`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 29, 2013

RM100, KECIL TETAPI BESAR MAKNANYA




KENANGAN ...Saddi bersama ibubapa dan murid-murid berkenaan yang menerima batuan tersebut.

Oleh : SHAIMON S JUMADI
RAKYAT disaran memberikan mandat semula kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 demi kesinambungan pembangunan di negeri ini terutama melibatkan kawasan luar bandar.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, berkata tiada kerajaan sebaik BN yang keikhlasannya terbukti menerusi pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif seperti pendekatan murni dalam meringankan beban ibu bapa untuk mengurangkan kos sara hidup.
Beliau berkata, keprihatinan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberikan bantuan khas awal persekolahan kepada pelajar-pelajar sekolah menunjukkan BN mendahulukan kepentingan rakyat.

Katanya, pemberian bantuan dilakukan secara menyeluruh melibatkan peruntukan sejumlah RM540 juta yang diagehkan kepada kira-kira 4.98 juta pelajar menerusi bantuan persekolahan sebanyak RM100 itu.

"Pendekatan murni kerajaan BN adalah petanda kerajaan sekarang memberikan kesejahteraan hidup kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan ideologi masing-masing.

"Ia juga jelas membuktikan bahawa kerajaan kita adalah lebih baik berbanding dengan pembangkang yang hanya tahu menjanjikan bulan dan bintang tetapi akhirnya tidak mampu juga ditunaikan.

"Oleh itu, ingatan saya kepada masyarakat terutama di Kampung Sepinong ini agar jangan mudah terpedaya sekiranya ada pihak pembangkang cuba berkempen. Mereka boleh menjanjikan macam-macam tetapi hakikatnya ia hanya janji kosong semata-mata.

"Tetapi, kalau kita bandingkan dengan kerajaan BN hari ini ... kerajaan kita tidak pernah bercakap kosong sebaliknya terus berusaha bagi mempastikan keperluan mahu pun kebajikan rakyat terus diutamakan," jelasnya.

Saddi menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan 2013 kepada murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sepinong, dekat sini, baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, tambah beliau lagi ibu bapa perlu memanfaatkan bantuan RM100 dengan sebaik mungkin demi mengatasi keperluan anak-anak untuk bersekolah.

Menurutnya, bantuan itu dapat digunakan bagi membayar yuran atau membeli buku rujukan sekaligus membantu meningkatkan prestasi pembelajaran anak-anak.

Katanya, walaupun nilai RM100 kecil tetapi ia amat memberi makna mendalam khususnya ibu bapa yang berpendapatan kecil dan tidak mempunyai pendepatan tetap terutama di luar bandar.

"Pemberian ini amat berharga kepada mereka dan sebab itu pihak kerajaan memperkenalkan pemberian ini semata-mata juga untuk membantu keluarga yang susah.

"Justeru, gunakan sebaik mungkin bantuan yang sedikit sebanyak bukan saja membantu mengurangkan kos sara hidup bahkan membantu meningkatkan pembelajaran anak-anak," ujarnya.

Saddi turut menegaskan keyakinan rakyat terhadap BN kini bertambah baik berikutan bantuan-bantuan lain yang turut disediakan kerajaan kepada murid-murid sekolah seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM); Rancangan Makanan Tambahan (RMT); Skim Pinjaman Buku Teks untuk semua pelajar termasuk Bantuan Seragam dan Kasut Sekolah; Bantuan Susu 1Malaysia serta Bantuan Vitamin 1Malaysia yang khusus untuk murid-murid sekolah rendah.

Dia yakin BN akan memperoleh kemenangan mudah pada PRU-13 berdasarkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sedia ada yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan secara jangka panjang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.