`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 1, 2023

Op Selamat: Kemalangan meningkat lebih 40% di Selangor

 

Menurut polis Selangor tiga lokasi mencatatkan kemalangan tertinggi adalah Petaling Jaya, Shah Alam dan Kajang.

SHAH ALAM: Sebanyak 4,042 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Selangor menerusi Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina bermula 18 hingga 27 Jan lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 43.8% berbanding Op Selamat 17 tahun sebelumnya dengan 2,810 kes kemalangan.

Beliau berkata, sebanyak 17 kes kemalangan maut turut direkodkan manakala dua kes mangsa mengalami cedera parah dan 25 kes cedera ringan.

“Tiga lokasi mencatatkan kemalangan tertinggi adalah kawasan Petaling Jaya sebanyak 527 kes, Shah Alam (471) dan Kajang (433). Peningkatan kes kemalangan ini menunjukkan masyarakat masih lalai mengenai keselamatan jalan raya,” katanya.

Menurut Sasikala, sebanyak 28,792 saman turut dikeluarkan polis di Selangor menerusi operasi berkenaan.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu menurun sebanyak 44.4% iaitu sebanyak 22,691 saman berbanding Op Selamat 17 berjumlah 51,753 saman.

“Antara kesalahan paling banyak dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah memandu melebihi had laju, memotong barisan di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, melanggar lampu isyarat dan penyalahgunaan laluan lorong kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 357 kes jenayah direkodkan di 16 lokasi seluruh Selangor dengan 280 daripadanya melibatkan kes jenayah harta benda manakala selebihnya jenayah kekerasan.

Mengenai perayaan Thaipusam, Sasikala berkata seramai 500 anggota polis akan bertugas menjaga ketenteraman serta keselamatan orang ramai di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves.

“Mereka akan ditempatkan di lima zon meliputi 45 ‘check point’ di dalam dan luar kawasan kuil berkenaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.