`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, February 2, 2023

Hanya 10% tiket umrah dijual kepada jemaah Indonesia, kata kementerian

 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, 90% kapasiti tiket itu ditawarkan kepada jemaah Malaysia dan dilihat mencukupi untuk ditempah agensi pengurusan umrah tempatan. (Gambar AP)

PUTRAJAYA: Amal by Malaysia Airlines, cabang penerbangan haji dan umrah yang dikendalikan Malaysia Airlines, hanya menjual 10% daripada jumlah keseluruhan kapasiti tiket umrah kepada jemaah Indonesia, demikian menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan 90% kapasiti tiket berkenaan ditawarkan kepada jemaah Malaysia dan dilihat mencukupi untuk ditempah agensi pengurusan umrah tempatan yang dilesenkan kementerian itu.

“Dakwaan yang menyatakan wujudnya monopoli kepada beberapa syarikat tertentu dan kelebihan diberikan kepada jemaah Indonesia tidak benar sama sekali.”

Baru-baru ini, tular dakwaan terdapat agensi umrah memonopoli pembelian tiket penerbangan secara pukal dan menjual sebahagian besar tiket penerbangan umrah itu kepada jemaah negara jiran.

Pihak terbabit turut mendakwa situasi itu antara punca berlaku kesukaran mendapatkan tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah dan secara tidak langsung menyebabkan kos pakej umrah meningkat.

Mengambil maklum isu terbabit, kementerian itu memaklumkan sudah mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dengan dihadiri wakil kementerian berkaitan, termasuk persatuan pengendali pelancongan yang dilesenkan pada Selasa lepas.

Menurutnya, mesyuarat itu memutuskan pihak Amal meneliti semula keseragaman pembahagian tiket penerbangan umrah bagi memastikan semua syarikat pengendali umrah tempatan yang dilesenkan mendapat peluang terbuka.

“Langkah ini juga bertujuan memberi manfaat secara langsung kepada orang ramai yang ingin mengerjakan umrah.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.