`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, September 9, 2022

Percubaan menyelami minda KJ

 

Artikel ini mengenai KJ. Bukan Kamarudin Jaafar bekas orang kuat Anwar Ibrahim yang pernah menganggotai Umno, PAS, dan kini Bersatu. Bukan juga Khalid Jaafar yang juga pernah jadi orang kuat Anwar tetapi sekarang orang kuat Azmin Ali.

Artikel ini mengenai KJ yang paling dikenali ramai dengan nama samaran itu. Khairy Jamaluddin. Orang Umno yang masih Umno. Tetapi artikel ini bukan mengenai kawasan mana beliau akan bertanding pada PRU15, berikutan minat Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau yang disandang KJ sekian lama.

Artikel ini seperti tajuknya cuba menyelami apa yang bermain dalam minda Khairy setelah diminta (atau didesak? Diarah?) oleh Mohamad supaya mencari kawasan lain untuk ditandingi.

Percubaan yang saya maksudkan dibuat berdasarkan rakaman video semasa KJ menjawab pertanyaan wartawan mengenai ‘arahan’ atau ‘desakan’ atau ‘permintaan’ (atau apa sahaja interpretasi anda) yang diberi Tok Mat.

Seperti yang dilaporkan, Khairy menyatakan “kesediaan” keluar atau tidak mempertahankan Rembau pada PRU15. Tetapi kata-kata dan “body language” beliau seakan menceritakan rasa sedih, kecewa, mungkin juga marah. Meskipun akur.

Ambil petikan ini sebagai contoh. Kata Khairy, “sebagai orang parti orang tahu kesetiaan saya. Saya Umno. Saya tak pernah lompat ke mana-mana, setia dengan Umno, saya ikutlah arahan pucuk pimpinan parti.”

Tidak dinafikan Khairy kekal bersama partinya walaupun Umno-BN kalah PRU14, malah cuba melakukan penjenamaan semula Umno. Boleh dikatakan jika mahu lompat ketika itu banyak parti yang akan mengalu-alukan beliau.

Meskipun berkata akan ikut arahan pucuk pimpinan, Khairy juga mengesahkan kepada media apa yang terjadi: “Ya dia (Tok Mat) dah maklum pada saya untuk saya pergi ke tempat lain dan oleh kerana dia ketua bahagian Rembau, saya timbalan kepada beliau, saya kena bagi laluan lah.

“Beliau kata nak bertanding di Rembau dan minta saya bagi laluan kepadanya. Saya tidak ada halangan. Saya kena bagi laluan lah,” kata Khairy seperti yang disiar video sesinya bersama wartawan 4 Sept lalu.

Beliau tidak ada halangan atau tidak ada pilihan? Kerana beliau sendiri mengakui Mohamad ketua Bahagian Rembau, saya kena bagi laluan”. Pada hemat saya itu bermaksud beliau terpaksa beri laluan. Tidak ada pilihan. Suka atau tidak.

Ditanya wartawan dalam Bahasa Inggeris, jawapan Khairy begini: “He (Tok Mat) passed his message to me that I have to get out. What can I do? He’s the boss.”

Bukankah itu dilihat sebagai arahan yang mesti dipatuhi? Jika benar istilah “get out” digunakan adakah bermakna Khairy diusir?

Menerusi video yang saya (dan ramai) tonton, Khairy juga berkata, “Ye lah dia (Tok Mat) nak tanding DUN, dia nak bertanding Parlimen juga, kita bagi laluan kepada dia lah nak bertanding semua.”

Terpulang kepada anda menyimpulkan apa Khairy rasakan semasa berkata demikian.

Oleh kerana Mohamad menyuruh Khairy mencari kawasan lain, wartawan bertanya kawasan mana akan beliau pilih. Ini jawapan Khairy: “Itu saya tidak tahu sebab saya dari Rembau. Saya timbalan ketua bahagian Rembau. Saya tak tahu tempat atau kawasan lain sebab saya berpolitik di Rembau lebih 20 tahun dan jadi Ahli Parlimen hampir 15 tahun.

“Saya tidak pernah fikir nak jadi Ahli Parlimen atau calon tempat lain. Buat apa saya nak fikir tanding tempat lain sedangkan saya dah 15 tahun di Rembau. Bila saya diberitahu untuk keluar cari tempat lain maka saya kenalah sekarang berusaha sekiranya ada kawasan nak terima saya.”

Walau pun beliau berkata itu dalam ketawa, bolehkah dikesan rasa kecewa? Atau kata-kata sinis?

Berkata lagi beliau: “Saya nak pergi tempat lain pun rasa malu juga (sekali lagi beliau ketawa). Nak ceroboh kawasan orang lain sebab politik Umno ini kita bertanding di kawasan kita, kawasan di mana kita menjadi ahli, berkhidmat dan berjasa di kawasan tersebut.”

Adakah beliau sedih? Marah? Atau pelik kerana politik Umno “kita bertanding di kawasan kita di mana kita menjadi ahli, berkhidmat dan berjasa di kawasan tersebut”. Beliau rasa sudah melakukan itu semua tetapi masih disuruh keluar ke tempat lain?

