`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 11, 2023

Cerita Makcik Kiah dan Rahmah

 

Meminjam lirik lagu top kumpulan Kopratasa “Masihkah kau ingat”, masih ingatkah kita akan Makcik Kiah? Di mana agaknya beliau sekarang? Masih berniaga? Gerai nasi campurnya ada hidang Menu Rahmah tak?

Makcik Kiah diperkenal Muhyiddin Yassin masa jadi perdana menteri dulu, waktu Covid-19 mengganas. Sebenarnya Makcik Kiah ialah si rakyat biasa yang berusaha keras menyara hidup tiba-tiba hadapi bencana yang tidak pernah dialaminya, lantas timbul 1001 masalah. Artikel ini bagaimanapun bukan pasal Makcik Kiah. Ini mengenai Menu Rahmah, peminatnya dan yang bukan.

Menu Rahmah sedang “hot” sekarang. Bolehlah dikata macam itu. Ia sajian di tempat makan yang mampu dibeli ramai untuk menjamu selera, atau untuk kenyang perut tanpa terpaksa bayar harga mahal. Ringkasnya Menu Rahmah hidangan seimbang yang mampu dibeli ramai orang.

Namun satu laporan berita membabitkan Menu Rahmah mendapat perhatian saya tempoh hari. Portal BTS Media memetik NST melaporkan Persatuan Peniaga Kecil Bumiputera mengeluh dan merungut. Jelaslah mereka bukan peminat Menu Rahmah. Inisiatif Menu Rahmah kata mereka boleh menjejaskan pengusaha kecil makanan. Malah menurut presiden persatuan, Rosli Sulaiman, ada peniaga yang kehilangan keuntungan kerana berniaga di medan selera yang sama dengan gerai menyaji Menu Rahmah.

Beliau mendakwa beberapa pengusaha kecil makanan mengadu mengalami kerugian besar pada minggu pertama pelancaran program menu berkenaan. Program Menu Rahmah dilancar 31 Jan lalu oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub. Kata Rosli, harga makanan semakin meningkat dan harga beberapa jenis sayur meningkat 100%. Betul. Itu kita tahu. Maka itulah antara sebabnya Menu Rahmah diwujudkan “in the first place”.

Apa pun memandangkan keadaan itu Rosli mahu kerajaan memberi subsidi kepada pengusaha makanan dan turut menggesa kerajaan mengekalkan pemberian bantuan “one-off” RM1,000 kepada syarikat Perusahaan Mikro,Kecil dan Sederhana berdaftar yang disebut dalam Belanjawan 2023. Maknanya bayaran “one-off“ bukan lagi “one-off“. Diingatkan Belanjawan 2023 dibentang oleh pentadbiran terdahulu sebelum sempat ia diluluskan kerana Parlimen bubar untuk PRU15. Belanjawan baharu akan dibentang oleh kerajaan semasa pada pertengahan bulan ini.

Ada lagi kata Rosli. Beliau dan persatuannya berharap agensi kerajaan tempatan dapat mengurangkan sewa untuk perniagaan kecil supaya mereka dapat mengharungi kenaikan kos bahan makanan. Rosli memperincikan beban kos yang peniaga kecil tanggung yang saya tidak cadang ulangi di sini. Perlu diingat program Menu Rahmah komitmen sepenuhnya peniaga yang menyertainya secara sukarela. Ia tidak melibatkan peruntukan atau perbelanjaan kerajaan. Bagaimanapun ia inisiatif kementerian yang diterajui Salahuddin. Sebab itu beliau diberi penghormatan melancarkannya, dan sedikit sebanyak beliau, kementeriannya, dan kerajaan dapat nama.

Menu Rahmah dilihat antara usaha kerajaan menangani kos sara hidup rakyat. Menurut Bernama, masyarakat khususnya golongan sasar memberi maklum balas positif. Tinjauan sentimen yang dilakukan Bernama pada 2 dan 3 Feb lalu mendapati “kira-kira 56% yang ditemui menyambut baik komitmen kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dalam menjaga kebajikan rakyat terutama B40 dengan menawarkan hidangan berkhasiat tengah hari dan malam pada harga RM5 sepinggan”. Program itu setakat ini menarik penyertaan lebih 15,000 restoran seluruh negara.

Peminat Program Menu Rahmah mungkin tidak senang dengan rungutan dan aduan Persatuan Peniaga Kecil Bumiputera. Walaupun belum kedengaran secara lantang dan terbuka tidak mustahil mereka yang menyokong program berkenaan akan, atau boleh, menuduh peniaga kecil yang merungut mengambil kesempatan untuk mendapatkan subsidi dan bantuan lain daripada kerajaan. Mungkin peniaga kecil boleh dituduh manja sangat dan mengada-ngada. Begitu? Harap-harap tak ada tuduhan seperti itu.

Diberitakan Menu Rahmah akan diperluaskan dengan penyertaan pengusaha restoran yang menyediakan makanan bukan halal. Ertinya program dijangka berkembang, dan lebih ramai yang akan menikmati manfaatnya. Tetapi timbul persoalan sejauh mana program itu mampu bertahan. Penganalisis ekonomi, Ahmed Razman Abdul Latiff, dipetik Bernama berkata inisiatif itu memerlukan sinergi antara kerajaan, peniaga makanan, dan pembekal bahan mentah sekiranya tidak mahu berakhir bak hangat-hangat tahi ayam. Harap tidak begitu akhirnya.Panjang lebar huraian beliau dalam menguatkan hujah.

Menu Rahmah berterusan akan mengembirakan banyak pihak. Bagaimana pula rungutan dan keluhan si peniaga kecil? Persoalan ini sama pentingnya dengan persoalan di atas. Oleh itu setidak-tidaknya apa yang diluahkan diberi pertimbangan wajar. Diakui ada permintaan mereka sememangnya sukar dipenuhi.

Rahmah berasal daripada Bahasa Arab yang ertinya kasih sayang. Selanjutnya membawa erti belas kasih, simpati, atau kemurahan hati. Dalam isu Menu Rahmah, rungutan peniaga kecil mungkin boleh diibaratkan dengan peribahasa Inggeris: “the road to hell is paved with good intentions”. Terjemahannya lebih kurang begini: “Jalan ke neraka berturap dengan niat baik” yakni kadang-kadang niat baik boleh buat orang lain susah. Bolehkah ia digunakan untuk gambarkan isu yang diperkatakan ini?

Apa pun mungkin dalam isu Menu Rahmah dan peniaga kecil, penyelesaiannya untuk kedua-dua pihak ialah penurunan harga bahan mentah. Bukan senang dicapai tetapi itulah cabarannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.