`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 2, 2023

Kos sebenar Stadium Shah Alam diperinci Feb atau Mac, kata MB

 

Amirudin Shari berkata kos RM787 juta bagi Stadium Shah Alam melibatkan proses membaik pulih atau menaik taraf keseluruhan fasiliti, bukannya pembinaan stadium baharu. (Gambar fail)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari akan memperincikan mengenai kos pembangunan semula Stadium Shah Alam selepas pameran dan sesi libat urus awam berkaitan stadium selesai, Feb depan.

Beliau berkata, perincian itu akan dibuat selepas tamat sesi libat urus berkenaan iaitu sama ada hujung bulan ini atau awal Mac nanti.

“Saya ada pakar (dalam menentukan) perkiraannya, kalau kita lihat stadium sahaja, memang sekitar RM700 juta hingga RM800 juta, tetapi kalau lihat keseluruhan, kemungkinan lebih sebab kita akan ada taman, kawasan pelancongan, rekreasi, dan sebagainya serta kita juga akan bina hotel.

“Kalau kita banding stadium dengan stadium, saya yakin ia lebih RM700 juta dan tidak sampai angka RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media bagi mengulas mengenai kenyataan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menyifatkan kos RM700 juta untuk pembinaan semula Stadium Shah Alam sebagai tidak logik.

Terdahulu, beliau melancarkan program Kita Ke Kampung #produkkampung4u di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Amirudin berkata, pihaknya juga akan mengumumkan tanah yang akan di tukar kerajaan negeri dengan syarikat pemaju, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

“Rancangan awal, tukar tanah yang tidak digunakan di kawasan stadium, tetapi sekarang rancangan kita sudah sedikit berubah kerana kita akan bangunkan keseluruhan kawasan stadium. MRCB akan bangunkan kawasan ini dengan kos mereka dahulu sehingga siap, baru kita akan gantikan dengan kos setimpal,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.