PETALING JAYA: Semua pemandu kereta mewah yang dikesan memandu perlahan termasuk menghalang lalu lintas di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang, dikenakan saman.
Timbalan Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Mohd Norazmi Abd Ghapar, berkata kejadian yang tular di media sosial didapati berlaku pada Jumaat, pada 12.30 tengah hari bermula dari KM3.8 dari arah Batu Kawan sehingga KM9 ke Batu Maung.
Katanya, pihaknya mengesan kesalahan itu susulan sebuah video berdurasi dua minit 50 saat dimuat naik seorang pengguna media sosial.
“Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan kertas siasatan dibuka mengikut Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu Kaedah 16 (1) LN 166/59 kerana melakukan halangan lalu lintas.
“Pada 11 Jun, 12.10 tengah malam semua pemandu telah hadir ke IPD Seberang Perai Selatan dan telah dikenakan saman,” katanya dalam kenyataan.
“Dalam hal ini, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas.
“Masyarakat juga diminta supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas di atas jalan raya,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.