Oleh : MUTALIB M.D
PETRONAS harus melakukan transformasi total terlebih dahulu termasuk menghakis amalan penjajah yang mengamalkan kasta dalam pengurusan sehingga membelakangkan hak rakyat Sabah untuk membangunkan Malaysia secara bestari.
Menteri Luar, Datuk Seri Panglima Anifah Haji Aman berkata demikian kepada Sabahkini.net ketika ditanya pandangan beliau berhubung kenyataan Pengerusi Petronas Sabah dan Labuan, Joseph Podtung, dalam Sabahkini.net kelmarin dulu yang menghebahkan lima projek mega Petronas di Sabah untuk 2013.
"Untuk memastikan Malaysia menjayakan Dasar Transformasi Negara, Petronas wajib melakukan transformasi terlebih dahulu kerana dasar yang diwarisi daripada penjajah harus dikikis. Kita sudah hampir 50 tahun merdeka dan sejak 1976, rakyat Sabah melihat Petronas sebagai liabiliti dan menjadi modal politik pembangkang," ujar Anifah yang mengalu-alukan Petronas membuka pintu kepada usaha bumiputera untuk mendapatkan ruang dan peluang di SOGT.
Transformasi Petronas, kata Anifah, harus mencakupi segala bidang termasuk menaiktaraf pengusaha dan penglibatan mereka dalam kontrak mega termasuk melalui usahasama atau kerjasama bestari.
"Jika dahulu rakyat tempatan menjadi tukang masak, kini mereka patut menjadi pembekal makanan. Jika dulu mereka subkontraktor, Petronas patut menjadikan mereka kontraktor utama. Jika modal mereka kecil, lakukan secara usahasama atau konsortium. Amalan meneruskan tradisi mengekalkan mereka di status lama adalah amalan penjajah. Inilah yang harus dikikis," kata Anifah yang meyakini kontraktor bumiputera mampu bersaing di persada antarabangsa.
Jika Petronas memberi peluang dan kepercayaan kepada kontraktor bumiputera sejak dua dekad lalu, kata Anifah, tidak mustahil Sabah mungkin sudah lebih maju daripada Singapura.
"Petronas jangan jadikan Sabah (Kimanis) sebagai Bintulu yang telah dikuasai oleh orang luar dan menafikan peluang rakyat Sarawak dalam ekuiti Petronas," ujar Anifah berhubung kecenderungan Petronas melantik kontraktor luar sebagai sub-kontraktor mereka.
Kata Anifah, masa untuk Petronas menunjukkan ego kepada rakyat Sabah sudah berakhir dan sewajarnya menghentikan sindrom telunjuk lurus kelingking berkait agar tidak dipandang serong menjelang PRU-13.
"Tiba masanya Petronas menjelaskan kepada rakyat Sabah hakikat sebenar yang disembunyikan selama ini berhubung 'kemurahan hati' dan 'ketinggian budi' yang berselindung di sebalik anugerah projek pembangunan yang tidak telus.
"Persoalan inilah yang berstigma di dalam minda majoriti rakyat Sabah bahawa Kerajaan Persekutuan melayan Sabah secara tidak adil dan beragenda, sehingga menghakis keyakinan rakyat kepada Kerajaan BN," kata Anifah yang agak keliru dengan penjelasan Joseph Podtung sebagai menjawab teguran beliau melalui artikel bertajuk 'Petronas Slammed On Projects'
"Berlandaskan kepada jawapan Joseph Podtung, saya melihat Petronas seolah-olah bukan lagi GLC kerana membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
"Keegoan mereka begitu terserlah, terutama dalam soal agehan kek ekonomi kepada kontraktor bumiputera yang kelihatan melukut di tepi gantang dan menjadi pengemis di negeri sendiri sejak akhir-akhir ini," ujar Anifah yang menggesa Petronas menjelaskan beberapa persoalan penting yang menjadi enigma kepada Pemimpin BN di Sabah.
Kata Anifah, Joseph Podtung seharusnya jujur memberikan penjelasan berhubung agehan kontrak sebanyak RM45 billion kerana daripada siasatan beliau, rakyat Sabah hanya mendapat manfaat langsung kurang daripada 2 % dan selebihnya bocor kepada syarikat luar yang tidak langsung menyumbang dana kepada ekonomi dan rakyat Sabah.
