli” sebagai contoh menerangkan keadaan sepasang orang berkasih-kasihan; manakala peribahasa “jinak-jinak merpati” pula membawa pengertian orang yang kelihatan senang diperdaya, tetapi sebenarnya tidak. Bak kawanan merpati yang ditabur dedak di luar Masjidil Haram, bila didekati ia segera terbang lari.
Pantun-pantun Melayu pula selalu menyebut merpati untuk subjek atau topik rindu dan kasih-sayang. Sebagai contoh;
Sayang merpati terbang melambung,
Mari hinggap di awan putih;
Buah hati pengarang jantung,
Tuan seorang penyudah kasih.
Dalam bait-bait pantun lain pula diketengahkan merpati itu begini;
Burung merpati terbang seribu,
Mari berhenti di tengah halaman;
Abang nak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.
Setelah itu, pantun Melayu menyebutkan begini;
Burung merpati terbang sekawan,
Dekat dengan burung cenderawasih;
Belah hati gunung dan awan,
Mana sudah hilangnya kasih.
Kalau tidak pun merpati dikaitkan dengan kasih sayang, ia dihubungkan pula dengan hal-hal bersangkut dengan kemanjaan, dan kerinduan umpama pantun ini;
Burung merpati beranak tunggal,
Mati dibela di kaki meja;
Ibu mati bapa tinggal,
Mana tempat tumpang bermanja?
Selain kasih dan cinta, juga hal-hal bermanja; merpati itu dihitung sebagai simbol sesuatu yang bernilai.
Burung merpati terbang ke hutan,
Duduk bertenggek di tepi sungai;
Tuan umpama cahaya intan,
Bagai zamrud baru dicanai.
Pembayang-pembayang sedia ada dalam pantun Melayu menggambarkan maksud atau erti yang ingin diutuskan bahawa merpati ini dikenal di alam Melayu sebagai sesuatu yang baik-baik saja. Orang Melayu memang cekap bermain simbol dan lambang, atau dinamakan kias-kiasan.
Bahasa atau ungkapan moden untuk kias-kiasan ini ialah kod. Jadi, merpati itu kod untuk benda atau perkara yang penuh rindu dendam, asmara mabuk, dan kasih khayal. Dalam banyak keadaan juga, merpati perlambangan kepada keimanan atau keagamaan.
Cempaka biru tujuh setangkai,
Burung merpati di atas dahan;
Apa petua yang tuan pakai,
Meroboh hati meroboh iman.
Sekiranya kita meninjau merpati dalam peradaban lain, kita akan menemukan ia simbol berseni yang menampilkan makna keintiman dengan tuhan atau dewi di Yunani Purba. Dalam peradaban Cina, ia dirujuk untuk keamanan. Dalam agama Nasrani, merpati selalunya kesucian dan kedamaian. Malah, ada yang mengatakan merpati membawa simbol Roh Kudus.
Merpati juga utusan yang boleh dipercayai. Manusia terawal melatih burung ini sebagai posmen yang setia dan segera, merentas benua untuk menyampaikan surat berisi hal-hal penting. Merpati dilatih sebagai utusan dalam tamadun lama seperti di India.
Mereka yang bermimpikan merpati selalunya membawa pengertian atau takbir mimpi yang baik-baik saja. Kalau ketika sedang bermusuh, bermimpikan merpati membawa erti kedamaian bakal tiba tidak lama lagi.
Walhasil tiada peradaban atau manusia tergamak mengaitkan merpati misalnya dengan perkara nista seperti rompakan, sangakan, tipu daya, kekotoran dan bangkai, hal-hal haram, dan perkara yang mendatangkan kebencian buat umat manusia. Untuk hal-hal sedemikian iaitu kecurian, penyelewengan, helah dan makar, kejijikan, dan perkara yang membuatkan kita loya; peradaban manusia mengaitkan hal-hal itu dengan burung hering.
Orang Melayu mengatakan “kalau ada bangkai ada lah hering”. Burung hering dinamakan untuk burung berparuh panjang yang makanannya bangkai, melambangkan kekuasaan dan kejahatan. Ia simbol sihir dan perbomohan. Peribahasa “ada bangkai ada lah hering” itu juga membawa pengertian perempuan jahat akan berpasangan dengan lelaki jahat. Saya tidak mencipta-ciptakan ini, ia ada dirakam dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.
Hering juga dirujuk untuk mereka yang tidak lagi dipedulikan dan dipandang hina oleh masyarakat. Atau untuk benda-benda yang sudah rosak. Peribahasa “menjemur hering ke atas bukit” menjelaskan perihal orang yang mengaibkan diri sendiri dengan melakukan perbuatan jenayah atau kebodohan nyata. Burung hering dipadankan dengan binatang pebangkai lain sepertinya dubuk, buaya, gagak, dan biawak.
Hering juga membawa maksud tidak puas, kejam, tidak mengenal belas dan suka menyakiti. Dalam maksud lain, hering tidak membawa apa-apa konotasi baik. Ia sesuai digunakan untuk merujuk penjahat dalam kalangan kita.
Memang ada tamadun luar menghubungkan hering secara kudus, seperti mana dalam peradaban kuno Mediterranean; atau dianggap mulia, semacam tuhan oleh orang Mesir. Akan tetapi, mereka yang mengangkat hering sebagai simbol baik ini biasanya bukan umat yang boleh dijadikan teladan. Mereka yang mengangkat hering itu seringnya dirujuk sebagai masyarakat terkutuk, bejat, bobrok, atau orang yang terlaknat.
Kata lain untuk burung hering ialah burung nasar. Yang juga pokoknya ialah pemakan bangkai. Dalam Islam, burung hering termasuk kumpulan burung yang haram dimakan. Juga, burung hering dikaitkan dengan agama purba, iaitu Majusi, yang mana membiarkan penganutnya yang telah mati di atas menara bungkam untuk dipatuk dan dilahap oleh burung ini.
Dalam sejarah Islam, kelompok Majusi tidak diberikan penghormatan. Malah, kelaziman mereka dengan hering dijadikan gambaran ketakutan dan kegerunan.
Satu hal yang pasti ialah hering sering dikaitkan dengan korupsi. Merpati misalnya, tidak pernah dikaitkan dengan korupsi atau penyelewengan. Pada 2016, buku penyiasatan non-fiksi oleh Josy Joseph dengan judul “Feast of Vultures: The Hidden Business of Democracy in India” menyajikan bagaimana runtuhnya demokrasi India, ekoran berleluasanya rasuah dan korupsi dalam lapangan perniagaan dan pentadbiran kerajaan.
Manakala dalam bidang sastera, hering dijadikan gambaran negatif untuk kumpulan penyangak dan perasuah. Sebagai contoh, karya drama pentas oleh pengarang, Emeka Nwabueze dari Nigeria, dengan judul “A Parliament of Vultures” atau Parlimen Hering menggambarkan politikus, khususnya perdana menteri fiktif yang gelojoh, rakus, dan lahap memakan apa saja harta haram dan tidak menumpukan perhatian kepada tugas mereka yang sebenar.
Kod tertentu membawa pengertian tertentu. Hari ini, kita berkecenderungan menukar sesuatu kata baik dengan nilai buruk. Hal ini harus dicegah. Merpati untuk sesuatu atau untuk orang yang baik dan berjasa. Hering untuk sesuatu atau untuk orang yang malaun dan pembinasa. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.