`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, September 4, 2022

PAS dengan cita-citanya

 

Semua pihak mesti menerima keputusan PAS tidak meletakkan gambar Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam pamerannya sempena Muktamar PAS ke-68 yang sedang berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah.

Nadzir Helmi, ketua penerangan Pemuda PAS, membuat penjelasan dan justifikasi mengapa keputusan itu diambil. Untuk penjelasannya sila rujuk Facebook beliau. Setuju atau tidak, hakikatnya ia mesti dihormati kerana hak PAS menentukan tema pamerannya.

Cuma saya melihat ketiadaan gambar Nik Aziz dalam pameran itu memaparkan perbezaan PAS zaman Allahyarham dengan zaman ini.

Nik Aziz umum tahu tidak pernah setuju PAS menjalin hubungan dengan Umno. Allahyarham tidak percaya Umno kerana pernah “dipatuk” parti itu. Nik Aziz serik. Pendirian yang beliau pegang ke akhir hayat.

PAS yang ada sekarang menjalin hubungan intim dengan Umno. Kemudian bergaduh, tetapi nampak mahu bermesra semula, meskipun Umno garang menolak. Rujuk kenyataan terbaharu Ahmad Zahid Hamidi bahawa “Umno gerak solo kerana PAS mandi beberapa kolam”. (Sila Google untuk laporan penuh kenyataan Zahid)

Lain dulu, lain sekarang. PAS sekarang selesa dalam kerajaan persekutuan. Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya semalam di muktamar partinya memberi “penghargaan besar kepada kerajaan Malaysia yang dipimpin Muhyiddin Yassin dan kemudiannya disambung oleh Ismail Sabri Yaakob yang telah berjaya mengemudi negara dengan baik”. Panjang lagi pujian beliau. Jika berminat, sila layari Harakhdaily.

Hadi menyifatkan muktamar kali ini terpenting sebelum menghadapi pilihan raya mendatang. Kata beliau, partinya mengangkat tema “Malaysia Sejahtera” dalam muktamar ini yang diadakan “di ambang PRU15”.

“Sejahtera Malaysia” sesungguhnya tema sesuai dan sekilas pandang, tentunya merangkumi kesejahteraan semua rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama, namun bagi saya, tema itu lebih dekat dengan Nik Aziz berbanding Hadi dan saf kepimpinannya.

Hadi beberapa kali “melukai” perasaan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam dengan kata-kata dan tindakannya. Terbaru, kenyataannya mengaitkan orang bukan Islam dengan punca rasuah.

Barisan pemimpinnya pula dilihat berlagak persis “moral police” yang mahu menentukan cara hidup dan apa boleh buat, apa tidak boleh, mengikut tafsiran mereka, sekali gus menakutkan masyarakat bukan Islam.

Malah, dalam kalangan umat Islam juga, ada yang menjauhi PAS, terutama golongan muda yang tidak gemar dengan sikap “ekstrem”. Hadi selaku politikus berpengalaman, tahu akan ini semua.

Lantas, dalam ucapannya di muktamar ini, beliau berkata, PAS menyasarkan “golongan muda jahil agama, jahil politik” untuk menang pilihan raya.

“Undi penentu daripada kalangan anak muda lelaki dan wanita perlu menjadi tumpuan dan sasaran, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan lebih jahil lagi dalam aspek politik yang menjadi penentuan masa depan umat,” kata beliau.

Pada masa sama, Hadi bercakap juga mengenai “mengambil kira saiz (jumlah) pengundi warga emas yang semakin meningkat” yang jentera PAS perlu santuni. Strategi untuk “mengekalkan pengundi tradisi yang semakin tua”.

Bijak kerana PAS percaya isu keagamaan yang ia mainkan boleh memikat hati pengundi (baharu) warga emas, terutama mereka yang dahulunya “nakal”, tetapi sudah “dekat dengan agama”.

Jelas PAS bercakap dari sudut orang Melayu-Islam. Maknanya, “Sejahtera Melayu-Islam” bukan “Sejahtera Malaysia” seperti tema muktamarnya.

Begitu juga apabila Hadi bercakap tentang wajibnya PAS mempertahankan negeri “pangkalan”, yakni Kelantan, Terengganu dan Kedah – majoriti Melayu-Islam.

