KUALA LUMPUR: Gangguan pada laluan LRT Ampang antara stesen Bandaraya dan Masjid Jamek dijangka berlarutan sehingga September, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Pada sidang media di Parlimen, Loke berkata, pembaikan kerosakan struktur jejambat dan tiang berhampiran stesen LRT Bandaraya akan dimulakan pada awal Mac dan dijangka mengambil masa sehingga tujuh bulan.
“Tempoh ini merangkumi dua bulan kerja-kerja pembaikan sementara untuk mengukuhkan struktur, dan lima bulan kerja-kerja pembaikan menyeluruh.
“Kerja-kerja ini akan mengambil masa kerana siasatan menunjukkan kerosakan struktur adalah risiko keselamatan yang sangat serius,” katanya.
Loke berkata, siasatan terhadap kerosakan struktur itu mendapati ia berpunca daripada pergerakan tanah, dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan sebuah hotel yang dicadangkan di tapak bersebelahan.
Katanya, Kementerian Pengangkutan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemaju kerana pembinaan dipercayai dimulakan tanpa terlebih dahulu melibatkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).
“Bagaimanapun, kita tidak boleh menunggu pampasan daripada tindakan undang-undang. Kita perlu tanggung kos pembaikan terlebih dahulu.
“Apabila sudah ada bukti kukuh, kita akan ambil tindakan undang-undang,” katanya.
Loke berkata, perkhidmatan pengangkutan alternatif telah disediakan untuk penumpang antara stesen Bandaraya dan Masjid Jamek sejak 27 Jan.
Katanya, sebaik sahaja laluan MRT Putrajaya dibuka sepenuhnya, penumpang LRT Ampang boleh menggunakan laluan MRT tersebut sebagai alternatif, seperti melalui stesen pertukaran seperti Chan Sow Lin, Titiwangsa dan Sungai Besi.
“Kami faham kesulitan yang dialami oleh penumpang dan kami memohon maaf atas perkara ini,” katanya sambil mengucapkan terima kasih atas kesabaran orang ramai. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.