"Kita tidak mahu isu ini menjadi modal pembangkang untuk menyerang kerajaan pada PRU-13 dan kerana itu saya meminta penjelasan Joseph Podtung untuk memaklumkan secara telus kepada saya, kepada siapa kontrak RM45 bilion berkenaan diagehkan," kata Anifah.
Tegasnya lagi, beliau kesal dengan keangkuhan Petronas yang mengungkit pembinaan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) bernilai RM30.5 juta yang hanya memberi manfaat kepada 48 pelajar di Kampus Sementara di Membakut Jaya.
SOGT KIMANIS.....Pemandangan udara SOGT Kimanis. Semoga RM45 bilion beri manfaat kepada rakyat tempatan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap BN.
SOGT KIMANIS.....Pemandangan udara SOGT Kimanis. Semoga RM45 bilion beri manfaat kepada rakyat tempatan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap BN.
Sikap Petronas yang menjadi 'Tuan' di Sabah dengan membelakangkan Menteri Kabinet, Kerajaan Negeri Sabah dan Ahli Parlimen serta Adun; bakal menjadi agitasi politik dan modal kempen pembangkang yang menggelar Petronas sebagai 'Perompak' wang rakyat Sabah.
"Pandangan mereka tidak salah dan sinonim dengan sikap dan tindakan Petronas sejak 1976. Sekalipun dilenturkan oleh pembayaran royalti 5 % yang menjadi pertikaian sejak sekian lama, namun agak malang bagi Sabah jika kelangsungan ini berterusan untuk beberapa dekad yang akan datang," kata Anifah yang meminta Kerajaan Negeri mengkaji semula perjanjian dengan Petronas.
Kata Anifah, agehan kek ekonomi perlu selaras dengan janji kerajaan Persekutuan untuk memastikan Sabah menjadi salah sebuah negeri maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi; namun visi berkenaan akan gagal jika Petronas tidak telus dalam agehan 5 projek mega yang diumumkan.
"Buat apa kita bercakap tentang RM45 bilion, jika rakyat Sabah hanya mendapat tidak sampai RM2 bilion, itupun melalui GLC kerajaan (Yayasan Sabah) sehingga kontraktor dan rakyat tempatan hanya menjadi pemerhati atau berputih mata," ujar Anifah mendesak agar Petronas bersikap telus dan tidak melakukan By-Pass yang keterlaluan.
Kini kata Anifah, tugas untuk mengeluarkan Sabah daripada kancah kemiskinan terletak di bahu Petronas melalui 5 projek mega bernilai RM45 bilion dan bukan lagi menjadi beban Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
"Jadilah GLC yang berpegang kepada janji dan sentiasa mengenang budi dan bukannya menggigit jari kepada orang menyuapkan makanan," ujar Anifah melalui tamsilan.
Kata Anifah, walaupun operasi Petronas kini berkembang di luar negara, namun mereka tidak boleh mengabaikan rakyat Sabah yang berhak mengecapi kemewahan dan menikmati pembangunan hasil daripada 5 projek mega yang diumumkan Petronas di Sabah.
"Melalui Dasar Transformasi Ekonomi Negara, rakyat Sabah bukan lagi bekerja sebagai kuli, malah berhak menjadi pengusaha dan pemegang saham dalam projek pelaburan Petronas di Sabah," kata Anifah yang agak kesal dengan ketidak pekaan Petronas yang berbangga kerana menawarkan 1,558 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Melalui teguran ikhlas ini kata Anifah, Petronas wajib menggubah semula kerangka perancangan dan hala tuju pembangunan agar tidak dijadikan modal kempen pembangkang di Beaufort, Sipitang, Kimanis dan Papar kerana rakyat sekitarnya berhak menikmati limpahan pelaburan projek mega Petronas.
"Kini jelas kepada kita bahawa BN tidak memerlukan pembangkang kerana Ahli Parlimen BN sentiasa peka dengan sebarang perubahan iklim pelaburan, sekalipun melibatkan soal dalaman atau luaran Petronas (GLC)," kata Anifah yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap kebajikan rakyat setempat dan kepentingan negeri Sabah.
(NOTA : Pandangan Anifah yang disiarkan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya pandangan Kerajaan Malaysia atau UMNO.)
(NOTA : Pandangan Anifah yang disiarkan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya pandangan Kerajaan Malaysia atau UMNO.)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.