Tetapi, daripada ketiga-tiga negeri itu, hanya Kelantan yang PAS memerintah paling lama, iaitu dari 1990 hingga kini. Tidak boleh dinafikan faktor penyumbang utama ialah ketokohan Nik Aziz yang ramai (orang Islam dan bukan Islam) akui tidak “ekstrem”. Nik Aziz memimpin PAS merampas Kelantan daripada BN menerusi PRU8 pada 1990.

Prestasi PAS di Kedah dan Terengganu tidak segemilang di Kelantan. Contohnya, PAS menjadi kerajaan Kedah pada 2008, tetapi hanya bertahan sehingga 2013. Ia kembali memerintah, apabila PAS menyertai Perikatan Nasional, setelah Pakatan Harapan ditumbangkan di peringkat nasional melalui Langkah Sheraton. Ertinya, PAS tidak menang pilihan raya. Sekadar “rezeki terpijak” di Kedah.

Di Terengganu – negeri asal Hadi – PAS juga turun naik. Sejak 1998 sehingga kini, PAS dan Umno-BN silih berganti menjadi kerajaan. Malah, Hadi sendiri selaku menteri besar Terengganu mengepalai kerajaan PAS hanya satu penggal bermula 1999 dan dikalahkan Umno-BN pada 2004.

Kesimpulannya, strategi keagamaan PAS tidak “menjadi” seperti yang diharapkan, walaupun di negeri majoriti Melayu-Islam.

Prestasi PAS di negeri lain tidak memberangsangkan. Ini tidak dapat dinafikan oleh PAS sendiri. Contoh terbaharu pada PRN Melaka dan Johor tidak berapa lama dahulu, walaupun ia berada dalam PN.

Namun, masih ada dalam PAS yang mendabik dada. Umpamanya, ada suara yang mahu PAS menggunakan warna hijau putih dan lambang bulan purnamanya pada PRU15 kerana mendakwa pengundi PAS “alergi” kepada warna biru PN. Ini disuarakan secara terbuka di muktamar ini. Muhyiddin Yassin, pengerusi PN, yang menghadiri perasmian muktamar semalam membayangkan boleh guna lambang bulan di tiga negeri “pangkalan” PAS. Tetapi, keputusan muktamad belum dibuat.

Apa pun, PAS khususnya Hadi tahu realitinya. PAS tidak boleh bersendirian jika mahu menang pilihan raya, apatah lagi memerintah negara secara mutlak. PAS tahu faktor orang bukan Islam, terutama Sabah dan Sarawak mesti diambil kira. Pun begitu ia terus dilihat sebagai “mengongkong” kerana langkah, tindakan dan kenyataan sendiri.

Oleh itu, walaupun ucapan dasar Hadi yang begitu panjang dan diisi banyak ayat al-Quran memuji “kejayaan” PAS sehingga kini, ia juga dipenuhi nasihat apa PAS mesti lakukan untuk menang PRU15.

Realitinya, PAS masih mencari dan tercari-cari formula untuk “political survival”. Ia masih bercakap tentang perbincangan mengenai kerusi dengan Umno. Hadi juga dalam muktamar ini memberitahu ahli partinya, kerjasama dengan Umno “tidak mustahil, terus runding dan berhubung”. (Untuk pengetahuan, pemimpin Umno tidak menghadiri perasmian muktamar semalam)

Pada masa sama, kekal dalam PN? Meminjam kata-kata presiden Umno “PAS mandi beberapa kolam”. Sebelum ini, anggapan umum PAS mandi “hanya” dua kolam. Rupanya “beberapa” kolam, kalau apa yang dihayati Zahid tepat.

Apa langkah PAS seterusnya? Mungkin diperjelaskan pada akhir muktamar hari ini, setelah dirumuskan.

Apa pun, perlu diakui PAS kaya dengan slogan. Ada “Malaysia Sejahtera”, ada BPMS atau “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” dan “Wawasan Induk Negara Sejahtera “atau WINS. Menarik dan sedap didengar.

Sekarang, kata Hadi, PAS sedang menyediakan manifesto PRU15 pula. Cekap. Namun 1,001 perkara belum diselesaikan, 1,001 persoalan belum terjawab. Yang pasti, slogan manifesto tentu menarik, dan ya sedap didengar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.