`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, March 4, 2013

Jangan ulangi kesilapan kes Batu Puteh

http://www.themalaysianinsider.com/images/uploads/2012/october2012/16/1610najib.jpg

Pencerobohan apa yang didakwa sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu di Sabah telah membangkitkan semula hasrat pentadbiran Filipina di Manila untuk membawa kes tuntutan republik itu ke atas Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.  

Kita sedar bahawa pihak Manila mengambil kesempatan daripada pencerobohan pengganas dari bekas kesultanan itu untuk menghidupkan kes tuntutan mereka. Kita harap kerajaan Malaysia tidak akan tunduk dan akur dengan muslihat Manila itu.

Apa yang difahami ialah sebarang tuntutan atau kes yang hendak di bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa  mesti mendapat persetujuan pihak-pihak yang terlibat. Filipina tidak boleh membawa kes itu tanpa persetujuan kerajaan Malaysia.

Malaysia tidak boleh mengulangi kesilapan apabila bersetuju dengan kehendak pentadbiran Singapura membawa kes Batu Puteh ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa dengan penuh keyakinan bahawa kita akan menang. Apa yang berlaku sebaliknya, Malaysia kehilangan Batu Puteh dan hanya diberi dua 'ketul' batu besar yang hanya dapat dilihat dengan mata kasar apabila air surut.

Isu tuntutan ke atas Sabah oleh sama ada pentadbiran Filipina di Manila atau mereka yang mengaku waris kesultanan Sulu sebenarnya tidak timbul setelah rakyat Sabah sendiri memilih untuk bergabung dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Ianya disahkan oleh Suruhanjaya Reid yang ditubuh oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diiktiraf oleh dunia. 

Kita pun boleh mempertikai siapa sebenarnya waris kesultanan Sulu kerana ada beberapa pihak yang mengaku mewarisi kesultanan yang tidak lagi wujud.  Asal usul kesultanan itu, yang dikatakan bermula pada tahun 1450 pun boleh dipertikaikan.

"Pajakan" yang dibayar kepada waris sultan Sulu juga boleh dipertikaikan, jika kita mahu. 

Walau apapun, Malaysia tidak boleh sama sekali bersetuju untuk membawa kes tuntutan ke atas Sabah, yang diiktiraf dunia sebagai  sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, ke pihak ketiga termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Kita tidak perlu berbuat demikian kerana rakyat Sabah sendiri memilih Malaysia, mereka tidak memilih  Filipina ataupun Sulu.

Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas ruh semua pahlawan negara yang gugur mempertahankan kedaulatan Malaysia, khasnya Sabah. Jangan persia-siakan pengorbanan mereka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.