`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, August 23, 2013

PKR Selangor boikot MB?

Beliau hanya 'dijemput' untuk menghadiri majlis dan program tanpa disertai pemimpin PKR negeri.
PETALING JAYA: Krisis kepimpinan PKR terus ‘bergolak’ apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor kelihatan terus dipinggirkan oleh pemimpin-pemimpin PKR negeri dalam banyak aktiviti-aktiviti parti dan kemasyarakatan setempat.
Khalid hanya kelihatan ‘dijemput’ untuk menghadiri majlis dan program anjuran agensi-agensi kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja tanpa disertai oleh pemimpin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mahu pun pimpinan cabang PKR.
Khalid hanya kelihatan turun padang dalam program ‘Jom Shopping’ di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) barunya iaitu Pelabuhan Klang.
Media milik kerajaan negeri seperti Selangorkini dan laman web Media Selangorku jelas memaparkan foto-foto Khalid bergambar bersama dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri dalam banyak program beliau turun padang tanpa satupun kelihatan beliau bersama pimpinan PKR.
Kalau adapun Khalid dilihat hadir dalam program-program anjuran Exco atau DUN yang diwakili oleh PAS atau DAP.
Bulan Ramadan
Sepanjang bulan Ramadan Khalid hanya kelihatan ‘mengekori’ Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk upacara perasmian masjid baru di beberapa kawasan.
Paling ketara ialah semasa majlis Hari Terbuka hari raya pertama yang diadakan di Dataran SUK di Shah Alam yang hanya dihadiri oleh kebanyakan pimpinan PAS dan DAP tanpa kehadiran pemimpin dan Adun-Adun maupun Ketua-ketua cabang PKR Selangor.
Hanya kelihatan ialah Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim  dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden PKR.
Lantaran itu, ramai kalangan penganalisa politik telah dapat menghidu ‘sesuatu yang tidak betul’ berlaku dalam cawan kopi PKR Selangor dan pimpinan PKR pusat.
Gambaran ini jauh berbeza dengan program yang sama yang diadakan sebelum ini.
Apa yang agak jelas bahawa Khalid juga tidak kelihatan di majlis-majlis hari terbuka raya yang dianjurkan oleh Adun-Adun serta ahli-ahli parlimen PKR Selangor yang diadakan pada hujung minggu sepanjang bulan Syawal ini.
Kita kurang pasti sama ada beliau sengaja tidak dijemput atau Khalid tidak dapat hadir kerana ada urusan lain pada tarikh-tarikh tersebut.
Dalam program hari terbuka parlimen Gombak yang dianjurkan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Khalid tidak kelihatan tetapi ramai Adun dan pimpinan cabang-cabang PKR telah hadir.
Mesej agak jelas
Khalid hanya disokong oleh Anwar, Wan Azizah dan beberapa orang pimpinan pusat tetapi ditolak bulat-bulat oleh pimpinan negeri Selangor.
Ini memperkukuhkan lagi tanggapan bahawa krisis politik PKR Selangor semakin melebar antara kumpulan pro Azmin Ali dengan kumpulan pro Wan Azizah dan anak perempuannya Nurul Izzah.
Sumber dalaman kumpulan pro-Azmin mengatakan bahawa pimpinan pusat ‘terlampau’ campur tangan dalam pentadbiran politik negeri.
Ujar sumber itu, pusat sepatutnya memberikan ‘autonomi’ kepada pimpinan negeri dalam memutuskan perkara-perkara melibatkan pemilihan Menteri Besar dan pemilihan calon-calon Exco negerinya.
Menurut sumber itu lagi apa maknanya Presiden parti (Wan Azizah) melantik Azmin sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor tetapi sebaliknya Azmin sendiri  ‘tidak dibawa berunding’ dalam isu penting pelantikan MB dan barisan exco PKR tersebut.
Ramai di kalangan anggota parti mahu meminda perlembagaan parti supaya semua jawatan pengerusi MPN ini dilantik dalam pemilihan parti dan bukannya melalui ‘lantikan’ Presiden agar mereka mempunyai mandat dan autoriti untuk membuat keputusan dalam hal ehwal politik negeri masing-masing.
Pergeseran ini  dijangka menjadi lebih sengit menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti dan pemilihan pimpinan cabang yang dijangka berlangsung tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.