`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 3, 2023

Sokongan suami kekuatan bantu wanita tanpa rahim, kata pengasas MRKH Malaysia

 

Nur Syazwani Abdul Rahim atau Wani Ardy akui bertuah perjuangannya disokong suami.

SHAH ALAM: Demi membela wanita senasib dengannya, Nur Syazwani Abdul Rahim memberanikan diri tampil mengisytiharkan dirinya lahir tanpa rahim dan saluran vagina.

Disokong suaminya, Nur Syazwani, 39, atau lebih dikenali Wani Ardy bertindak sedemikian bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai sindrom MRKH – Mayer-Rokinstansky-Kauser-Hauser (MRKH).

“Alhamdulillah, saya ada suami yang sangat menyokong saya dari belakang dan terbuka (sebab) saya tahu, sangat tak ramai suami yang okey dengan isterinya hendak bercakap ‘dia pernah lahir tanpa vagina dan masih tiada rahim’.

“Dia sangat terbuka. Alhamdulillah dan keluarganya pun boleh menerima,” katanya kepada FMT.

Keadaan rahim penghidap sindrom MRKH berbanding wanita normal.

Ketiadaan rahim dan saluran vagina bermaksud wanita terbabit tidak boleh melahirkan anak, sesuatu didambakan mana-mana pasangan yang mendirikan rumah tangga. Wanita terbabit juga tidak boleh berhubungan kelamin dengan suami selagi ketiadaan saluran vagina itu tidak dirawat melalui terapi atau pembedahan.

Jiwa besar suami Wani menerima dirinya seadanya memberikan semangat untuknya membela wanita senasib dengannya yang mungkin dilanda perasaan ketakutan dan memerlukan bantuan.

“Isu ini sangat peribadi, sebab kita bercakap tentang rahim serta vagina. Jadi memerlukan keberanian untuk saya ke depan untuk bercakap di khalayak ramai,” katanya.

Walaupun sudah sembilan tahun melakukan aktiviti kesedaran awam berhubung MRKH, Wani mengakui dirinya adakala resah dan mengalami gangguan serangan kebimbangan.

Katanya, ini kerana beliau bimbang jika terlalu banyak berkongsi kepada umum mengenai sindrom berkenaan sehingga menimbulkan persepsi berbeza.

Bagi Wani, dilahirkan tanpa rahim bukan “jalan mati” bagi mana-mana wanita namun masih ada cara lain untuk mewujudkan perhubungan sihat dengan pasangan masing-masing.

“Walaupun lahir tanpa vagina, ada cara untuk kita bentuk (saluran) vagina itu. Ada terapi untuk kita lalui, sekiranya tidak berjaya ada pembedahan boleh dilakukan.

“Pada saya, zuriat adalah isu kedua. Dapat anak ke, tak dapat anak ke, itu bonus. Sebab wanita yang sepenuhnya normal belum tentu boleh dapat anak kan?,” kata Wani penuh optimis.

Wani Ardy aktif di semua platform media untuk meningkatkan kesedaran bersabit sindrom MRKH.

Terima kasih ibu

Ketika disahkan menghidap sindrom MRKH, Wani baru berusia 17 tahun – belum mengerti apakah kesan bakal ditempuhinya apabila sudah sedia berumah tangga.

Beliau bernasib baik kerana ibunya membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selepas anak gadisnya itu belum mengalami haid.

“Waktu itu saya masih keanak-anakan, masih panjat pokok mangga. Tak mengerti apakah kesannya kelak. Ibu sayalah yang paling sedih, memikirkan apa nasib saya pada masa akan datang.

“Pada usia 20-an saya jumpa kumpulan sokongan MRKH dari Amerika Syarikat, itu pertama kali saya berkomunikasi dengan wanita yang keadaan sama dengan saya melalui skype,” katanya.

Perbualan itu membuka kesedarannya berkomunikasi dengan wanita tempatan senasib dengannya untuk mengetahui keadaan mereka. Dari saat itu tertubuhlah MRKH Malaysia pada 2014 yang kini memiliki lebih 200 ahli berdaftar.

MRKH Malaysia mengorak langkah bekerjasama dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk merealisasikan pemindahan rahim pertama di negara bagi membantu wanita tanpa organ pembiakan untuk memiliki zuriat.

Namun, ia perlu mendapat persetujuan pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang pada pada Oktober 2014 memutuskan hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap darurat.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu bersetuju bahawa “ia boleh diubah mengikut keperluan semasa” susulan pembentangan fakta berhubung sindrom berkenaan oleh MRKH dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.