Apa pun menurut Khairy, “saya sedang berusaha bertanya khabar dengan kawan-kawan yang mungkin ada tempat nak beri kepada saya. Tapi kalau tak ada pun tak apa”. Adakah ini cara cari simpati? Strategi tersendiri mungkin? Atau putus asa? Kerana kata beliau, “worst case scenario I won’t contest (PRU15).”

(Sila rujuk video sesi Khairy dengan media yang masih boleh ditonton melalui saluran YouTube untuk membuat tafsiran dan interpretasi masing-masing)

Tidak dinafikan Khairy mempunyai ‘musuh’ dalam Umno. Beliau pernah bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti 2018 menentang Zahid Hamidi. Calon ketiga ketika itu Tengku Razaleigh Hamzah. Umum tahu siapa pemenang.

Bukan rahsia Khairy tidak sebulu dengan presiden dan timnya, malah Khairy dikatakan anggota ‘kluster Kabinet’ – tim Ismail Sabri.

Lantas adakah PRU15 ini Khairy tidak akan dipilih sebagai calon Umno-BN? Watikah calon Umno dikeluarkan presiden parti. Bagi ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Reezal Merican Naina Merican (dikatakan orang setia bekas presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi yang juga bapa mertua Khairy) adalah satu kerugian besar jika Khairy tidak bertanding pilihan raya ini kerana beliau “boleh memberi keseimbangan untuk menarik pengundi muda.”

Tarik undi golongan muda mahupun tua saya tidak cadang ulas tetapi saya setuju amat merugikan untuk Umno jika Khairy tidak bertanding. Beliau dilihat lawan dan kawan menteri yang menjalankan tugas dengan baik dan bijak, sama ada dalam Kabinet Najib Razak, Muhyiddin Yassin, dan Ismail Sabri.

Baru-baru ini menurut satu kaji selidik dijalankan oleh Endeavour – MGC Research Centre, Khairy bersama Anwar Ibrahim pilihan ramai untuk jawatan perdana menteri. Anwar dapat sokongan 16% dan Khairy di tempat kedua dengan 12%.

Namun adakah mungkin beliau akan diberi pucuk pimpinan Umno kawasan sukar (ertinya susah menang) supaya karier politiknya ‘terhenti’? Seperti yang diidamkan sesetengah pihak? Dihentikan dengan ‘pertolongan’ musuh politik Umno dan bukannya orang Umno?

Bagi saya pada ketika setiap kemenangan berharga, Umno tidak mampu melihat semua itu terjadi. Menang dulu. Masalah dengan Khairy boleh dibereskan kemudian. Mungkin itu rancangannya. Wallahualam.

Saya menghubungi seorang pemerhati politik veteran yang lama mengikuti perkembangan Umno dan juga karier politik Khairy.

Menurut beliau, bukan semua bahagian Umno sukakan Khairy. Beliau dikatakan ada masalah ego dan tidak gemar dengar pendapat orang. Bagi saya itu kriteria yang boleh dijangkakan daripada orang pintar yang melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford dan Kolej Universiti London.

“Betul KJ rajin dan kuat bekerja tapi sifat sombong dan angkuh semasa jadi ketua Pemuda sukar dilupakan majoriti Pemuda Umno yang kini bukan pemuda lagi. Isu ‘Budak-budak Tingkat Empat’ masa pak mertuanya jadi PM pun satu hal,” kata pemerhati itu.

Kata pemerhati politik berkenaan, beliau nampak “ada ‘personal grudge’ KJ dengan Tok Mat. Mungkin KJ tanding Parlimen Rembau pada 2018 atas restu Najib. Najib tak ‘favour’ Tok Mat. Najib pilih KJ sebab Pak Lah.”

Khairy juga ada berkata pada sesi 4 Sept lalu bersama media, Tok Mat ada memberitahu suatu ketika dahulu berminat bertanding di Rembau tetapi waktu itu semuanya “tentative”.

Mungkin, kata pemerhati politik itu, “dendam yang terbuku kini mula terselak”. Apa pun beliau berpendapat Mohamad mengumumkan hasrat bertanding di Rembau agak awal untuk memberi peluang Khairy mencari kawasan yang boleh menerimanya.

Bagi Tok Mat sendiri, kata pemerhati politik berkenaan, ini peluangnya untuk jadi calon perdana menteri daripada Umno jika kes mahkamah tidak menyebelahi Zahid bila mana beliau memangku jawatan presiden.

“Peluang ini dia tak dapat lepaskan sebab sebelah kaki dah ada dalam jawatan presiden. Tok Mat tidak ada kawasan selamat kecuali Rembau (selain DUN Rantau) dan Khairy dijadikan mangsa,” kata beliau.

Oleh itu ada eloknya Tok Mat bagi laluan kepada Khairy bertanding kerusi DUN khususnya Rantau dan umumkan Khairy menteri besar jika Umno-BN memerintah Negeri Sembilan.

“Saya kira ini terbaik yang boleh Umno tawarkan kepada KJ. KJ pula lupakan cita-cita nak jadi PM sebab masa dia banyak lagi.”

Itu pandangan pemerhati politik yang saya anggap cukup masak dengan sepak terajang politik Umno. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.