`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 2, 2023

Duit tin milo atau kasino duhai parti politik?

 

APA yang menimpa Bersatu daripada Perikatan Nasional baru-baru ini iaitu pembekuan akaun parti itu membawa kita kembali kepada perbincangan yang “tersenyapkan” iaitu usaha untuk menggubal Akta Pendanaan Parti Politik. Rasanya sudah berbusa mulut aktivis masyarakat sivil dan reformis pilihan raya seperti gerakan Bersih, Ilham Centre, Iman Research dan Ideas agar satu Rang Undang-Undang (RUU) persendirian mengenai pendanaan politik segera diberi laluan.

Apa yang dialami oleh parti itu boleh saja menimpa parti politik lainnya termasuk gabungan parti Pakatan Harapan yang sebelum PRU15 begitu garang mendorong reformasi. Parti jenis Umno kita tidak berapa hairan. Ada yang sudah ke jel pun.

Ekoran tiadanya satu undang-undang khusus untuk menangani hal ini maka tidaklah menghairankan jika Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika mengesahkan pembekuan akaun itu menyatakan, ia disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Sekiranya benar pembekuan akaun Bersatu dibuat bagi memudahkan siasatan yang dakwaan parti itu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor ketika parti itu menjadi kerajaan, maka kita tahu mengapa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia untuk negara kita tidak pernah beroleh markah memuaskan.

Setiap tahun Malaysia menyaksikan kejatuhan skor lantaran tiadanya reformasi institusi yang bermakna. Dek kerana tiada tekad untuk menjadikan Akta Pendanaan Parti Politik ini berjaya maka kita pun dapat melihat bagaimana politik wang menjadi-jadi ketika PRU15 lalu.

Akta persendirian tentang pendanaan politik ini andai lulus dibentangkan, akan menjadi langkah sulung dalam memastikan sistem politik yang lebih telus dan bertanggungjawab. Rakyat justeru tidak dalam kekelaman untuk mengetahui bagaimana sesebuah parti melakukan pendanaan, akauntabiliti dan seterusnya bagaimana dana itu diuruskan. Zaman tin milo untuk mendanai parti politik sudah lama berlalu. Kita pengundi ingin tahu siapa yang mendanai parti kesayangan kita, apakah ia didanai jemaah masjid, atau oleh tahi judi? Artis mabuk dakwah yang sudah menerima banyak wang ketika kempen PRU15 sedang kepanasan kerana tidak tahu wang yang mereka terima selama ini apakah wang mesin slot, atau wang taikun.

Penggubalan akta yang saya sebutkan di atas bakal membolehkan kita pengundi dan pihak berkepentingan lainnya memastikan pelaksanaan langkah susulan seperti deklarasi aset serta akta yang mengawal selia parti politik ini.

Bersekali dengan ini tentunya kita perlu menjayakan reformasi ke atas Jabatan Peguam Negara dalam memisahkan peranan peguam negara dengan pendakwa raya. Ini kerana ia boleh menjadi punca terjadinya pendakwaan terpilih, sehingga menimbulkan konflik kepentingan dalam peranan peguam negara. Justeru tiada parti politik boleh melalak-lalak menuduh difitnah atau ada pendakwaan terpilih.

Seingat saya, pada tahun 2022 Perikatan Nasional sendiri menerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia ada menghantar cadangan RUU Akta Persendirian Pendanaan Parti Politik ini menerusi Pengerusinya, Ahmad Fadhli Shaari, kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Fadhli yang juga seorang Ahli Parlimen menyatakan cadangan RUU ini ialah supaya satu standard dirumuskan dengan pemberian peruntukan dana awam RM130 juta setahun untuk semua parti politik yang berkelayakan. Mengikut RUU tersebut, sebanyak RM120 juta diperuntukkan kepada parti politik mengikut jumlah perolehan undi masing-masing, manakala pengagihan baki RM10 juta berdasarkan bilangan wakil rakyat parti politik yang berkelayakan. Selain itu, lapornya pada waktu itu; pembahagian RM120 juta tersebut juga perlu mengikut kuota – RM90 juta untuk Semenanjung dan masing-masing RM15 juta untuk Sabah dan Sarawak.

Akan tetapi, nampaknya selepas PRU15 akta ini semacam disenyapkan oleh parti politik sedia ada. Ada suara dalam PAS sendiri nampaknya krik… krik…krik…krik…bahkan menghujahkan sogokan dan bayaran kepada pengundi sebagai sedekah. Tolonglah ahli politik (baca: semua ahli politik) berjujurlah, apa yang payah?

Kami pengundi mahu melihat libat urus yang mantap antara parti politik dengan sektor swasta, ini kerana badan korporat sering dilihat sebagai antara sumber pendanaan parti politik. Dengan ini dakwaan ada kontraktor memberi habuan besar demi memastikan kerajaan sedia ada (baca: kerajaan sebelumnya) “terus menang” untuk menjamin kelangsungan habuan mereka mestilah ikut diberi perkiraan penting. Ini lantaran badan korporat adalah penderma terbesar kepada parti dan juga ahli politik. Badan korporat mesti dilibatkan juga dalam proses ini demi memastikan reformasi ini menjadi dan terjadi.

Ketika saya mewawancara Azam, ketua pesuruhjaya SPRM untuk akhbar-jurnal Svara awal tahun 2022, beliau sudah menyuarakan keperluan agar akta ini diperkenalkan.

Inilah puncanya mengapa Azam kurang disenangi oleh ramai ahli politik, ini kerana kerimasan parti politik itu adalah pada usaha menggerakkan kekangan dan pemantauan terhadap pendanaan parti politik khusus berkait dengan pilihan raya dan kempennya.

Akan tetapi Azam adalah seorang penjawat awam. Beliau terpaksa memulangkan azam ini kepada tekad ahli politik dan pimpinan negara untuk bersikap telus dalam hal pendanaan.

Dalam pertemuan saya dengan beliau, Azam menegaskan yang banyak negara luar seperti contohnya di Indonesia, United Kingdom dan Amerika Syarikat sudah menyediakan garis panduan tentang pembiayaan politik, dana politik. Apabila adanya garis panduan yang jelas, maka sebarang persepsi yang mengatakan sedekah ini rasuah, boleh dilurus atau dibengkokkan menurut kejelasan hukum dan undang-undang.

Parti politik tidak boleh menentang akta dianjurkannya sendiri, atau menentang reformasi yang diperjuangkan apabila terkenakan batang hidung sendiri. Maruah negara yang madani dalam perhatian. Jangan nanti orang bilang, pimpinannya aduh madani tapi iltizam politiknya sayang celakawi.

Jika akta pendanaan parti politik ini tidak digubal, kita akan melihat sekali lagi dalam PRU mendatang sekumpulan artis dan pempengaruh platform yang mendapat bayaran parti tertentu menggedik memanggil-membujuk pengundi agar mengundikan parti tertentu. Jika akta ini tidak digubal, kita pengundi tidak akan tahu apakah duit sedekah kita itu datang dari tin milo atau datang dari kasino. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT,

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.