PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan memberikan subsidi bertujuan mengekalkan Menu Rahmah walaupun harga barang dan bahan mentah naik, kata Salahuddin Ayub.
Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata, tiada keperluan subsidi diberikan bagi pelaksanaan program berkenaan berdasarkan situasi semasa.
Apa yang penting, katanya, timbal balas dan libat urus baik antara kerajaan dan pemain industri dijadikan pemangkin bagi mengimbangi kenaikan harga barang.
“Kita sudah beri banyak (subsidi) kepada rakyat. Setakat ini, saya beri jaminan kepada Jemaah Menteri, ia tidak akan libatkan dana kerajaan dan kita pun tidak berjanji dengan industri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan akan sentiasa berhubung dengan pihak industri untuk mengetahui cabaran dan masalah dihadapi dan melihat bagaimana kerajaan boleh membantu.
“Macam industri sawit, perikanan, kedai makan dan sektor pembuatan, mereka ada beberapa cabaran dan masalah. Saya tanya kepada pihak industri sawit, bolehkah diturunkan harga minyak (sawit)?
“Mereka kata boleh tetapi beri kami pekerja asing yang mencukupi. Jadi, Jemaah Menteri putuskan, kita selesaikan isu infrastruktur dahulu (sebelum ke perkara lain) dan mudahkan perkara ini,” katanya.
Setakat ini, Menu Rahmah yang dilancarkan sejak 31 Jan melibatkan 15,000 premis menjual makanan secara sukarela bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.