PETALING JAYA: Pembatalan lesen antara tindakan tegas dijangka dikenakan terhadap agensi umrah jika didapati terlibat membolot tiket penerbangan untuk ke Tanah Suci sehingga menyumbang kenaikan kos mendadak kepada jemaah.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, berkata timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan yang diarah menyiasat perkara itu sudah menyelesaikan siasatan, semalam.
Bagaimanapun katanya, beliau belum menerima laporan lengkap daripada hasil siasatan itu dan dijangka mendapatnya esok.
“Semalam beliau (Khairul Firdaus) baru selesai menjalankan siasatan itu dan saya perlu menemuinya untuk mendapatkan butiran penuh hasil siasatan itu
“Saya akan balik (ke Kuala Lumpur) hari ini, ….tengoklah kalau esok ada peluang sebelum saya berangkat ke ‘Asean Minister Forum’ di Indonesia, saya akan bertemu beliau,” katanya menurut Berita Harian.
Minggu lalu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) Razali Mohd Sham, mendakwa mengikut harga semasa, tiket penerbangan umrah hanya sekitar RM2,700 hingga RM2,800, tetapi dijual semula oleh agensi umrah tertentu sekitar RM4,800 hingga RM5,000.
Katanya, belum ada tindakan sewajarnya diambil menyekat monopoli didakwa membabitkan empat hingga lima syarikat umrah tempatan membolot tiket penerbangan dan menjualnya semula pada harga lebih tinggi.
“Mereka hanya membayar sekitar 10% deposit untuk membeli keseluruhan tiket bagi satu penerbangan. Ini menyebabkan agensi umrah terutama yang kecil tak dapat beli terus tiket dengan syarikat penerbangan kerana semua tempat duduk sudah dibolot,” lapor akhbar itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.