`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, January 6, 2013

SANDAKAN TUMPUAN WALIT SEDUNIA





Oleh : SHAIMON S JUMADI

BANDAR ini akan menjadi tumpuan masyarakat seluruh dunia apabila satu konvensyen mengenai industri sarang burung walit bakal diadakan pada bulan Mac nanti.
Penganjuran buat pertama kali ini akan membantu menjadikan Sandakan sebagai sebuah destinasi pelancongan yang perlu dikunjungi kerana peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada pengusaha termasuk pengimport mewakili negara-negara seperti China, Korea, Singapura, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Thailand dan banyak lagi.
Sudah pasti menerusi penganjuran konvensyen dijangka berlangsung di Four Point by Sheraton itu akan melonjak nama bandar Sandakan di persada dunia kerana secara umumnya, jarang sekali diadakan konvensyen seumpama ini.
"Kita sudah pun merancang untuk memastikan konvensyen yang dipanggil 'Konvensyen Burung Walit Sedunia' dan ini akan menjadi kenyataan kelak," kata Datu Omar Ali Datu Bachtiyal selaku pengerusi penganjur kepada konvensyen tersebut kepada Sabahkini.Net kelmarin.
Sehubungan dengan itu, beliau mempelawa para pengusaha sarang burung termasuk burung walit di seluruh negara agar mengambil bahagian pada konvensyen ini.
Katanya, beberapa agenda menarik akan dibincangkan melalui pembentangan kertas kerja berhubung potensi dan masa depan para pengusaha yang terlibat dalam mengusahakan perusahaan sangat popular sejak zaman berzaman.
"Kita berharap pada pihak kerajaan dan juga swasta supaya dapat membantu bagi memastikan penganjuran konvensyen ini akan terlaksana.
"Saya sudah lama untuk menganjurkan konvensyen sebegini kerana ia amat penting terhadap pertumbuhan ekonomi di bandar Sandakan amnya dan Sabah khususnya.
"Ini kerana, Sandakan terkenal dengan Gua Gomantong, tetapi nampaknya belum ada usaha-usaha yang mampu menarik kedatangan pelabur. Oleh itu, saya melihat menerusi penganjuran konvensyen berkenaan sudah pasti akan meletakkan nama bandar kita pada mata dunia
"Kita sekarang ini sedang dalam proses mesyuarat di mana saya sendiri akan menjemput Pertubuhan Industri Burung Walit Sabah melalui perunding iaitu Syarikat Gerak Borneo Sdn Bhd bagi membantu menjayakan penganjuran ini," beritahu Omar Ali.
Bagaimanapun, kata beliau, bukan mudah untuk mengadakan konvensyen besar seumpama itu memandangkan ia memerlukan penelitian dari segi penyelidikan selain kos sepanjang konvensyen.
Dia percaya keyakinan dan komitmen tinggi sedikit pun tidak mematahkan matlamatnya bagi memastikan konvensyen menjadi kenyataan kelak.
"Ini juga merupakan wawasan saya sempena Tahun Baru 2013. Kita lihat Sandakan terkenal dengan industri sarang burungnya, justeru perlu ada usaha seperti ini.
"Matlamat saya bersama-sama Gerak Borneo adalah bagi memastikan bandar Sandakan sebagai pengeluar utama industri sarang burung dan burung walit.
"Oleh yang demikian, saya berharap pada semua pengusaha sarang burung dan burung walit agar tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam konvensyen kali ini.
"Kita akan mewar-warkannya dari semasa ke semasa berhubung penyertaan pada konvensyen ini," tambah beliau.
Replika sarang burung di pusat bandar Sandakan membuktikan bahawa tarikannya sebagai pengeluar utama sarang burung di negeri ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.