`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 20, 2023

Susah sangatkah jadi pembangkang yang bagus?

 

Di dalam sistem demokrasi, parti pembangkang seringnya akan berusaha memuaskan ‘kehendak’, ‘hajat’, dan ‘impian’ para pengundi terbanyak justeru meyakinkan massa untuk membolehkan mereka memenangi pilihan raya. Negara yang mengamalkan sistem demokrasi akan membuka jalan kepada pemilihan parti-parti bertanding secara berkala, agar rakyat dapat memilih parti terbaik untuk menjaga ‘kehendak’, ‘hajat’, dan ‘impian’ tersebut.

Kerajaan apa pun, baik yang mengamalkan demokrasi, atau mencengkam secara autoritarian akan berusaha untuk memenuhi seminimum boleh tata kelola berkesan, bagi menghindar kehuru-haraan sosial. Kekhuatiran hilang kuasa akan mendorong parti yang membentuk kerajaan untuk bersungguh-sungguh memenuhi ‘kehendak’, ‘hajat’ dan ‘impian’ rakyat atau pengundi.

Kewujudan pilihan raya berkala juga memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk menunjukkan kebolehan mereka sebelum diberi peluang memerintah. Dalam hal ini, pembangkang yang berwibawa dan berkualiti akan memaksa pemerintah meningkatkan tata kelola yang baik. Untuk sesebuah pentadbiran negara mencapai tata kelola yang berkesan, pembangkang perlu turut memain peranan kerana ia urusan bersama. Dalam erti kata lain, pembangkang yang dapat bekerjasama dengan kerajaan boleh menjadikan negara ditadbir dengan cemerlang.

Dalam hal ini kita melihat bagaimana Pakatan Harapan bekerja dengan pentadbiran Ismail Sabri untuk menjayakan tata kelola yang berkesan sesudah bahana Covid-19 dan krisis ekonomi yang mencakar. PH sebagai pembangkang menunjukkan kematangan bagaimana mereka bekerja dengan cemerlang di bawah undang-undang, secara telus dan akauntabiliti sehingga menjayakan kerajaan Perikatan Nasional untuk kemaslahatan rakyat sebelum PRU15.

Sebetulnya ini juga peranan dan tugas besar Perikatan Nasional yang kini mendapat giliran menjadi pembangkang. Sayugia diingatkan PN menjadi kerajaan sebelum PRU15 bukan dengan mandat rakyat tetapi kerana terdapatnya krisis siasah yang meloyakan ekoran Langkah Sheraton, sehingga mencetuskan ketidakstabilan politik yang menjengkelkan. Apa yang PN boleh lakukan ialah dengan mendorong kerajaan perpaduan hari ini bergerak ke depan membawa keluar negara dari cengkaman hutang piutang oleh bencana 1MDB dan krisis ekonomi lantaran pandemik.

Namun, sehingga setakat ini, PAS dan Bersatu yang membentuk blok pembangkang tampaknya gagal, ulangan sekali lagi kata gagal; berperanan sebagai blok yang boleh diharapkan untuk menjayakan perjalanan bernegara secara bersama-sama. Memang penggal masih baharu tetapi PAS biasa menjadi pembangkang yang baik ketika era arwah Fadzil Noor, mengapa mereka teruk dan buruk sangat ketika ini?

Ada dua cerminan mengapa saya menghujahkan sedemikian. Pertama, pengundi dapat melihat bagaimana ketua pembangkang yang dilantik oleh PAS, iaitu Hamzah Zainudin, tidak mencapai standard pembangkang yang bagus dalam sistem demokrasi seperti dihuraikan di atas. Setelah istiadat pembukaan Parlimen ke-15 oleh Yang di-Pertuan Agong pada Isnin, 13 Februari 2023, tatkalanya proses semak imbang iaitu dengan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, ketua pembangkang lewat tiba. Hal ini membuktikan pembangkang gagal mengambil serius peranan dan tanggungjawab yang mesti diisi oleh mereka. Saya percaya Hadi Awang, seorang orator dan agamawan yang bijak berkias akan lebih berbobot jika dilantik sebagai ketua pembangkang.

