`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, February 1, 2023

Lelaki menyamar polis samun, cabul ditahan

 

Selain merampas telefon bimbit mangsa, suspek turut mencabul isteri mangsa apabila berang setelah ajakannya untuk melakukan hubungan seks ditolak.

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis sebelum dipercayai melakukan jenayah samun dan cabul ditahan dalam serbuan di hadapan sebuah premis di Taman Sri Pendang, Pendang, Ahad lepas.

Ketua Polis Pendang Arriz Sham Hamezah berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan pada 3.30 petang selepas seorang lelaki mendakwa menjadi mangsa penipuan suspek yang merampas telefon bimbit dan mencabul isterinya.

“Mangsa mendakwa suspek yang menunggang motosikal seorang diri menghampirinya ketika sedang membaiki kereta seorang rakannya yang rosak di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak kira-kira 12.30 tengah malam.

“Suspek kemudiannya memperkenalkan diri kepada mangsa dan rakannya sebagai pegawai polis. Suspek meminta kad pengenalan kedua-dua lelaki berkenaan untuk semakan sebelum merampas telefon bimbit milik mangsa,” katanya, lapor Bernama.

Arriz Sham berkata, suspek kemudian meminta mangsa untuk hadir ke IPD Pendang jika mahu mengambil telefon bimbit miliknya semula, sebelum beredar.

Menurutnya, suspek kemudian menghubungi isteri mangsa melalui telefon bimbit milik mangsa, memberitahunya bahawa suaminya berada dalam tahanan polis.

Suspek mendakwa kononnya dia boleh melepaskan mangsa dan mengajak wanita itu untuk berbincang di sebuah kawasan perumahan.

“Wanita yang bimbang itu berjumpa suspek dengan menaiki kereta dan sebaik tiba di lokasi perjumpaan, suspek masuk ke dalam kereta dan meminta wanita berkenaan untuk terus memandu,” kata Arriz Sham.

Beliau berkata, suspek kemudian dipercayai mengajak wanita itu melakukan hubungan seks, namun ditolak sehingga menyebabkan suspek berang dan kemudiannya mencabul isteri mangsa.

Mangsa dan isterinya yang sedar mereka ditipu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, tambahnya.

Susulan itu, sepasukan anggota polis berjaya mengesan dan menahan suspek, serta merampas beg dan kotak hitam yang berisi dadah jenis syabu, kondom dan telefon bimbit, kata Arriz Sham.

Suspek direman selama tujuh hari bermula Isnin lepas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 354, 170, dan 392 Kanun Keseksaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.