`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 3, 2023

Spekulasi tanding ketua Wanita Umno hasrat akar umbi, bukan Shahrizat, kata sumber

 

Persoalan sama ada bekas ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil bertanding dalam pemilihan parti hanya akan terjawab pada 13 Feb, kata sumber. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Hasrat kembali memimpin Wanita Umno bukan disuarakan Shahrizat Jalil tetapi permintaan akar umbi terhadap bekas pemimpin sayap itu, kata sumber.

Menjawab spekulasi bekas menteri itu bakal kembali ke gelanggang politik, sumber berkata beberapa ketua Wanita bahagian datang berjumpa Shahrizat dan mahu beliau kembali menerajui Wanita Umno yang dikatakan ketika ini “sudah lemah dan lesu”.

“Ini hasrat akar umbi, bukan hasrat Kak Jat. Akar umbi mahukan sebuah kepimpinan yang padu.

“Kak Jat mendengar (hasrat akar umbi) yang mahukan beliau kembali dan dia positif. Ia ‘welcome back’ bukan ‘comeback’,” kata sumber itu kepada FMT.

Sayap Wanita Umno ketika ini dipimpin Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad sejak 2018 selepas menewaskan Azizah Dun pada pemilihan parti ketika itu. Difahamkan, Noraini akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan kali ini.

Shahrizat yang memimpin Wanita Umno sejak 2008 mengumumkan tidak mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti 2018, kerana mahu ia diterajui individu mempunyai cara dan idea baharu.

Difahamkan, Shahrizat yang juga bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ini sedang menunaikan umrah.

Sumber itu berkata, persoalan sama ada Shahrizat benar-benar akan bertanding hanya akan terjawab pada 13 Feb ini, ketika pendaftaran pencalonan pemilihan parti.

Wanita ‘lemau’ bawah Noraini

Sementara itu, seorang ketua Wanita Umno bahagian yang enggan dinamakan berkata, tiada sumbangan untuk memartabatkan Wanita Umno sepanjang Noraini mengemudi sayap berkenaan.

Katanya, Wanita Umno bawah Noraini juga seolah-olah tidak bermaya berbanding ketika era kepimpinan Shahrizat, yang sangat lantang dan tegas memartabatkan hak wanita.

“Ketika Kak Jat pegang Wanita, kita nampak dia tegas, dia ‘fighter’, kali ini di bawah Noraini memang ‘slow’, Wanita jadi ‘lemau’ tak macam dulu. (Noraini) jadi menteri pun tak membantu apa-apa untuk Wanita,” kongsinya.

Menurutnya, Noraini juga jarang turun di peringkat akar umbi, menyebabkan ahli di bawah tidak merasai “kehadiran” dan kepimpinannya.

Pemilihan Umno bermula 1 Feb membabitkan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri yang berlangsung hingga 26 Feb ini.

Sementara mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.