`

Wednesday, January 30, 2013

PUTERI UMNO JADI CONTOH KEPADA BELIA




HADIAH....SITI sedang menyampaikan hadiah kepada salah seorang pesakit sempena lawatannya.

Oleh : SHAIMON S JUMADI
SANDAKAN: Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Sandakan, Siti Haiba Majid, berkata kasih sayang terhadap kedua ibubapa tiada penghujungnya kerana mereka adalah tunjang dan kekuatan kepada sesebuah keluarga.

Beliau berkata, jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab dalam menjaga ibubapa kerana pengorbanan mereka tidak boleh diukur atau dinilai dengan apa-apa.
Katanya, jika tanggungjawab terabai sehingga memaksa kedua-dua orang tua terbiar tidak menentu, maka ia sesuatu yang tidak seharusnya berlaku seolah-olah tidak menghargai jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai itu.

"Kita mesti memperkukuhkan kasih sayang terhadap kedua-dua ibu bapa kerana mereka merupakan tunjang keharmonian kepada keluarga.

"Sebab itu, Puteri Umno sentiasa mengamalkan sikap 'Prihatin' sesuai dengan cogankata kami iaitu 'Generasi Wanita Prihatin - Prihatin Berilmu," jelasnya selepas mengadakan lawatan amal ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, di sini, kelmarin.

Menurut beliau, pihaknya tidak pernah lupa warga emas yang terlantar sakit di hospital-hospital kerana sebagai golongan belia adalah penting bagi melawat mereka.

Tambahnya, menerusi program amal yang dilaksanakan akan memberi kesedaran kepada sesiapa sahaja terutama anak-anak akan peri penting menitikberatkan kebajikan kedua orang tua.

"Puteri Umno ingin menjadi contoh terbaik kepada golongan belia muda. Oleh itu, Puteri Umno Sandakan menyeru kepada semua belia di luar sana agar mengikis sikap yang suka membuang masa dengan melibatkan diri dengan aktiviti yangg tidak sihat.

"Semoga dengan aktiviti seperti ini dapat memberi contoh dan mesej yang baik kepada golongan belia disamping itu kami juga merasa senang hati dapat berkongsi sedikit sumbangan kepada masyarakat," kata Siti yang melakukan lawatan amal itu bersama-sama serombongan ahli jawatankuasa pergerakan tersebut.

No comments:

Post a Comment