Setengah pendapat sekarang ini Parlimen sepatutnya telah terbubar jika di kira dari tarikh pembubaran Parlimen dan Dewan-Dewan Legislatif negeri-negeri pada 8hb Mac 2008 dahulu. Setengah pendapat lagi Parlimen dan Dewan Legislatif sesebuah negeri itu terbubar dengan sendirinya jika di kira dari tarikh persidangan Dewan Legislatif yang pertama selepas pilihanraya tahun itu..
Kalau di kira dari sudut mana pun Perdana Menteri sudah kehilangan moral politik beliau kerana beliau selama ini bukanlah seorang Perdana Menteri yang ‘legitimate’ kerana mandat yang beliau arak ke hulu ke hilir sekarang ini adalah mandat Tun Abdullah Badawi.
Semalam Najib meminta rakyat memberikan beliau mandat yang besar kerana beliau belum lagi mendapat mandat itu. Katanya jika beliau dan BN tidak dapat mandat besar lebih-lebih lagi jika BN kalah dalam pilihanraya ini segala perancangan beliau untuk mentransformasi kerajaan dan negara akan terganggu dan punah. Jika itulah yang dipinta Najib, kita boleh membuat persepsi yang ‘conclusive’ yang beliau akan kempunan untuk mendapatkan mandat itu, jauh sekali untuk mendapatkan mandat yang besar.
Rayuan beliau itu memberikan bayangan jelas yang beliau selama ini tidak memanggil pilihanraya lebih awal ialah kerana takut kepada kekalahan. Najib tersalah langkah dari awal lagi. Oleh kerana beliau menangguhkan pilihanraya itu sampai ke penghujung penggal maka isu terhadap kerajaan dan terhadap beliau sendiri bertambah-tambah dan bercambah-cambah sehinggkan beliau sudah tidak ada apa lagi alasan untuk menyakinkan rakyat yang beliau dan UMNO itu masih relevan.
Penangguhan pilihanraya ini telah menyebabkan beliau tertekan dari rakyat yang mahukan perubahan dan yang lebih menyakitkan beliau lagi ialah tekanan terhadap beliau oleh pimpinan dan ahli-ahli UMNO sendiri. Adalah wajar bagi Najib untuk memandang ke dalam dari memandang jauh keluar dan menganyang parti-parti pembangkang di setiap ucapan beliau setiap hari. Najib sebenarnya mempunyai banyak masalah di dalam partinya sendiri.
Najib ibarat panglima perang yang besar dalam mana kumpulan dan kabilah beliau adalah kabilah yang terlalu berpecah dan mempunyai masalah dalamannya sendiri. Beliau adalah panglima perang yang tidak mendapat dukungan dari kumpulannya sendiri. Bukan kurang jumlah dari bala tenteranya yang mahukan beliau terkorban dan banyak bukti-bukti yang ramai di antara tentera beliau yang beliau pimpin akan mengacukan senjata terhadap beliau dari belakang apabila sampai waktunya.
Masalah besar UMNO akan bermula pada hari pengumuman calon dan selepas masing-masing calon mendapat surat watikah untuk bertanding mewakili UMNO itu. Sabotaj mensabotaj calon parti sendiri akan menjadi lebih hebat sekali dan saya melihatnya sebagai satu fenomena besar dalam UMNO semasa pilihanraya nanti.
Seruan Najib meminta beliau di berikan mandat besar itu merupakan satu mimpi di siang hari kerana penangguhan pilihanraya kali ini adalah penyebab kenapa rakyat sudah kehilangan keyakinan yang lebih teruk lagi. Penangguhan itu memberi makna UMNO takut menghadapi pilihanraya dan ketakutan itu membuatkan rakyat ramai tidak berkeyakinan lagi terhadap parti itu. Rakyat tidak akan memberikan mandat kepada kepimpinan dan parti yang takut menghadapi pilihanraya. Apabila sesebuah parti tidak mempunyai ‘self confidence’ ia bermakna parti itu tidak akan berani membuat keputusan dengan baik dalam isu penting yang lain.
Perasaan takut yang menghantui UMNO inilah yang menyebabkan kepimpinan parti itu terpaksa bermuka-muka apabila menghadapi rakyat yang berbilang kaum. Pimpinan UMNO tidak berani bercakap dengan tegas terhadap banyak isu. Itulah sebabnya kita melihat dan mendengar pimpinan UMNO terpaksa menggunakan isu perkauman yang menebal akhir-akhir ini.
Nampaknya kali ini UMNO hanya menumpukan harapan mereka kepada orang Melayu sahaja yang juga sedang lari kepada PAS. DAP sudah sememangnya mendapat sokongan kaum Cina dan akhir-akhir ini saya mendapat banyak respons dari orang Melayu untuk memberikan dukungan kepada DAP dan itu adalah juga satu fenomena yang jelas.
Pendeknya apa yang di hadapi oleh UMNO itu sekarang ini amat serius dan yang tinggal hanyalah sokongan dari penggiat tegar UMNO yang tidak tahu apa-apa. Mereka sekarang sedang membina budaya samseng dan mengganggu banyak program parti-parti Pakatan Rakyat di seluruh negara.
Terbina nya budaya samseng yang bertindak kasar dan tidak bertamadun itu tidak dapat menafikan hakikat UMNO semakin hari semakin hilang identitinya sebagai sebuah parti pemerintah. Inilah budaya mana-mana parti pemerintah yang akan kalah dan budaya buruk ini sememangnya satu ‘attribute’ bagi pemerintahan yang berada di penghujung kuasa.
Apa yang di rayu oleh Najib semalam adalah manifestasi kepimpinan UMNO yang sebenarnya. Mereka dalam ketakutan yang keterlaluan. Apabila sudah lemah dan menghadapi krisis keyakinan dikalangan ahli-ahli parti sendiri, maka ia adalah tanda-tanda jelas yang usia UMNO sebagai parti pemerintah itu sudah semakin hampir.
Seperti seorang yang nazak di hospital, UMNO sedang menghadapi ‘brain death’ dan pembubaran Parlimen itu ibarat mencabut mesin tali hayat dari pesakit yang tidak dapat di selamatkan lagi.
Najib sedang berhadapan dengan pembangkang yang kuat di hadapannya. Di belakangnya pula beliau berhadapan dengan ahli-ahli UMNO beliau sendiri yang menunggu masa untuk mengenepikan beliau.
Najib dalam keadaan serba-salah yang amat susah untuk beliau selesaikan. Hanya rakyat dengan keizinan Tuhan sahaja mampu menyelesaikannya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.