KUALA LUMPUR: Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Noorul Ariffin Abdul Majeed, menangani dakwaan seorang bekas atlet para negara terabai.
Perdana menteri berkata, beliau tidak mahu ada mana-mana pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab cuba ambil kesempatan memanipulasi isu berkenaan.
“Kadang-kadang setengah pihak cuba manipulasi bekas atlet untuk kepentingan mereka.
“Saya cakap menteri (KBS), pengerusi Yakeb supaya melihat isu berkaitan seorang bekas atlet paralimpik terpaksa jual tisu tepi jalan.
“Yakeb cuba bantu sedaya upaya dengan beri tawaran berniaga tetapi telah ditolak (bekas atlet para negara itu),” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-7 Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, di M Resort & Hotel.
Sebelum ini, timbul dakwaan bekas atlet para negara, Koh Lee Peng, diabaikan kerajaan tanpa sebarang bantuan seperti dipaparkan pelbagai platform media sosial sejak kebelakangan ini.
Pada Khamis lalu, Noorul Ariffin telah menafikan dakwaan itu.
Katanya, pihaknya termasuk KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua agensi kerajaan berkaitan tidak pernah mengambil pendekatan membiarkan mana-mana bekas atlet kebangsaan terlantar tanpa mendapat bantuan sewajarnya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, dakwaan bekas atlet terabai boleh mencemarkan imej tidak baik pada Yakeb dan KBS.
Beliau menggesa Yakeb lebih proaktif mencari bekas atlet yang dalam kesusahan lebih awal sebelum dimanipulasikan pihak tertentu.
“Saya difahamkan masih ramai bekas atlet bersara tidak daftar dengan Yakeb. Yakeb perlu pastikan bekas atlet tak daftar, daftarkan diri untuk lebih mudah hulurkan bantuan kepada atlet berdaftar dari yang belum berdaftar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail juga sudah mengarahkan Ahmad Faizal untuk mempertimbang membangunkan Wisma Yakeb di tanah kosong milik KBS.
Tambahnya, setakat ini, kerajaan telah memberi peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Yakeb bagi memberi bantuan kepada bekas atlet negara. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.