Penulisan ini boleh dianggap lanjutan artikel saya yang terdahulu siaran FMT bawah tajuk: “Kekuatan orang Melayu“. Bolehlah dilihat bagai bahagian dua jika mahu.
Anwar Ibrahim tempoh hari menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara. Singkatannya IJN. Saya terbaca ada reaksi di media sosial begini: ”IJN idea dan usaha Tun Mahathir”. Ada juga berbunyi: ”Akhirnya PM10 akui idea PM4/7”. Ada lagi reaksi yang kutuk Anwar dan penyokongnya. Saya kira mereka golongan yang belum atau tidak boleh “move on” daripada apa yang pernah berlaku antara Anwar dengan Mahathir. Apa yang berlaku tidak perlu saya huraikan. Itu kisah lama dalam sejarah politik negara.
Yang ingin diceritakan di sini ialah ada orang yang berkata, “kebetulan dengan perayaan Thaipusam”. Benar Anwar pergi ke IJN 5 Feb lalu hari masyarakat Hindu sambut Thaipusam. Ada yang menyampuk dengan berkata: ”Thaipusam dan Chap Goh Meh kena check kesihatan. Besok sihat”. Banyak lagi komen seperti itu. Pada pandangan saya ada semacam “insinuation”. Ini kita cerita sebentar lagi.
Kebetulan Thaipusam (cuti am) dan Chap Goh Meh yakni hari terakhir perayaan sambutan Tahun Baru Cina jatuh pada hari yang sama. Selepas ke IJN, Anwar menaik muat hantaran di Facebook dan Instagram gambar beliau bersama anaknya Nurul Izzah selaku penasihat kewangan dan ekonomi serta dua pegawai sambil memberitahu: ”Pagi tadi menjalani pemeriksaan kesihatan di IJN. Seusai pemeriksaan dan doktor mengesahkan kesihatan saya berada pada tahap yang baik, saya langsung menyambung tugasan bersama staf. Alhamdulillah.”
Bagi saya, reaksi terhadap pemeriksaan kesihatan Anwar bernada sangsi, sindir, dan memerli. Yang ingin disampaikan oleh golongan tertentu pada hemat saya (selain mencadang Anwar tidak bercakap benar) ialah tuduhan Anwar tidak mahu ke upacara Thaipusam di Batu Caves lantas mencari alasan.
Pada upacara di Batu Caves, V Sivakumar, menteri sumber manusia, maklum kepada khalayak perdana menteri tidak dapat hadir kerana tidak sihat. Bagaimanapun beliau memberitahu Anwar akan mengadakan pertemuan dengan wakil kuil yang menganjur sambutan Thaipusam. Pertemuan mungkin diadakan dalam masa dua minggu. Agendanya tidak diketahui. Kebetulan sehari sebelumnya, tersiar berita MAINJ atau Majlis Agama Islam Johor pada minggu terdahulu mengeluarkan fatwa melarang umat Islam menyertai upacara keagamaan lain di negeri itu. Fatwa diberitakan mendapat perkenan Sultan Johor.
Mungkin sesetengah pihak beranggapan Anwar ‘terperangkap’ dan tidak mahu hadir upacara Thaipusam untuk ambil hati umat Islam tanpa menyakiti hati orang Hindu. Apa lagi pilihan raya di enam negeri akan diadakan tidak lama lagi. Mungkin itu yang bermain di fikiran golongan tertentu. Ini saya katakan berdasarkan ‘bunyi’ dan ‘nada’ komen mereka terhadap pemeriksaan Anwar di IJN. Mungkin saya yang tersalah baca dan tersalah anggap tapi saya yakin saya betul.
Apa pun bagi saya (jika bacaan saya betul), Anwar tidak terkesan dituduh pro-Hindu anti-Islam atau anti-Hindu pro-Melayu dan sebagainya sama ada beliau menghadiri ucapaca Thaipusam atau pun tidak. Apatah lagi Sultan Johor kemudian menjelaskan fatwa MAINJ bahawa yang dilarang ialah menyertai upacara keagamaan agama lain bukan menghadiri acara perayaan. Sultan Johor sendiri menghadiri majlis santapan sempena Thaipusam di sebuah kuil di Skudai.
Saya kira untuk Anwar yang terlalu biasa dengan pelbagai tuduhan, syak sesetengah pihak berhubung pemeriksaannya di IJN bukan masalah. Umum tahu Anwar dilempar bermacam tuduhan yang jauh lebih kasar dan kesat selama pembabitannya dalam arena politik. Beliau tidak tertunduk. Boleh dikatakan Anwar sudah lali dengan tuduhan yang kata beliau dan penyokong tidak berasas dan yang bukan-bukan. Justeru Anwar berada di tempat beliau berada sekarang.
Ada rakan memberitahu saya semasa Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan perdana menteri, mereka tidak hadir upacara Thaipusam di Batu Caves. Oleh itu mungkin Anwar terpaksa ikuti langkah mereka untuk mengelak isu politik dicetus golongan berhaluan “extreme“. Ini seperti dikatakan tadi bukan kemungkinannya. Sesungguhnya, pada pemerintahan Muhyiddin dan Ismail, perayaan Thaipusam dikawal rapi akibat Covid-19 dan diadakan secara kecil-kecilan. Oleh itu ketidakhadiran mereka memang dijangkakan. Muhyiddin semasa menjadi timbalan perdana menteri era BN dulu pernah hadir acara di Batu Caves mewakili kerajaan waktu itu.
Saya tidak tahu sejak bila amalan ketua kerajaan atau wakil hadir upacara Thaipusam. Tidak dipastikan sama ada Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, mahupun Hussein Onn berbuat demikian. Mereka dikenali sebagai pemimpin moderat terutama Tunku. Tunku Abdul Rahman pernah dituduh kumpulan ‘ultra’ dalam Umno sebagai pro-Cina dan terlalu mesra dengan bangsa bukan Melayu. Malah gambar anggota Kabinetnya, Khir Johari berpakaian lengkap Maharaja China sebagai gimik menyambut Tahun Baru Cina digunakan kumpulan “hardliner” untuk menyerang kerajaan Tunku, khususnya Tunku sendiri. Ini dinyatakan Tunku dalam bukunya berjudul ”13 May 1969 – Before and After”.
Seingat saya yang kerap hadir upacara sambutan Thaipusam di Batu Caves ialah Mahathir setelah beliau diundang oleh presiden MIC waktu itu, S Samy Vellu, yang juga menteri dalam pentadbiran Mahathir untuk sekian lama. Musuhnya menuduh Samy berbuat demikian untuk tujuan politik dan meningkatkan imej partinya terutama imejnya sendiri di mata masyarakat India. Kata MIC pimpinan Samy, undangan dibuat demi muhibbah untuk mendekatkan masyarakat India dengan pemimpin negara serta memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada komuniti India. Selepas Mahathir, perdana menteri lain terutama Najib Razak hadir pada sambutan Thaipusam.
Bagi saya tidak ada salahnya orang Islam termasuk pemimpin beragama Islam menghadiri upacara Thaipusam atau perayaan keagamaan lain. Bak titah Sultan Johor, boleh hadir jangan sertai. Semua orang Islam faham.
Yang pelik apabila Anwar tidak hadir sebab menjalani pemeriksaan kesihatan bermacam sindiran dituju kepada beliau. Jika tak percaya, lihatlah komen di media sosial dan juga portal dalam talian tertentu. Sesuatu yang sia-sia. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.