Oleh : MUTALIB M.D
KEPAYAHAN hidup penyanyi 'bersuara emas' berbakat besar, Jamudin @ John Ebin, 40, memburu hidup di penjuru nasib sebagai Tukang Urut merupakan satu kerugian kepada industri hiburan negara; bukan kerana beliau buta tetapi kerana terpinggir daripada masyarakatnya, kaum Dusun yang kurang prihatin terhadap visi dan aspirasinya.
John Ebin atau nama islamnya, Azman Abdullah yang dilahirkan di Kampung Mempakat, Kota Marudu, Kudat mungkin tidak menyangka bahawa kaum Dusun seolah-olah sudah pupus daripada Sabah kerana album pertamanya langsung tidak mendapat sambutan walaupun telah dipromosi melalui media cetak dan alternatif.
"Saya terbitkan album pertama ini sebanyak 1,000 unit dengan kos RM9,000 dengan bantuan NGO, Pusat Orang Buta Sandakan dan wang simpanan sendiri. Tetapi saya hanya mampu ambil 500 unit sahaja dan bakinya masih berada di Studio Sound Bamboo kerana masalah kewangan," ujar John dengan nada merendah diri.
Memandangkan John sedar bahawa kehidupan sebagai penyanyi di Sabah, bukanlah seindah yang digambarkan, apatah lagi fizikal dirinya yang buta; maka John terpaksa meneruskan kerjanya sebagai tukang urut di Hing Loong Reflexologi Centre, Bandar Pasaraya, Sandakan sejak 14 tahun lalu untuk menyara isteri (buta) dan empat anaknya yang masih bersekolah.
John yang buta sejak berusia 7 tahun kerana penyakit cacar, sebelum ini merupakan penyanyi dan pemain gitar utama Kugiran Taman Cahaya, Sandakan; tidak pernah terlintas untuk meminta sedekah kerana masih mampu bekerja.
"Berilah saya kerja sebagai Penyanyi dan penghibur," ujar John yang menyimpan hasrat agar mendapat tawaran menyanyi di Kelab Malam atau merakam album dengan syarikat ternama.
John yang mengkagumi S.Jibeng ingin merakamkan album kedua dalam bahasa Melayu kerana album pertama dalam bahasa Dusun agak sukar dipasarkan kerana tidak mendapat sambutan daripada kaum Dusun.
Bagi peminat John, bolehlah menghubungi John di talian 0198999712 atau FACEBOOK untuk bertanya khabar atau membuat pesanan album JOHN EBIN MTV KARAOKE.
Pesanan album boleh dialamatkan kepada Jamudin @ John Ebin, Hong Loong Foot Reflexology Centre, Tingat 1, Lot 56 & 57, Blok , Bandar Pasaraya, Batu 4, Jalan Labuk, 90000 Sandakan.
Album yang dijual dengan harga RM23.90 seunit (tidak termasuk belanja pos) memuatkan sepuluh buah lagu dalam bahasa Dusun yang berjudul, Jumongob Ginowo ku; Batos Do Piupusan; Kampung Kalangadan Ku; Lagad Ku Molohing; Rina Karina; Songulum Tambalut Ku; Tadau Pinirubaan Toh; Oi Lina; Koupusan Ku Iya Noh Songulun dan Joget Kg Kibubuk.
(NOTA : Mungkinkah Menteri Kabinet negeri dan Persekutuan tidak mempunyai masa untuk berkaraoke atau mendengar lagu 'Dusun' kerana semuanya sudah 'Speaking', maka album John tidak laku?)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.