PETALING JAYA: Meskipun tidak memiliki harta menggunung bukan menjadi halangan bagi seorang tukang cuci ini menggunakan wang hasil jualan tanah pusakanya untuk membeli dan mewakafkan dua unit mesin hemodialisis bernilai RM80,000.
Khalipulizan Mansur, 54 berkata, dua mesin tersebut diwakafkan di Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Hemodialisis Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, Perlis, lokasi beliau bekerja sebagai pekerja pembersihan selama 15 tahun.
“15 tahun saya bekerja di situ, hati saya terdetik nak sedekah mesin hemodialisis selepas melihat begitu ramai pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan ini, atas rasa ihsan saya berfikir lebih baik sedekahkan mesin hemodialisis untuk kegunaan mereka.
“Kita tahu sekarang ini ramai yang menghidap penyakit buah pinggang, jadi inilah antara usaha saya untuk membantu mereka,” katanya ketika dihubungi FMT.
Khalipuliza yang mesra dengan panggilan Khali berkata, beliau membeli mesin itu selepas menjual tanah pusaka seluas kira-kira satu hektar tinggalan arwah datuk dan neneknya yang meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu.
Ujarnya, beliau mewakafkan dua mesin tersebut atas nama datuknya, Ibrahim Abdullah dan neneknya Rafiah Saad sebagai membalas jasa mereka yang menjaganya dari kecil hingga dewasa.
“Inilah saham akhirat untuk saya nanti dan juga arwah datuk dan nenek, biar pahala sedekah itu sampai pada mereka juga,” ujarnya.
Tambah Khali, pendapatan sebagai pekerja pembersihan sudah cukup untuk dirinya yang kini hidup bersendirian selepas berpisah dengan isteri, dan anaknya pula sudah meninggal pada 2014 akibat kemalangan jalan raya.
Terdahulu, kisah Khali mendapat perhatian warganet selepas seorang pengguna Facebook yang juga seorang ejen hartanah, Izhar Azimat berkongsi tindakan murni Khali yang menjual tanah pusakanya untuk membeli mesin hemodialisis bagi tujuan wakaf.
Izhar berkata, dia berharap perkongsian tersebut dapat memberi manfaat dan menjadi inspirasi kepada insan lain. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.