Keduanya, mutu perbahasan pihak pembangkang sangatlah mengecewakan. Saya tidak ingin menggunakan kata atau ungkapan kesat, cukuplah ’mengecewakan’ agak memadai. Tetapi jika kita mendalami inti pati perbahasan sedia ada, memang itulah yang dikemukakan kepada kita.

Ambil sahaja contoh Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali yang beria-ia cuba mengaitkan program Menu Rahmah dengan risiko kesihatan seperti autisme. Hal ini sangat mengejutkan. Hujah-hujah Halimah tidak terangkat menerusi fakta sains dan sangat memesongkan pemahaman masyarakat mengenai Autism Spectrum Disorder (ASD). Padahal autisme satu bentuk kekurangan upaya dari aspek neurologi yang mengakibatkan masalah dari segi perkembangan bahasa, tingkah laku, serta pertuturan yang melibatkan kanak-kanak dan bukannya penyakit fizikal.

Kita boleh mengesan autisme misalnya pada tahap awal pembesaran kanak-kanak yang bermula seusia satu hingga tiga tahun dan tampak ketara di usia meningkat 6 tahun. Antara faktor penyebab ialah ciri-ciri genetik, sejarah keluarga, usia dan keadaan fizikal ibu semasa mengandung, jarak antara kandungan, serta keadaan ketika hamil dan kelahiran bayi.

Tidaklah menghairankan Ahli Dewan Negara Ras Adiba Radzi yang dilihat sebagai mewakili kelompok Orang Kurang Upaya (OKU) sangat terkejut dengan poin Halimah ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat itu. Kelemahan serius ahli parlimen pembangkang yang lebih tua di atas, seperti lambat datang ke sesi perbahasan dan memberi fakta bangang, nampaknya juga terlihat pada ahli-ahli yang lebih muda. Untuk kelihatan kompeten, Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal membuat dakwaan yang salah kononnya manifesto PH pada PRU15 ada menjanjikan untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Hal ini ternyata tidak benar.

Sebagai pengkaji dan penyelidik pelawat untuk ISEAS-Yusof Ishak, Singapura yang memantau dan memerhatikan perjalanan PRU15 tempoh hari, saya mendapati tiada pun janji seumpama ini. Adalah amat dikesalkan Wan Ahmad Fayhsal mengada-adakan sesuatu yang tidak-tidak semata-mata untuk menyerlahkan dirinya. Kekeliruan seperti ini boleh ditanggap menghina Dewan Rakyat dan sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Saya ingin kembali kepada peranan pembangkang dalam sistem demokrasi. Jika PAS dan Bersatu berterus-terusan gagal menjadi pembangkang yang bagus, saya amat bimbang sistem demokrasi kita disengetkan. Dalam keadaan negara perlu keluar dari kejahanaman tatakelola buruk, kita memerlukan pembangkang yang bagus, seperti mana ditunjukkan oleh PH di saat PN memerintah secara tebuk atap sebelum PRU15 lalu.

Dengan kualiti pentadbiran dan tata kelola yang lemah di Kelantan misalnya, kita berasa bimbang prestasi buruk sebegini akan diraikan oleh jumlah pengundi yang taksub dan berakal TikTok, lantas mencacatkan perjalanan negara untuk keluar dari kemelut ekonomi dan keterperukan inflasi.

Tolonglah PN, lantiklah ketua pembangkang yang lebih bertanggungjawab seperti contohnya Yang Berbahagia Tuan Guru Abdul Hadi Awang; dan nasihat saya, anjurkanlah sanggar kerja terlebih dahulu agar mutu perbahasan kalian lebih berkualiti dan tidak memalukan negara di persada antarabangsa. Kalian boleh melakukan rapat ini di Marang dan berbincang supaya gerak kerja lebih rapi.

Apabila saya ke luar negara, orang luar bercakap tentang ketidaksediaan dan kelemahan pembangkang iaitu PN. Saya tidak mahu mana nak letakkan muka. - FMT

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.