`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, September 23, 2022

Terperangkap dek konsert

 

Golongan bukan penggemar PAS sedang ‘seronok’ mengkritik, mempersenda, serta mentertawa PAS. Membelasah keras pun ada. Golongan ‘neutral’ atau mereka yang mengaku tidak memihak kepada mana-mana parti politik ada juga turut serta. Semuanya gara-gara konsert diadakan di Kelantan – negeri simbol pemerintahan PAS di Malaysia.

Tidak boleh disalahkan mereka yang menyerang PAS sebab parti itu kerap melemparkan pelbagai tuduhan terhadap penganjuran konsert, dan tentunya persembahan konsert itu sendiri.

Terbaharu (Ogos lalu) Pemuda PAS Pusat dengan lantang menyifatkan penganjuran konsert secara “bertalu-talu” suatu “kerja gila yang akan menjemput kemurkaan Allah”. Pasti kita masih ingat kenyataan yang dikeluarkan ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Kemudian atas sebab yang hanya mereka sahaja tahu, Pemuda PAS ‘melembutkan’ kenyataannya (sekali lagi menerusi Ahmad Fadhli) “menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk membatalkan serta menarik semua keizinan penganjuran semua konsert melibatkan artis antarabangsa”. Tidak disebut status konsert artis tempatan.

Jelas bukan lagi desakan menyeluruh yang disuarakan PAS. Namun Ahmad Fadhli mendakwa “ini bukan soal parti politik, bukan soal kecenderungan politik partisan – sebaliknya soal agama”.

Apabila konsert Riuh Sokmo! diadakan di Kelantan (negeri yang PAS perintah sejak 1990), Pemuda PAS Pusat tidak mengeluarkan kenyataan membantah. Mungkin kerana ia konsert tempatan bukan antarabangsa? Waullahualam.

Hakikatnya sebaik sahaja konsert itu diadakan pelbagai reaksi keras dan sinis timbul dicurah ke atas PAS, khusus golongan bukan penggemar PAS dan mereka yang ‘neutral’ seperti dikatakan tadi. Video konsert juga tular menunjukkan persembahan muzik rock yang mendapat sambutan hebat pengunjung, terutama anak gadis – sesuatu yang selama ini kerap dimarahi PAS.

Persoalannya tidak ada kah kumpulan bijaksana dan bijaksini dalam PAS yang boleh menjangka parti akan dikecam dengan adanya konsert di Kelantan? Pemuda PAS Kelantan mengeluarkan kenyataan dua hari setelah konsert berlangsung.

Kata ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed, pihaknya bimbang “suburnya budaya konsert” di Kelantan dan menyifatkan ia “bertentangan dengan dasar Membangun Bersama Islam yang dibawa kerajaan negeri”.

Akan tetapi ketika kenyataan itu dikeluarkan PAS, bukan sahaja di Kelantan sudah dituduh ‘cakap tak serupa bikin’ dan “bising hanya bila konsert diadakan di negeri orang lain. Bila di negeri PAS perintah konsert beres boh”.

Maka muncul Idris Ahmad cuba memberi penjelasan. Bagi saya “damage control”. Kita tahu beliau menteri agama dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, dan dalam PAS, naib presiden.

Sebagai menteri, Idris mempertahankan kerajaan pusat tentunya. Kata beliau, kerajaan pusat tidak boleh ambil apa-apa tindakan berhubung penganjuran Konsert Riuh Sokmo kerana “di luar bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia”.

Selaku naib presiden parti, Idris mempertahankan kerajaan PAS di Kelantan. Kata beliau pihaknya dimaklumkan konsert berkenaan “bukannya dianjurkan kerajaan negeri”.

Sebenarnya tidak ada tuduhan kerajaan Kelantan menganjur konsert itu. Menurut laporan, konsert Riuh Sokmo! itu sebahagian acara Kembara Riuh Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan MyCreative Ventures, dengan kerjasama Celcom Axiata Bhd.

Menteri komunikasi dan multimedia ialah Annuar Musa, dan beliau juga Ahli Parlimen Ketereh mewakili Umno-BN, dan Ketereh tempat acara kembara itu diadakan.

Bolehlah dikatakan Annuar membawa Kembara Riuh Keluarga Malaysia ke Ketereh (sekaligus konsert Riuh Sokmo!), bagi menjayakan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Ismail Sabri.

Menurut Idris, yang bersama Annuar duduk dalam Kabinet Keluarga Malaysia, acara berkenaan “sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan atau PBT serta memenuhi syarat ditetapkan”.

PBT yang dimaksudkan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam yang mentadbir bandar dan daerah berkenaan yang terletak di selatan jajahan Kota Bharu. Majlis itu di bawah kawalan kerajaan negeri.

Maka berpegang kepada apa yang dikata Idris, adakah boleh disimpulkan kerajaan PAS Kelantan ‘berpuas hati’ dan ‘merestui’ kelulusan yang diberi kepada penganjur acara Kembara Riuh Keluarga Malaysia dan konsert Riuh Sokmo! itu?

Lagi pun Idris turut berkata, “di Kelantan, PBT ada peraturan sendiri dan sekiranya melanggar undang-undang ditetapkan terpulang kepada kepada kerajaan negeri untuk ambil tindakan”.

Menurut pemerhati politik, di Kelantan ada enakmen hiburan berkaitan pemantauan dan pengeluaran permit persembahan tetapi “enakmen itu longgar dan sangat boleh dieksplotasi”.

Apa pun bagi saya tidak dapat elak daripada berkata konsert dijadikan isu untuk dikaitkan dengan politik, khususnya untuk mendapat “political mileage” meskipun Pemuda PAS kata ini “soal agama bukan politik”.

Semasa Pemuda PAS menyelar penganjuran konsert betubi-tubi Ogos lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim (orang Umno) menyahut bahawa kementeriannya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan melihat dan membuat penilaian semula garis panduan kelulusan konsert hiburan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun reaksi itu memang dijangka kerana Umno, yang ada wakil bersama PAS dalam kerajaan pusat, tidak mahu dan tidak boleh dilihat, apa lagi dituduh, tidak sensitif terhadap soal agama.

Mengingatkan saya pada 1980-an ketika Umno dan PAS bersengketa sengit – masing-masing berlumba-lumba membuktikan siapa lebih Islamik. Tidak mustahil ini berulang.

Sehingga sekarang setiap kali sesuatu perkara dijadikan “soal agama”, ada sahaja pihak yang akan berlebih-lebihan mengorak langkah demi membukti ‘aku lebih alim, aku lebih Islam daripada kamu’. Bukan saya tuduh mereka tidak Islamik, cuma mereka terdorong untuk memberitahu mereka “berkelebihan” supaya disokong orang Melayu-Islam, terutama di peti undi.

Dan, konsert kerap menjadi mangsa kerana mudah dipergunakan untuk memungut “political points”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.