`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, March 5, 2013

Balu Sultan Sulu Kata Pencerobohan Hanya Drama, Najib Kata Tuduh Sandiwara Kerajaan Keji



Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah hanya drama 

[SH] MANILA - Balu kepada Sultan Sulu, Mohd Mahakuttah Kiram percaya pertempuran yang sedang berlaku di Sabah hanya satu drama dan menegaskan ia hanya sebagai pelan permainan untuk mendapatkan kembali hak milik mereka.

Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah hanya drama
Maryam Kiram (kiri) bercakap pada sidang media di Makati semalam. - Foto ihsan The Philippine Star

Bercakap kepada pemberita semalam, Puteri Maryam Kiram mendakwa yang dirinya juga pernah ditawar untuk menjadi sebahagian dari drama oleh pihak-pihak berkenaan satu ketika dahulu.
“Saya yakin perkara ini hanya drama selepas saya pernah duduk sekali bersama mereka.

"Saya juga bersedia untuk berunding bagi menyelesaikan konflik ini dari terus berlanjutan. Penyelesaian bersama kedua-dua belah pihak dapat dicapai,” ujar beliau dipetik The Philippine Star.

Maryam bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai "drama" tetapi mendakwa yang media turut memainkan peranan dalam mengada-adakan cerita.

Beliau yang mendakwa mewakili Kesultanan Sulu berkata ahli keluarga diraja telah menubuhkan Yayasan Diraja Kesultanan Sulu.

Maryam turut berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pemimpin Malaysia.

Beliau turut yakin yang kerajaan Malaysia mengamalkan sikap terbuka dan mampu menyelesaikan perkara ini secara baik.


Menuduh peristiwa di Lahad Datu sandiwara kerajaan perbuatan keji

[Bernama] KUALA LUMPUR - Perbuatan menuduh peristiwa pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara kerajaan adalah perbuatan yang cukup keji, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang sedih kejadian pencerobohan itu telah mengakibatkan lapan anggota keselamatan terkorban, berkata manusia yang tergamak berkata sedemikian adalah mereka yang tidak mempunyai perasaan dan tidak berhati perut.

"Apabila ada kumpulan yang menceroboh bumi Malaysia di Sabah, gugurnya perwira-perwira, kehilangan nyawa, yang paling sedih dan yang menyayat hati saya apabila saya terpaksa pergi ke lapangan terbang untuk menerima jenazah wira-wira negara.

"Apabila saya berdepan dengan balu-balu, anak-anak mereka, saya cukup sedih. Ada seorang balu kehilangan suami dalam keadaan dia mengandung sebulan, ada anak (berumur) lima hingga enam tahun yang tidak tahu apa, dia beritahu saya bapa kena bom seolah-olah bapa dia akan muncul semula. Inilah kisah-kisah yang menyedihkan saya.

"Tetapi ada juga orang yang tergamak menuduh ini satu sandiwara kerajaan. Saya tak tahu apa saya nak kata kepada manusia seperti ini. Manusia yang tergamak cakap macam itu, takde perasaan dan hati perut, satu perbuatan yang cukup keji. Sebab itulah, kita perlu menolak orang seperti ini," katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini hari ini.

Umno telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Chua Tian Chang berhubung kenyataan beliau yang mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kenyataan semalam berkata tindakan itu diambil melalui Penasihat Undang-Undang parti iaitu Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak.

Beliau berkata notis telah dihantar kepada Tian Chua yang juga anggota Parlimen Batu menuntut supaya beliau dalam tempoh tujuh hari bermula semalam berhenti membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan isu tersebut atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap Umno.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.