`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, June 28, 2023

PRN: PAS akui sukar capai sasaran 30% calon muda

 

Ahmad Fadhli Shaari berkata walaupun penampilan calon muda akan menjadikan pengundi muda lebih dihargai namun calon boleh menang masih menjadi faktor utama parti itu.

MARANG: PAS mengakui parti itu berdepan kesukaran bagi mencapai sasaran 30% calon muda untuk diketengahkan pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata untuk PRN kali ini, kemungkinan besar calon muda yang akan diketengahkan PAS hanyalah sekitar 10%.

“Kalau kita ambil ucapan dasar presiden PAS beberapa tahun lepas iaitu kita sasarkan 30% calon muda, tapi saya tak fikir ia boleh dicapai baik dari aspek muka baharu atau calon muda… kalau dapat 10% pun dah okey.

“Kita (PAS) sentiasa harapkan supaya dapat ketengahkan seramai mungkin pemuda atau anak muda yang tidak semestinya mewakili Pemuda PAS, namun ia bergantung kepada keputusan pimpinan di peringkat akhir yang sudah tentunya mahukan calon boleh menang,” katanya.

Beliau kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Jentera PRN Pemuda PAS Terengganu oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata walaupun dengan mengetengahkan lebih ramai calon muda akan membuat pengundi muda rasa lebih dihargai, calon boleh menang masih menjadi faktor utama pemilihan calon di sesuatu kawasan.

“Sebab di Kelantan dan Terengganu ini, calon yang nak diletakkan itu bukan calon Touch ‘n Go atau hit and run, bila lepas kita letak tu, hilang entah ke mana. Kita akan letakkan calon yang merupakan anak tempatan yang sudah dikenali pengundi tempatan dan berpotensi menang,” katanya.

Selain Terengganu dan Kelantan, empat negeri lagi yang akan terlibat dengan PRN akan datang ialah Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sementara itu, ditanya mengenai pembatalan kemenangan Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS pada PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu semalam, beliau berkata PAS menghormati keputusan itu.

“PAS sendiri akan failkan rayuan dan dapatkan perintah sementara untuk kekalkan Ahli Parlimen yang ada sebelum rayuan diangkat ke Mahkamah Persekutuan, mengikut undang-undang pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata Pemuda PAS juga sentiasa bersedia jika berlaku PRK membabitkan pembatalan kerusi dimenangi Amzad.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Amzad selepas mendapati pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.