`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, August 5, 2013

ANTARA KASUT BURUK DAN PERANGAI BURUK PEGAWAI MUIS


Filem pendek 'Kasut Buruk' yang diterbitkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKKN) di laman Youtube sempena Hari Raya Aidilfitri 2013 pada 28 Julai yang lepas sangat menyentuh perasaan penonton dan penggemar Facebook di seluruh negara. Bukan sahaja ia memukau audiens dengan jalan cerita yang hebat, malah ia sebenarnya telah menonjolkan sisi daif realiti kehidupan kanak-kanak sekolah di negeri Sabah dan menerbitkan persoalan bagaimanakah belanjawan negara diagihkan kepada masyarakat luar bandar yang miskin dan apa pula peranan Pusat Zakat Sabah (PSZ-MUIS) terhadap kebajikan umat Islam, sedangkan secara congak mudah ia akan memperolehi lebih RM10.5 juta kutipan dari zakat fitrah sahaja dalam setahun, tidak termasuk kutipan yang lain?

Iklan ini meminta kita melihat dari sudut pandang seorang guru, dimana seorang anak muridnya selalu lambat ke sekolah gara-gara terpaksa berkongsi pakaian sekolah termasuk sepasang kasut dengan adiknya demi pelajaran dan masa hadapan yang lebih baik. Menurut 'end-credit' dari video ini, jalan cerita adalah berdasarkan kisah sebenar seorang guru yang mencoretkan rasa isi-hatinya di laman Facebook.

Dalam kita kononnya mengejar status 'Negara Maju Menjelang 2020', pembentangan sessi 'Bajet Negara' dengan '6 Bidang Keberhasilan Utama Negara NKRA' dan heboh bercerita tentang 'transformasi', mana-mana pembaca yang siuman tentu akan terfikir tentang keberkesanannya, lebih-lebih lagi Hari Raya Aidilfitri akan tiba dalam tempoh 3 hari sahaja lagi.

Video persembahan JKKN Sabah ini turut mempersoal langkah 'Memeta Golongan Miskin Tegar' yang telah dihandalkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sejak September 2010 mencapai objektifnya atau tidak, kerana walaupun kementerian ini terkenal dengan tema 'NKRA Harapan Baru Bagi Golongan Miskin' namun slogannya itu dilihat umpama 'berniaga di hujung lidah' sahaja.

Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan berbilion ringgit untuk menaik-taraf ekonomi penduduk luar bandar melalui dua kementerian iaitu KKLW dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, namun iklan ini secara jujur menceritakan keadaan sebenar yang sedang dilalui oleh beratus-ratus murid sekolah rendah disekitar Sabah. Menariknya iklan ini bukanlah dikeluarkan oleh Sabahkini atau pembangkang, tetapi dipersembahkan dengan penuh prihatin oleh sebuah jabatan milik Kerajaan Persekutuan sendiri.

Yang jelasnya, berbilion ringgit tidak sampai ke tangan orang kampung yang miskin dan murid sekolah (terutama di kawasan pedalaman) masih lagi berkongsi kasut untuk ke sekolah sedangkan pemimpin & pihak pentadbir hidup senang tanpa merasa bersalah terhadap penyalahgunaan wang dan peruntukan yang sepatutnya diserahkan kepada golongan miskin ini.


Paling menyedihkan apabila kebajikan muslim yang sepatutnya dijaga dan dipantau oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) tidak berjaya dizahirkan. Buktinya apabila laman web Pusat Zakat Sabah dilayari dan pautan 'pungutan / agihan' ditekan, ayat 'Harap maaf, laman ini sedang diperbaiki' akan muncul menyambut kehadiran anda. Mungkin hal 'sepasang kasut' ini terlalu sulit dan sukar untuk Pusat Zakat Sabah (PZS), tetapi yang lebih membingungkan ialah caj servis penggunaan van jenazah pun perlu dibayar sendiri oleh keluarga waris antara RM500 ke RM1,000 hanya untuk memindahkan mayat dari lapangan terbang ke tanah pengkebumiannya.

Pengurusan PZS-MUIS adalah sangat-sangat dikesali sedangkan jiran terdekatnya iaitu Tabung Baitulmal Majlis Islam Sarawak merupakan pengurus dana/wakaf Islam yang terbaik di seluruh Malaysia! Kepincangan dan salah-urus PZS-MUIS ini terpaksa ditampilkan oleh JKKN Sabah untuk menunjukkan kelemahan organisasi ini, demi membuka mata umat islam di peringkat nasional.

Sepatutnya Pegawai Majlis Ugama Islam, ustaz dan imam di MUIS harus 'cermin diri sendiri dahulu' dan bertanggungjawab terhadap perkara seperti ini sesuai dengan  Bulan Ramadhan yang menuntut muhasabah diri sambil menjalankan kehidupan lapar dan dahaga selama satu bulan.

Sesungguhnya filem pendek ini memberi mesej yang terang kepada YAB. Perdana Menteri untuk menyediakan hari raya yang lengkap kepada ummat Islam miskin di Sabah kerana sepatutnya tidak ada satu pun perkara 'terlepas pandang' kerana berbelas-belas agensi pemantau milik kerajaan telah wujud sejak dahulu lagi. Kepada kementerian & jabatan yang terlibat, sila periksa tentang kedaifan hidup di Sabah sempena ramadhan ini dan ketahuilah mereka juga berhak untuk menyambut hari-raya yang sempurna.

Berbalik kepada iklan 'Kasut Buruk' yang ditonjolkan di awal artikel ini, maka wajarlah persembahan oleh JKKN (Sabah) ini diberikan penarafan lima bintang kerana berjaya menyebabkan beribu-ribu penonton menitiskan air mata sekaligus menampilkan kelemahan PZS-MUIS, agensi NKRA kerajaan dan ketamakkan pengurus dana dan pentadbir setempat. Syabas kepada Jasni Rasit dan Mohd Husri Hj Morni kerana anda berdua memang benar-benar hebat. Ini barulah 'Transformasi Hari Raya'!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.