`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, February 8, 2023

‘Kenyataan jijik’, Kasthuri selar pemimpin PAS samakan wanita dengan barang

 

Kasthuri Patto mengecam komen AJK PAS Pusat Dr Azman Ibrahim yang menurutnya, memperkecilkan kedudukan dan martabat wanita di Malaysia.

PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen DAP menyelar tindakan pemimpin PAS yang membuat kenyataan menyamakan wanita dengan “barang” ketika mengulas mengenai isu seorang wanita tidak dibenarkan masuk ke balai polis kerana berseluar pendek.

Kasthuri Patto, yang lantang memperjuangkan hak asasi wanita dan kanak-kanak dalam Dewan Rakyat, menyifatkan kenyataan ADUN Jabi Dr Azman Ibrahim sebagai “menjijikkan”, lebih-lebih lagi apabila ia dikeluarkan oleh pemimpin sebuah parti Islam.

“Saya berasa jijik dengan komen pemimpin PAS yang sekali lagi memperkecilkan kedudukan dan martabat wanita di Malaysia dalam kenyataannya yang membuat perbandingan sosok wanita dengan ‘barang’,” katanya kepada FMT.

“Sudah masuk 2023, mahu lihat Malaysia kembali sebagai ‘Harimau Asia’ tetapi apabila pemikiran mereka ini terperangkap dalam zaman batu, mana mungkin negara akan maju?

“Adakah kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual, atau warga emas yang dianiaya juga dikategorikan sebagai ‘barang’?”

Dilaporkan semalam bahawa Azman, yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat, menerima kecaman di media sosial kerana dikatakan menyamakan wanita dengan “barang”, yang menurutnya harus “dibungkus comel dan kemas”.

Beliau membuat kenyataan sedemikian dalam ciapan di Twitter, mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman berhubung dakwaan seorang wanita tidak dibenarkan masuk membuat laporan di balai polis kerana berseluar pendek.

“Barang mahal bernilai tinggi akan dibungkus comel dan kemas,” kata Azman di Twitter.

“(Kalau) main jual terdedah tepi jalan, itu barang tiruan harga murah.”

Kebanyakan pengguna media sosial membidas Azman, mendakwa beliau seakan-akan memandang rendah wanita.

Bagaimanapun, beliau mempertahankan kenyataannya dengan menegaskan ia hanyalah peribahasa dan analogi.

Minggu lepas, seorang wanita mendakwa dilarang memasuki Balai Polis Kajang untuk membuat laporan mengenai kemalangan dialaminya.

Dakwanya, beliau dilarang masuk walaupun memakai seluar pendek menutup bahagian lututnya dan hanya dibenarkan selepas kakaknya membawa seluar panjang untuknya.

Sabtu lepas, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, mereka yang pergi ke balai polis perlu menjaga prinsip kelima Rukun Negara dan berpakaian sopan serta menjaga akhlak.

Kasthuri, bekas Ahli Parlimen Batu Kawan menambah, pemimpin PAS seharusnya memberi teguran dengan menumpukan kepada tanggungjawab dan amanah pihak polis untuk menerima laporan daripada mana-mana individu tanpa diskriminasi.

“(Pemimpin PAS) sepatutnya fokus terhadap tanggungjawab pihak polis untuk terima laporan daripada sesiapa pun tanpa melihat pakaian mereka, terutama sekali selepas kejadian kemalangan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.