`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, February 11, 2023

Sub-ejen, komisen, rasuah, selubungi isu pekerja asing

 

Ramai pekerja asing dikenakan bayaran pengambilan yang tinggi oleh ejen pihak ketiga.

PETALING JAYA: Seorang aktivis hak asasi buruh berkata gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk tidak menggunakan ejen bagi pengambilan pekerja asing mungkin kurang bijak kerana isu sebenar melibatkan perkara lain.

Adrian Pereira dari Inisiatif Utara-Selatan berkata isu sebenar terletak pada proses pengambilan, yang bermula dengan penglibatan “sub-ejen” di negara asal pekerja asing terbabit.

“Sub-ejen ini adalah sebahagian sindiket lebih besar terdiri daripada ramai pihak yang menuntut sebahagian kos pengambilan. Ia semakin tidak terkawal. Mereka tiada dalam radar,” katanya kepada FMT.

Pereira berkata sub-ejen menentukan dan menjadi perantara terhadap yuran perlu dibayar, menahan pekerja asing dan ejen sebagai “tebusan”.

Katanya, Malaysia memerlukan undang-undang atau perjanjian yang komprehensif dengan negara pekerja asing itu untuk menentukan dengan jelas dan mengehadkan yuran pengambilan pekerja.

Pada masa sama katanya, terdapat keperluan bagi Malaysia untuk mengemas kini undang-undang dan perjanjian dua hala selaras dengan prinsip Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi memastikan kos pengambilan tidak dibebankan semula kepada pekerja.

“Ejen diperlukan kerana mempunyai kepakaran tempatan, dan tidak semuanya buruk,” katanya.

Pereira berkata kerajaan perlu menyelaraskan semua permohonan pekerja asing di bawah Kementerian Sumber Manusia dan bukannya Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ini sahaja boleh menyelesaikan 90% masalah buruh paksa,” katanya. “Masih belum terlambat untuk kerajaan Anwar melakukannya.”

Selain itu, konflik kepentingan juga tidak seharusnya wujud dalam kalangan birokrat atau ahli politik yang mempunyai kepentingan khusus dalam syarikat pengambilan pekerja.

“Salah urus di pelbagai kementerian dan penswastaan perkhidmatan adalah punca kegagalan di sini, kerana ada yang sentiasa mengaut untung,” katanya.

Aktivis migran, Andy Hall berkata satu lagi punca kos pengambilan terlalu tinggi ialah “yuran komisen” yang dikenakan oleh pengantara di Malaysia untuk kos penerbangan, penginapan hotel dan aktiviti riadah bagi ejen di negara sumber, yang akhirnya terpaksa dibayar pekerja asing.

“Jika pentadbiran baharu tidak mengawal selia agensi, majikan dan pihak ketiga, pemerasan akan berleluasa dan risiko buruh paksa daripada belenggu hutang akan meningkat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.