Ada sebuah buku dihasilkan penulis AS, Rupert Emerson berjudul: “Malaysia – A Study in Direct And Indirect Rule”. Atau “Malaysia – satu kajian mengenai pemerintahan langsung dan tidak langsung”. Lebih kurang begitulah terjemahannya. Apa istimewanya buku ini?
Yang istimewa atau boleh dikatakan ‘pelik’ ialah tajuknya. Lebih tepat penggunaan nama “Malaysia” itu sendiri. Tahun buku itu diterbitkan 1937. Maknanya nama “Malaysia” digunakan 26 tahun sebelum Malaysia ditubuhkan pada 16 Sept 1963. Emerson ketika menulis buku itu seorang profesor sains politik dan hubungan antarabangsa, dan pernah menduduki beberapa jawatan pentadbiran AS.
Buku itu antaranya disifatkan sebagai “kajian penting tentang doktrin pemerintahan secara tidak langsung ke atas “orang yang ditanggung” (dependent peoples) dengan memberi fokus terhadap situasi penjajahan atau “colonial situation” di negeri-negeri Tanah Melayu (Federated and Unfederated Malay states). “Colonial situation” merujuk kepada pemerintahan British di Tanah Melayu. Sila Google untuk maklumat dan keterangan lanjut mengenai buku itu.
Beralih ke buku berjudul “Meniti Lautan Gelora” tulisan ikon kewartawanan Asia (dan bagi saya juga dunia) Said Zahari yang diterbitkan pada 2001. Walaupun ramai yang maklum saya rasa wajib diulangi Said pengarang akhbar Utusan Melayu yang menentang Umno yang mahu menguasai akhbar berpengaruh itu pada 1961. Said mempertahankan kebebasan media. Malangnya beliau dan rakan-rakan tewas dan kesan kekalahan mereka dirasai rakyat terutama media Malaysia sehingga ini.
Said juga ditahan mengikut Akta Keselamatan dalam Negeri oleh pentadbiran Lee Kuan Yew selama 17 tahun. Lantas Said merupakan tahanan politik paling lama dikurung di Singapura.
Menerusi Bab 24, Said menulis bagaimana British yang telah terpaksa menyerahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu menghadapi desakan supaya meneruskan proses memberi kemerdekaan kepada Singapura, Borneo Utara (Sabah), Sarawak, dan Brunei. Kalau boleh, kata Said, British memang tidak mahu melepaskan tanah jajahannya itu tetapi zaman sudah berubah dan penjajahan dalam bentuk lama di Asia Tenggara tidak boleh dipertahankan lagi.
Lalu Said pada muka surat 167 bukunya itu melontar persoalan: “Apakah agenda politik British bagi menangani perkembangan-perkembangan yang menentukan kepentingan politik, ekonomi, dan keselamatan di Asia Tenggara di samping mengekalkan hegemoni Anglo-Amerika di kawasan Asia Pasifik?”
Menurut Said jawapannya: “Malaysia – satu projek kolonial British yang sudah direncanakan pada 1940-an lagi sebagai agenda politik decolonization atau nyah-kolonialisasi Britain”.
Kata Dominic Andrew Dagok anak Randen, salah seorang pengasas negara ini dari Sarawak: “Kami diberitahu Sarawak mesti menjadi sebahagian sebuah negara yang besar atas sebab keselamatan dan ekonomi kerana kami lemah dan tidak dilindungi. British sudah pun menyatakan mereka akan meninggalkan Sarawak.”
Kerajaan British seperti kita tahu menubuhkan Suruhanjaya Cobbold untuk memungut suara rakyat Borneo Utara dan Sarawak – sama ada menyokong cadangan penubuhan Persekutuan Malaysia. Satu laporan media pada 2013 memetik Dominic berkata untuk Sarawak suruhanjaya itu menjalankan sesi tertutup dari 19 Februari ke 17 April 1962, dan menerima 1,600 surat daripada individu, badan bukan kerajaan, dan parti politik berhubung cadangan menubuhkan Malaysia.
Pada 1 Ogos 1962, suruhanjaya itu menyimpulkan pembentukan Malaysia harus dilaksanakan dan Lord Cobbold menekankan semua pihak menyertai persekutuan sebagai rakan sejajar dan saksama. Pada 16 Sept, setahun kemudian, Malaysia lahir.
Sayangnya sehingga kini tidak dinafikan 16 Sept lebih dirasai di Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung. Rakyat di Semenanjung atau “Orang Malaya” kata kawan-kawan kita di Sabah dan Sarawak lebih menghayati 31 Ogos hari Tanah Melayu merdeka pada 1957.
Sehingga kini tarikh sebenar “Malaysia merdeka” dipertikai. Tidak perlu saya huraikan lagi kerana sudah banyak diperkatakan. Kawan-kawan dari Sabah dan Sarawak juga tidak senang apabila masih ada (ramai?) antara “Orang Malaya” yang berkata (percaya dan yakin) Sabah dan Sarawak “masuk” Malaysia. Realitinya kedua-dua wilayah Borneo itu bergabung bersama Tanah Melayu dan Singapura untuk menubuhkan Malaysia. Mereka tidak “masuk”.
Sabah dan Sarawak juga tersinggung malah wilayah berkenaan selama ini dikelaskan sebagai “negeri”, sama dengan 11 negeri di Semenanjung, pada hal kedua-duanya wilayah dengan status pemerintahan sendiri apabila menyertai penubuhan Malaysia.
Benar pada Disember 2021, Perlembagaan dipinda berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63) setelah diluluskan secara majoriti di Parlimen. Tujuannya memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak semasa menubuhkan negara ini dahulu. Namun hakikatnya masih banyak yang belum dibereskan. Akibatnya kita “polarized” antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak (setakat cuti awam 16 Sept bukan penyelesaian).
Kita juga “polarized” antara sesama bangsa di Semenanjung, bak kata kolumnis FMT, Shankar R Santhiram. Sebabnya kita semua tahu dan tidak perlu diperincikan. Realitinya Keluarga Malaysia seperti 1Malaysia sebelum ini hanya slogan.
“Work in progress” mungkin? Jika ya bagus tetapi jelas banyak yang mesti dilakukan supaya lagu “Malaysia Berjaya” menjadi kenyataan. Lirik ini umpamanya:
Berbagai kaum sudah berikrar,
Menuju cita cita,
Satu bangsa satu negara,
Malaysia Berjaya.
Dari Perlis sampailah ke Sabah,
Kita sudah mereka,
Negara makmur rakyat mewah.
Kita sudah berjaya.
Janganlah indah lagu dan lirik semata-mata. Oh seperkara lagi. Berbalik kepada Dominic yang saya sebut tadi. Beliau juga antara pemimpin parti politik yang dinamakan Panas.
Kata Dominic, semasa Brunei diuar-uarkan akan menyertai Malaysia bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura, partinya mencadangkan nama untuk negara yang akan ditubuhkan itu – berpandukan nama-nama negara anggota (Brunei bagaimanapun seperti kita tahu tidak menyertai manakala Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965).
Nama yang parti Dominic cadangkan dengan mengambilkira nama Borneo, Brunei, Singapura, dan Tanah Melayu ialah “Borbrusima”, yang dikatakan mencerminkan komposisi negara. Namun pemimpin negara tidak bersetuju dan pilih nama yang kita gunakan sehingga sekarang.
Selamat Hari Malaysia, semua dari Perlis sampai ke Sabah. 16 Sept 2022. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.