Agaknya kepimpinan Umno sekarang kurang faham (tidak faham atau tidak tahu?) apa yang dimaksudkan Musa Hitam, timbalan presidennya dahulu, ketika menasihati Umno jangan menghidap “sindrom bisu”.
Nasihat Musa disampaikan semasa merasmikan persidangan tahunan Pemuda Umno pada 1980-an. Definisi “sindrom bisu” yang beliau katakan itu ialah membisu walaupun segala macam kepincangan pemimpin parti ada di depan mata.
Lalu Musa mahu ahli Umno jangan dibelenggu sindrom itu dengan memberanikan diri bersuara, mendedahkan dan menegur kepincangan dan kelemahan serta kesilapan pemimpin.
Itu yang beliau maksudkan. Bukannya berdiam diri setelah selesai mengadakan mesyuarat atau pertemuan penting seperti yang kerap diamalkan kepimpinan Umno sejak kebelakangan ini. Ertinya, sejak kebelakangan ini, Umno nampaknya amat gemar berahsia.
Umpamanya, apabila selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Setelah berjam-jam bermesyuarat (biasanya sehingga lewat malam), semua ahli MKT keluar bilik mesyuarat dan bergerak pulang tanpa membuat pengumuman atau pemberitahuan kepada media (yang tugasnya memberi maklumat kepada rakyat yang mahu tahu. Diakui ada rakyat yang tidak peduli).
Maknanya, tidak ada sidang media atau apa pun. Betul – Umno berhak merahsiakan apa yang dibincangkan. Semua maklumat hanya untuk “consumption” sendiri. Ia tidak terikat dengan apa-apa perjanjian yang mewajibkan parti itu berkongsi maklumat dengan media atau memberitahu apa yang terjadi dan dibincangkan dalam mesyuarat mereka.
Bagaimanapun, perlu dijelaskan kehadiran media di luar bilik mesyuarat kerana mereka dimaklumkan terlebih dahulu, ada kalanya oleh kepimpinan Umno sendiri bahawa mesyuarat penting akan diadakan. Kadangkala agenda atau isu yang akan dibentangkan juga “didedahkan” sedikit sebanyak. Atau “bunga-bunga” diberikan.
Apabila tidak ada pemberitahuan dibuat selepas mesyuarat, timbul pelbagai spekulasi. Kadang-kadang ia hasil maklumat daripada sumber Umno sendiri. Kerap juga Umno marah spekulasi dibuat, padahal mereka sendiri tidak mahu “berterus terang”. Untuk menggunakan bahasa lembut, mereka tidak mahu “memberitahu”.
Untuk berlaku adil kepada Umno, diakui ada juga ketika kenyataan bertulis dikeluarkan, biasanya oleh setiausaha agung atau pihak ibu pejabat…Tetapi, ini bukan kelaziman dan seperti dikatakan tadi, “sindrom berahsia” (bukan sindrom bisu ya) terjadi “sejak kebelakangan ini”. Disebut orang juga “semenjak dua menjak ini”.
Contoh terbaharu 22 Ogos lalu. Media dimaklumkan oleh “sumber dalaman Umno” bahawa mesyuarat tergempar akan diadakan. Semua ketua bahagian Umno dipanggil presiden parti untuk hadir…Isu yang “dijangka” disentuh itu dan ini. Penting belaka.
Selesai mesyuarat, tidak ada sidang media mahupun kenyataan dikeluarkan. Bagai dikatakan tadi, hak Umno nak adakan sidang media atau sebaliknya. Namun, “mujur” (bagi media) ada di kalangan orang Umno yang menyertai mesyuarat berkenaan berminat memberitahu prosiding atau “perjalanan” mesyuarat. Pucuk dicita ulam mendatang, kata orang.
Bercakap pula mengenai mesyuarat Biro Politik Umno pada 24 Ogos lalu, yang sebelum berlangsung dikatakan akan meneliti isu-isu penting. Ia berakhir tanpa pengumuman apa isu penting yang dibangkitkan. Apa yang terjadi hanya yang hadir sahaja tahu dan ia kekal begitu.
Bagaimanapun, “taklimat khas presiden Umno” yang diadakan 26 Ogos lalu dibuka untuk semua. Jelas Umno mahu mesej dan isyarat yang terbit daripada majlis itu dihebahkan merata-rata.
Namun, pada sebelah malamnya, apabila MKT bermesyuarat, dipercayai untuk membawa “suara hadirin majlis taklimat khas presiden”, terjadilah “sindrom berahsia” sekali lagi.
(Perlu ditegaskan “sindrom berahsia” juga “melanda” pelbagai parti politik, bukan Umno sahaja).
Sebagai wartawan tua, teringat saya pada 1980-an dan juga 1990-an. Semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden Umno, media waktu itu selalu “look forward” apabila MKT bermesyuarat, terutama ketika Umno berdepan isu hangat. Apatah lagi bila krisis dalaman tercetus.
Kerana di akhir hampir setiap mesyuarat penting yang dipengerusikannya, Mahathir akan mengadakan sidang media dan “bercerita” panjang lebar dan menjawab segala macam soalan wartawan tempatan mahupun luar negara. (ada kalanya beliau tidak senang, malah marah dengan soalan yang diajukan. Tetapi, beliau jawab juga dengan nada keras, sinis atau perli).
Kita tahu, tentu bukan semua perkara yang diumumkan, pasti ada yang dirahsiakan, terutama isu “sensitif”. Umpamanya, ketika Umno berperang saudara. Namun, apa yang diumumkan amat mencukupi untuk dijadikan “headline news”. Begitulah lazimnya.
Tanya wartawan lama yang pernah membuat liputan mesyuarat MKT Umno mahupun pertemuan serta majlis parti, khususnya apabila isu panas tercetus, pasti mereka akan menceritakan baik sidang media yang menyusul mahupun apa yang berlaku, semuanya dramatik dan sensasi.
Untung wartawan dahulu. Namun, bukan semuanya indah. Mereka juga pernah mengalami apa yang dilalui wartawan muda zaman ini. Tunggu berjam-jam, bersengkang mata hanya untuk diberitahu tiada apa yang akan diberitahu kepada mereka. Tiada sidang media, tiada kenyataan. Lebih mengharukan apabila diberitahu tiada apa yang dibincangkan.
Tetapi, dahulu baik pun sekarang, “there’s more than one way to skin a cat”. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.