`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 9, 2022

Pemberi rasuah dan persoalan bangsa

 

Sehari dua ini ramai yang memperkatakan tentang dominasi kaum tertentu sebagai pemberi rasuah. Satu dapatan kajian dijadikan asas kepada tanggapan ini. Statistik berkaitan dapatan kajian ini juga turut dilihat berlegar di pelbagai platform media sosial. Isu ini agak sensitif, kontroversi dan mungkin boleh menjadi punca perselisihan jika tidak dibincang secara berhati-hati.

Justeru, saya ingin mengulas isu ini berasaskan trend majoriti kaum Melayu berada di dalam sektor awam manakala bukan Melayu/bukan Bumiputera mendominasi sektor korporat dan bisnes. Trend ini secara tidak langsung memberi jawapan kepada persoalan kenapa banyak pihak yang memberi rasuah dalam kalangan bukan Melayu yakni taikun-taikun korporat manakala yang menerima pula dalam kalangan penjawat awam yang majoritinya berbangsa Melayu. Ahli korporat mempunyai kemampuan ekonomi dan kewangan yang besar namun mereka tidak mempunyai kuasa menetapkan polisi dan peraturan. Pihak yang menetapkan dan melaksanakan polisi adalah para birokrat dan penjawat awam yang majoritinya daripada kalangan kaum Melayu dan Bumiputera.

Taikun korporat kadangkala terpaksa atau tiada pilihan melainkan memberi rasuah demi “survival” perniagaan mereka manakala penjawat awam yang menerima rasuah adalah kerana kurang nilai integriti, ingin cepat kaya, rasa tidak cukup dengan gaji rendah, ingin hidup mewah dan lain-lain. Dapatan kajian ini pada saya tidak salah kerana ia hasil kajian. Ia tidak seharusnya dianggap rasis kerana tindakan memberi dan menerima rasuah tidak berkait dengan sifat semula jadi sesuatu bangsa tetapi disebabkan sikap individu itu sendiri.

Sikap buruk mana-mana individu tidak seharusnya dilihat sebagai cerminan kepada keseluruhan kumpulan etniknya. Setiap manusia, walau apapun bangsanya lahir secara fitrah dan suci daripada kesilapan dan dosa. Namun, manusia menjadi jahat apabila gagal mengawal sikap dan etikanya. Ia tiada kaitan dengan fitrah bangsanya. Dalam Islam kedua-kedua pemberi dan penerima rasuah dilaknat Allah. Sebagai Muslim, didikan perlu diberikan sedari awal akan bahayanya jenayah rasuah yang dilarang keras oleh agama. Begitu juga kepada bukan Muslim, kesedaran bahaya rasuah juga perlu diterapkan kepada masyarakat sedari awal usia.

Tuntasnya, isu kaum pemberi atau kaum penerima tidak seharusnya menghilangkan fokus utama dalam memerangi rasuah. Rasuah berlaku kerana ada pihak yang memberi dan ada pihak yang menerima. Seperti kata pepatah, “it takes two to tango” atau bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Bila ada permintaan maka ada lah penawaran, atau bila ada penawaran maka akan ada jugalah permintaan. Siapapun yang memulakan bukan isunya kerana apa yang pasti rasuah tidak akan berlaku jika salah satu atau kedua pihak mengatakan tidak kepada rasuah.

Selain pendidikan, undang-undang berkaitan rasuah juga perlu diperkemaskan. Jangan hanya fokuskan pendakwaan dan hukuman kepada pihak yang menerima tetapi juga kepada yang memberi. Pelaksanaan peruntukan liabiliti korporat membabitkan organisasi komersial di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang mula berkuatkuasa pada 1 Jun 2020 contohnya suatu langkah yang baik bagi memastikan individu mewakili entiti korporat turut dibawa ke muka pengadilan jika terlibat dengan aktiviti rasuah.

Semoga suatu hari nanti negara kita akan bebas daripada rasuah. Kalaupun tidak bebas secara total, setidak-tidaknya kadar kes rasuah dapat dikurangkan. Adalah penting untuk kita rakyat Malaysia bersama-sama menyumbang tenaga membersihkan negara daripada najis rasuah walau di sudut mana kita berada. - FMT

Nisar Mohammad Ahmad adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.